Saturday 2 January 2021

Book Review: Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman

Saya suka baca buku tapi bukanlah sampai kategori tahap ulat buku atau obses dengan seseorang penulis atau genre tertentu saja. Cuma sejak beberapa tahun lepas saya sentiasa pastikan sebulan saya ada baca sekurang kurangnya satu buah buku. Banyak faedah baca buku. Selain menambahkan pengetahuan, bagi saya membaca buku juga salah satu cara untuk melatih dan memastikan pemikiran kita sentiasa cerdas dan sel sel otak sentiasa aktif berhubung. Tidak hairanlah kalau tengok Tun Mahathir dan ramai lagi tokoh hebat yang banyak menekankan kepentingan membaca.

Saya akan gunakan blog ini untuk review balik buku-buku yang pernah saya baca.  Buku pertama yang saya ingin kongsikan adalah antara kegemaran saya dan terbaik yang pernah saya baca. Penggunaan bahasa buku ini juga senang dan ringan untuk dibaca. Maksudnya walaupun anda bukan ulat buku atau kurang gemar membaca,  insya allah anda masih boleh memahami kandungan buku ini.

Buku ini adalah Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman (karya Prof Mohd Kamil Ibrahim (MKI). Pertama kali saya baca pada tahun 2016. Sehingga kini, buku ini termasuk dalam kategori Best Seller, telah diulang cetak berpuluh kali dan terjual melebihi 100,000 naskah.

Pertama kali saya membaca tajuk buku ini, saya ingat lagi saya agak skeptikal bahawa ini mesti buku biasa seperti buku lain yang menerangkan tentang rukun dan proses haji. But this book beyond than that. Buat pertama kali buku ini membuka minda dan hati saya bahawa mengerjakan haji bukan setakat untuk melengkapkan rukun Islam ke-5. Bukan juga sekadar ibadah dan berdoa. Tapi lebih daripada itu. Bagaimana luasnya rahmah dan kasih sayang Allah. Bagaiman kita sepatutnya cuba menjadi yang terbaik disisiNya. Bagaimana kita menyerahkan diri kepada Allah swt. 

Turut diceritakan beberapa perkara yang mungkin kita ambil ringan semasa mengerjakan Haji. Dan yang penting pengajaran tentang iman dan hidup kita selepas bergelar Haji. Adakah ia akan sama atau haji itu sudah mengubah sempadan iman kita? Selepas haji kita seolah olah seperti bayi yang baru lahir, suci daripada dosa. Tapi sayang berapa ramai yang sudah pergi haji atau umrah, bila balik Malaysia kelakuan masih lagi sama seperti dulu.

Saya juga tersentap apabila membaca Prof MKI memutuskan untuk mengerjakan haji sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang Allah berikan. Bukan semata mata untuk melengkapkan rukun ke 5 atau untuk berdoa meminta bermacam macam perkara dari Allah seperti yang sering saya dengar daripada jemaah haji lain. Seringkali kita diajar sejak kecil bila pergi umrah atau haji jangan lupa untuk meminta sekian sekian. Bahkan dalam ibadah lain juga kita seringkali melakukannya kerana mengharapkan balasan dan doa dimakbulkan Allah. Jarang sekali kita buat ibadah semata mata Allah suruh dan tanda kesyukuran serta pengabdian kita sebagai hambanya.

Prof MKI juga menceritakan kehidupan peribadinya yang tidak pandai membaca Al Quran dan bagaimana beliau berubah. Hidayah itu milik Allah. Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, maka akan diberikan kepadanya kefahaman dalam urusan agama. Tiada istilah terlambat untuk belajar balik. Beliau berubah sepenuhnya selepas pulang Haji. 

Membaca buku ini jujur mebuatkan air mata saya mengalir, rasa insaf dan bertanyakan pada diri tentang kedudukan iman sendiri. Banyak sangat khilaf kita selama ini terutama bab ibadah dan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hambaNya. Sejauh manakah usaha kita untuk mencari redha dan keampunanNya. Wallahualam.

p/s: Beberapa tahun selepas pulang Haji, Prof MKI berpeluang menetap di Madinah beberapa tahun bersama keluarganya. Beliau banyak menghasilkan buku lain yang tidak kurang hebatnya. Isteri beliau juga seorang penulis Roza Roslan.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 



No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...