Monday 22 February 2021

Kawal Kemarahan: Sifat Ahli Syurga

Sifat marah sebenarnya berkait dengan akhlak kita. Orang yang baik akhlaknya biasanya mempunyai sifat sabar. Mereka tidak mudah marah. Ada hadis mengatakan jika ingin lihat akhlak sebenar seseorang, lihatlah dirinya ketika marah. 

Allah menyukai orang yang sabar. Saya ada mendengar suatu cerita (maaf saya lupa sumber). Suatu hari Rasullullah saw berjalan dan terserempak dengan 2 orang lelaki yang sedang bergaduh. Salah seorang lelaki kelihatan marah dan meninggikan suara. Manakala seorang lelaki lagi kelihatan cuma berdiam diri dan bersabar sahaja dengan perlakuan lelaki itu. Rasullullah saw tersenyum sahaja melihat lelaki yang berdiam diri itu. Tidak lama selepas itu, lelaki yang berdiam diri itu kelihatan mula hilang sabar dan turut membalas balik kata-kata lelaki yang seorang lagi. Rasulullah saw terus berhenti senyum dan beredar dari tempat tersebut. Apabila ditanya kenapa baginda beredar, baginda menjawab ‘Semasa lelaki itu mendiamkan diri, aku melihat malaikat mendoakannya, maka aku senyum. Bila dia mula marah dan menjawab lelaki seorang itu, malaikat beredar dari situ, maka aku juga beredar’.

Ustaz Hanan Attaki ada menyebut mampu menahan marah itu sifat ahli syurga. Jangan marah, kamu dapat syurga. Besar sangat pahala bagi orang yang dapat kawal marah. Allah ingin menyelamatkan hambanya dengan melarang dia marah dan diberi syurga. Marah itu fitrah, Allah bagi sebagai ujian dalam hati manusia. Kenapa Allah bagi sifat marah? Supaya Allah boleh melihat siapa hambaNya yang sabar dan siapa yang tidak sabar. Allah tahu bahawa orang yang marah itu pasti sudah dikuasai syaitan. Kalau sudah dikuasai syaitan, syaitan pasti akan bawa dia ke neraka bukannya syurga.

Dalam ceramah lain Ustaz Ahmad Dasuki ada berceramah tentang jalan yang biasanya syaitan masuk kedalam tubuh badan. Salah satunya ialah bila kita marah. Orang yang marah ini biasanya akan kehilangan kawalan diri sebab diri sudah dikuasai oleh syaitan. Kesan tak terkawal ini hingga boleh masuk neraka. Sebab itu kita digalakkan membaca taawuz agar hati dan nafsu agar tidak dikuasai syaitan.

Dalam program Tanyalah Ustaz berkenaan topik marah, Ustaz Norhisyam Abdullah ada memberi satu analogi tentang kesan selepas kita marah. Ada seorang lelaki ini sangat mudah marah. Suatu hari ibunya memberi cadangan kepada anak lelakinya itu iaitu dalam hari yang dia rasa marah sekali, dia kena ambil sebatang paku dan pasangkan di dinding. Pada peringkat awal memang banyak paku yang diketuk ke dinding. Lama kelamaan ia semakin berkurangan sehingga ada hari yang dia langsung tidak marah. Selepas itu ibunya menyuruhnya mencabut semua paku itu dan terlihatlah kesan di dinding itu. Itulah yang berlaku apabila kita marah. Mungkin kita boleh minta maaf kepada orang lain dan dimaafkan tapi kesannya tetap ada dalam hati.

Astaghfirullahalazim.  Saya cuba bersangka baik bahawa Allah sedang menguji saya dengan kemarahan sebab Dia nak saya sabar dan nak bagi syurga kepada saya. Penting juga untuk mengawal kemarahan agar tidak merosakkan hubungan sesama manusia. 

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Book Review: Cerita Cinta Ahmad Ammar


Suatu masa dulu tahun 2014, kematiannya pemuda ini pernah membawa satu fenomena kepada rakyat Malaysia. Pemuda yang sebelum itu tidak dikenali, tiba-tiba dikenali. Segala kebaikannya di dunia diperkatakan dan menjadi bualan. Pengkebumiannya dihadiri ramai manusia yang berebut-rebut untuk mengusung jenazahnya. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan Eyyub Sultan, tempat bersemadinya Abu Ayub al Ansari bersama 60 orang sahabat Rasulullah saw, para pejuang tentera Uthmaniyah dan pembesar-pembesar.

Sebuah buku diterbitkan setelah pemuda ini menjadi fenomena pada waktu itu. Saya tidak melepaskan peluang membeli buku ini untuk mengenali susuk tubuh pemuda hebat terpilih ini.  

Membaca buku ini dari awal hingga akhir menerbitkan rasa kagum terhadap arwah Ammar dan juga kedua ibu bapa beliau yang jelas mempunyai misi visi tersendiri dalam membesarkan Ammar.

Ammar dibesarkan dalam keluarga tarbiah dan penuh perjuangan. Ayanhya sendiri Tuan Azzam merupakan perngerusi ABIM yang aktif dengan aktiviti dakwah dan kebajikan.

Apa yang saya kagum dengan ibubapa Ammar adalah mereka mempunyai perancangan sendiri untuk Ammar sejak kecil iaitu menyiapkan Ammar untuk menjadi seorang hamba Allah yang berpengetahuan dalam ilmu agama dan sejarah, seterusnya menyebarkan Islam ke negara lain. Dengan kata lain untuk mengabdikan diri ke dunia dakwah Islam. Maka tidak pelik apabila Ammar memilih menyambung pelajaran dalam bidang yang jarang sekali anak muda berminat iaitu sejarah Dawlah Uthmaniyah.

Ustaz Hasrizal Jamil juga ada mengatakan:

Menghasilkan seorang sarjana sejarawan Melayu Muslim, yang bertutur dalam bahasa Turki dan menguasai bidang kajian Dawlah Uthmaniyah, terlalu sukar untuk dipenuhi. Sepertinya melahirkan seorang saintis dan jurutera bertaraf dunia itu, lebih mudah daripada tugas fardhu kifayah yang satu ini!

Dalam satu petikan Encik Azam ada mengatakan:

`Jangan jadikan hidup kamu biasa-biasa sahaja seperti orang lain. Belajar, bekerja, berkeluarga, berharta dan akhirnya meninggal dunia. Itu biasa-biasa. Kita perlu jadi luar biasa.

Beliau juga mempunyai gagasan besar supaya menginfakkan usia muda sekurang-kurangnya setahun berkhidmat di luar negara selepas tamat pengajian di university. Mengembaralah untuk mengenal diri dan Allah swt.

Penulis mengumpulkan catatan dari keluarga dan sahabat terdekat Ammar. Terlalu banyak mutiara kata atau ibrah yang saya dapat daripada buku ini. Tapi kesemua mereka yang berkongsi cerita tentang Ammar mempunyai satu titik persamaan iaitu akhlak Ammar. Ramai pemuda sekarang mungkin pandai atau kaya tapi belum tentu berakhlak.

Mudah-mudahan akan ada ramai lagi yang mencontohi dan mengikuti perjuangan seperti Ahmad Ammar. Seperti kata beliau, 'dunia biarlah berpenat, akhirat tempat berehat’.

Di saat akhir hidupnya, Ammar berjaya mengkhatamkan Risalah An Nur karya Ustaz Bediuzzaman Said Nursi dengan cemerlang. Bab pertama dalam risalah ini ialah ikhlas. Ammar meninggal ketika dalam perjalanan untuk mengajar bab ini.

`Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling, maka itu tidak penting. Jika Dia menerima sedangkan seluruh masyarakat menolak, maka tiada kesannya.

`Setelah Dia meredhai dan menerimanya, jika Dia kehendaki dan selari dengan hikmahNya, walaupun kalian dalam keadaan tidak mnerima, Dia akan menjadikan masyarakat juga menerima dan meredhai. Kerana itu, keredhaan Allah sahaja yang perlu dijadikan sebagai tujuan utama dalam khidmat dakwah ini. 


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Erti Di Sebalik Asma Ul Husna

Saya baru selesai mengikuti asmaul husna series yang disiarkan sepanjang Ramadhan 2020 di Youtube channel Metronews TV. Program yang berjumlah 30 episod itu dikendalikan oleh Ustaz Mansur Yusuf dan anaknya Wirda Mansur dan Qumi Mansur.

Menyelusuri 30 episod rancangan ini memberi saya new insight berkenaan asmaul husna.

Kita sering menganggap tujuan utama al Quran diturunkan adalah untuk memberi pengajaran/panduan kepada manusia. Namun ada yang lebih utama disebalik itu iaitu Allah ingin memperkenalkan diriNya kepada kita melalui Al Quran. Al Quran adalah penjelasan tentang namaNya, supaya dikenal oleh kita. Sebab itu Asmaul husna banyak disebut dalam Al Quran. Allah sebenarnya inginkan kita mengenalinya.

Pesanan utama Allah bukan tentang ajarannya tapi tentang namanya. Bukan tentang ajarannya saja tapi tentang dirinya. You have to know me. Tapi kita terlalu fokus pada ajarannya without knowing about him. Maka solat cuma sekadar solat. Baca Al-Quran sekadar baca Al-Quran. 

Ustaz Mansur juga menerangkan bagaimana cara menggunakan asmaul husna dalam kehidupan seharian kita. Kita harus tahu berdoa dengan nama-namaNya dan tahu bagaimana namaNya bekerja.

Surah Al’ Araf surah 7 ayat 180

'Dan allah memiliki asmaul husna (nama-nama yang terbaik), maka mohonlah kepadanya dengan menyebut asmaul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyalahkan erti nama-namaNya. Mereka kelak akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan’.

Tapi sayangnya bila membaca sesuatu ayat Al Quran, kita akan fokus pada peristiwa atau pengajarannya. Bukan fokus pada nama Allah yang disebut dalam ayat itu.

Contoh:

Surah Al-Baqarah ayat 26I

Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah, seperti sebutir biiji yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui.

Kita fokus pada amalan sedekah dan ganjaran tapi tidak nampak sifat allah al Wasi’ yang memberi ganjaran seluas-luasnya kepada kita. Yang membuka seluas luasnya pintu kebaikan untuk orang yang bersedekah sehingga 700x ganda. 

Surah Al Baqarah ayat 246-248

Kisah nabi Daud dan Talut. Daud hanya seorang kanak-kanak kecil yang menang menentang Talut yang besar gagah perkasa.

Kita akan fokus pada betapa hebatnya Daud mengalahkan Jalut tapi tidak nampak sifat allah al Wasi’ yang begitu luas yang memberi pertolongan pada Daud. Sifat Al Qadr, Al Malik Al Jabbar allah yang memberi kekuatan pada nabi Daud 

Banyak lagi contoh ayat yang diberi oleh Ustaz Mansur sepanjang 30 episode ini. Mendengar penerangan Ustaz memang akan mebuatkan kita terhenti sejenak dan berfikir betapa selama ini kita sekadar membaca Al Quran tanpa memahami apa yang ingin Allah sampaikan.

Setelah itu, apbila kita mula memahami makna asmaul husna, kita akan mula berfikir jauh dan luas, Sebab allah itu maha segala-galanya. Maha Kaya, Maha Penyayang, Maha Berkuasa, Maha Pemaaf (dan banyak lagi). Doa jangan pakai had pemikiran atau keupayaan kita. Doa biar besar mengikut keupayaan Allah.

Jangan takut atau malu atau rasa tidak yakin untuk minta daripada Allah. Boleh jadi apa yang kita inginkan kedengaran tidak masuk akal atau mustahil. Tapi tidak bagi Allah. Allah punya cara sendiri untuk kabulkan doa setiap orang mengikut kemahuanNya. Tugas kita sebut sahaja. Kita tak akan tahu cara allah menunaikan hajat kerana kita bukan al alim, bukan al malik, bukan al wasi’, dan kita bukan Allah.

Masalah pada kita pada masa sekarang, buka saja tidak yakin dengan Allah, kita juga tidak berbual dengan Allah sepertimana kita berbual dengan kawan-kawan. Sebab itu Allah jauh dari kita. Mana hambaku yang suka mengadu, datang sini mengadu kepadaku.

Akhir kata, saya galakkan anda menonton rancangan ini untuk membawa kita mengenali Allah dengan lebih lanjut. Allah adalah sebaik baik tempat  mengadu dan meminta segala sesuatu hajat. Saya tutup dengan doa dari Ustaz Mansur.

Doa: Ya allah, kenali namamu kepada kami agar kami bisa berkenalan dan mengenali nama-namamu. Ya allah izinkan kami menyebutmu, izinkan kami mengingatimu dan datang kepadamu dan menjadikan engkau satu-satunya yang kami sebut, yang kami harapkan, yang kami inginkan, yang kami butuhkan. Ya allah mudah-mudahan kami bisa menggunakan namamu dengan benar, memanfaatkan namamu dengan apa yang kau suruh manfaatkan dalam keadaan yang kau redha. Sungguh mulia kami ya allah kerana bisa dizinkan menyebut dan mempelajari namamu.

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Friday 12 February 2021

Surah Al Kafirun: Bagiku Tuhanku Dan Bagi Kamu Tuhanmu


Turunnya ayat-ayat dalam surah di atas bersempena dengan satu kisah ketika islam mula-mula disebarkan. Disebutkan dalam satu kisah bahawa orang Quraisy Mekah telah membuat pelbagai tawaran kepada Rasulullah S.A.W supaya meninggalkan ajaran islam yang dibawanya ketika itu. Ada yang menawarkan harta, pangkat, perempuan dan macam-macam lagi supaya penyebaran agama islam dihentikan oleh baginda. Akan tetapi Rasulullah tidak mahu menerima satu pun dari tawaran tersebut tetapi terus menerus menyebarkan islam.


Setelah pelbagai cara dilakukan oleh orang Quraisy, lalu pada suatu hari mereka mengajak Rasulullah berbincang dan membuat tawaran lagi kepada Rasulullah S.A.W dengan tujuan supaya baginda berhenti menyebarkan ajaran islam. Dipendekkan ceritanya:

"Ya Muhammad, apa kata kami menyembah Tuhan kamu sehari dan  kamu menyembah Tuhan kami sehari, berselang-seli"

Rasulullah tidak bersetuju, lalu mereka pulang berbincang sesama mereka dan datang bertemu Rasulullah lagi.

"Beginilah, Kami sembah Tuhan kamu seminggu dan kamu sembah Tuhan kami sehari"

Rasulullah menjawab,"Tidak"

Orang Quraisy membuat tawaran lagi kepada Rasulullah, "Kami sembah Tuhanmu selama setahun dan kamu sembah Tuhan kami sehari, bagaimana?"

Rasulullah menolak tawaran tersebut,lalu dari pertemuan tersebut turunlah ayat Allah seperti dalam surah di atas.

Kisah yang saya ceritakan di atas terdapat dalam buku ini di bawah tajuk," Quraisy Membuat Tawaran".



Nabi Muhammad saw begitu tegas sekali dalam mempertahankan tauhid Allah. Kalau dilihat dalam konteks masyarakat sekarang terutama di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Ada sesetengah perkara yang orang islam boleh ikut agama lain. Contoh makan makanan kaum Cina yang halal, pakai pakaian kaum India asalkan menutup aurat atau menghadiri perayaan kaum mereka yang tidak menyalahi akidah kita sebagai orang Islam.

Namun kita harus tegas bila hal itu melibatkan akidah. Contoh dekat Malaysia terdapat banyak rumah agama seperti masjid, kuil, tokong dan gereja. Itu tidak bermakna kita kena menyembah tuhan mereka dan mereka kena sembah tuhan kita. 

Apa yang cuba disampaikan di sini ialah:

1.       Tiada kompromi dalam urusan agama yang melibatkan ibadah, akidah dan prinsip Islam. 

2.       Kita tidak boleh menyamai ibadah agama lain

3.       Tiada titik pertemuan antara tauhid dan syirik. 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  


KPI Syarikat vs KPI Allah (Ganjaran Dunia Vs Ganjaran Syurga)

Bekerja di syarikat swasta lazimnya memang akan menekankan KPI atau Key Performance Indicator untuk menilai prestasi pekerja dan seterusnya menentukan bonus atau kenaikan gaji tahun itu.

Dulu mungkin saya tak nampak atau tidak melihat dengan mata hati. Cuma sekarang saya perasan banyak benda yang berlaku di sekeliling saya cuba kaitkan dengan Allah. Contohnya KPI. Bekerja dalam syarikat yang sangat berorientasikan result, maka KPI menjadi keutamaan harian kami dalam berkerja. Untuk kenaikan gaji dan bonus. Bertungkus lumus seharian demi memastikan kami capai target.

Lalu saya fikir itu KPI dunia untuk perkerjaan yang sementara. Bersungguh sekali kami mengejarnya. Bagaimana dengan KPI untuk Allah dan akhirat? Iaitu untuk mendapat redha Allah, mati dalam husnul khatimah seterusnya masuk syurga? Sudahkan saya berusaha memenuhi KPI yang Allah tetapkan? Sudahkah saya buat apa yang Allah perintahkan dan tinggalkan perkara yang dilarang? Seperti menjaga solat, tinggalkan maksiat, buat baik pada ibu bapa dan banyak lagi KPI.

Kenaikan gaji dan dapat bonus secara zahir kelihatan betul itu daripada bos/syarikat. Tapi hakikatnya mereka cuma perantara sahaja. Sama juga kita fikir setiap ganjaran yang kita dapat adalah sebab hasil usaha kita. Sedangkan itu cuma asbab. Allah ialah maha pemberi rezeki yang sebenar. Dia boleh dan akan beri kepada siapa yang dikendaki.

Apabila seseorang pekerja itu produktif, syarikat juga akan mendapat untung. Jika pekerja itu tidak produktif, maka syarikat itu akan rugi.

Berbeza dengan allah. Kita menjadi muslim yang baik atau tidak, Allah tidak pernah rugi apa-apa. Kita yang rugi sebenarnya jika tidak menjadi Muslim yang baik.

I try my best to meet my company’s expectation but why I can’t try my best to meet my creator’s expectation?


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Going the Extra Mile - Beri Lebih Dari Apa Yang Diharapkan

Going the extra miles or to make a special effort to do or achieve something  or making more effort than expected ialah antara kualiti yang yang sering ditekankan dalam seorang pekerja yang terlibat dengan khidmat pelanggan sama ada face to face or on call.

Entah kenapa tiba-tiba suatu hari saya terfikir, I can go the extra miles for customer but how about go extra miles untuk Allah?

Untuk pelanggan yang sama level dengan saya iaitu cuma manusia biasa, saya cuba jaga kualiti dan beri lebih daripada apa yang mereka minta. Contohnya, bila ada sesuatu pending case, saya menawarkan diri untuk follow up and call back customer walaupun tidak diminta. Sedangkan mereka belum tentu menghargainya. Saya juga cuba sedaya upaya mengikut protokol yang betul untuk melayan mereka agar mereka berpuas hati dan tidak membuat sebarang complain.

Tetapi allah yang maha besar, maha pemberi yang mengatur segala urusan yang mencipta saya, tidak pula saya cuba beri servis yang terbaik. Tidak pula saya ikut segala suruhan yang diberikan. Padahal allah sendiri dah janjikan ganjaran berkali ganda andai kita buat apa yang dia suruh, apatah lagi kalau kita go the extra miles. Go extra the miles dalam konteks hubungan dengan allah ialah bukan setakat buat apa yang wajib, tapi yang sunat sekali. Contohnya kita dah solat 5 waktu, kenapa kita tak boleh menambahkan solat sunat sebagai tanda kasih sayang dan kesyukuran kita padaNya? Ataupun perbanyakkan sedekah, zikir dan menyebarkan Islam dimuka bumi ini. 

Allah sendiri cakap, ‘ Jagalah allah, nescaya Dia akan menjagamu’. Selangkah hambaku mendekat kepadaku, aku akan lebih dekat kepadanya.

Nab Muhammad saw adalah contoh teladan terbaik yang sentiasa going the extra miles. Baginda sentiasa solat taubat dan mohon ampun setiap hari sedangkan baginda adalah manusia yang maksum dan sudah dijanjikan allah syurga.  Sedangkan kita yang setiap hari berdosa tapi masih bersenang lenang.  

Kenapa kita terlalu merendahkan diri dihadapan manusia dan menagih kebaikan daripada manusia? Kenapa kita tidak boleh buat yang sama pada Allah? Kita cuba sedaya upaya menambat hati manusia tapi adakah kita sudah cuba menambat hatiNya?

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Memberi Tanpa Mengharap Balasan

Dalam pekerjaan seharian saya yang melibatkan pelanggan, saya sangat suka bila dapat ucapan terima kasih atau penghargaan daripada pelanggan. Namun ada masanya, saya rasa sudah bagi servis yang baik kepada pelanggan. Tapi mereka tidak mengucapkan terima kasih atau menghargainya. Saya rasa kecewa sebab mereka tidak menghargai kebaikan/servis yang saya rasa sudah bagi sebaik mungkin.

Lalu saya terfikir, kenapa harus kecewa? Bukan salah mereka. Tanggungjawab saya adalah untuk bagi servis yang terbaik kepada pelanggan saya dan hak mereka adalah untuk mendapat servis yang baik. Sama ada mereka membalas balik atau tidak, itu tidak wajib bagi mereka. Lalu saya sedar bahawa masalah saya adalah tidak ikhlas. Saya cuba berbuat baik kepada mereka kerana mengharapkan balasan.

Saya fikir ini juga antara penyebab utama kenapa kita tidak bahagia dengan diri. Sebab kita sering mengharapkan orang lain untuk berbuat baik kepada kita. Contoh seorang isteri menuntut hak daripada suami, seorang rakyat menuntut hak daripada pemimpin, seorang anak menuntut hak daripada ibu bapa. Tapi pernahkah kita terfikir adalah kita sendiri sudah menunaikan hak kita kepada orang lain?

Itulah realiti sekarang.

Sifat manusia, sering mengharapkan balasan daripada manusia.

Sifat manusia, sering mengungkit dan menuntut hak kita daripada orang lain. Tanpa memikirkan sudahkah kita menunaikan hak pada orang lain.

Sifat manusia, suka menerima daripada memberi. Sudah memberi, mengharapkan balasan pula.

Sifat manusia, mudah nampak ketidaksempurnaan orang lain. Tanpa memikirkan diri juga tidak sempurna.

Dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki, ada diceritakan satu kisah. Sedekah yang paling ikhlas ialah kepada binatang. Kerana mereka tidak reti untuk membalas balik dan mengucapkan terima kasih.

Buatlah baik sehabis mungkin kepada orang lain dan tunaikanlah hak orang sekeliling kita tanpa mengharapkan balasan balik. Manusia mungkin tidak reti membalas balik tapi tidak Allah. Apabila kita berbuat baik pada Allah, pasti ada balasannya. Jika bukan di dunia, di akhirat. Biarlah Allah yang membalas kebaikan kita dan menunaikan hak orang pada kita. 


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

 

Saturday 6 February 2021

Umrah Yang Tidak Kesampaian: Belum Dijemput Atau Diri Yang Tidak Bersedia?

Kalau ikutkan perancangan, saya ingin mengerjakan umrah tahun lepas. Tapi belum ada rezeki lagi. Sama ada belum masa saya untuk dijemput oleh allah atau saya sendiri yang belum bersedia atau belum cukup berdoa serta amal solehnya.

Saya tertarik dengan suatu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Felix Siow berkenaan umrah.

Umrah itu adalah perjalanan bukan sekadar beberapa hari di Mekkah tapi sejak mula doa dipanjatkan untuk ke sana. Berapa kerap kita berdoa untuk mengerjakan umrah berbanding dengan berdoa untuk ke tempat lain seperti Jepun, Korea dan sebagainya. 

Ustaz Felix juga ketika mula-mula memeluk Islam tidak berdoa untuk ke Mekkah kerana memikirkan kehidupannya yang susah dari segi kewangan. Tapi kemudian beliau terfikir kalau tidak minta sama Allah, mahu minta dengan siapa lagi? Allah kata berdoalah kepadaku, maka akan aku kabulkan. Lalu beliau mula berdoa. Allah mempunyai banyak cara untuk kabulkan doa kita. Perbanyakkanlah amal soleh. Mungkin kita tidak mempunyai duit yang cukup untuk ke sana, tapi boleh jadi amal soleh itu menjadi asbab untuk allah membawa kita ke sana.

Dalam ceramah lain, Ustaz Felix menceritakan tentang mengambil peluang atau kesempatan (grab the chance). Ada yang tertanya-tanya mengapa dirinya belum dijemput ke Mekkah/Madinah. Persoalannya sudahkah kita merebut kesempatan kecil yang allah bagi pada kita? Contonhnya peluang solat berjemaah di masjid atau menghadiri majlis ilmu yang diadakan hampir di setiap tempat? Kalau kita sendiri tidak mengambil kesempatan untuk memenuhi peluang kecil yang allah sediakan itu, mengapa allah harus beri peluang yang lebih besar itu? So grab the chance. Solat di masjid, kelas pengajian, sedekah, tolong orang susah. Jangan sekali kali lepaskan setiap peluang kecil itu. Sehingga allah sudah percayai kita dengan peluang kecil itu, akan sampai masa allah mempercayai kita dengan peluang yang lebih besar iaitu umrah.

Saya banyak fokus pasal duit kalau berbicarakan tentang umrah. Mahu kumpul duit dulu. Satu lagi niat nak pergi dengan mahram iaitu suami (belum nampak bayang). Bila saya mendengar ceramah ini dan bermuhasabah, saya fikir ia bukan kaitan dengan duit semata-mata. Hakikatnya diri ini yang belum cukup berdoa, belum cukup amal solehnya. Lalu Allah suruh tunggu dulu sehingga benar-benar bersedia agar bila sampai di sana, saya sudah biasa berdoa dan melakukan amal soleh. Seterusnya dapat umrah atau haji mabrur. Wallahualam.

Nota: Boleh subscribe Youtube channel Ustaz Felix Siauw untuk lihat pelbagai koleksi ceramah atau lik link ini untuk melihat Catatan Haramayn beliau di sana.



Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Book Review: Zero Hutang (Bukan Mudah Tapi Tidak Mustahil)

Seusai habis belajar, saya tidak mempunyai perancangan kewangan yang khusus. Maksudnya saya tidak tahu apa yang sepatutnya saya buat dengan duit saya. Nasib saya bukan seorang yang boros atau suka membeli sesuatu yang berjenama atau membeli kereta seperti kebanyakan anak muda. Maka duit gaji saya cuma di simpan di ASB/TH.

Masuk usia 25 tahun, saya mula memikir secara serius tentang perancangan kewangan. Seperti apa yang patut saya buat untuk membiakkan duit dan menjadi kaya seperti impian kebanyakan orang lain. 

Melalui hasil pembacaan dari pelbagai sumber, saya mula mencari pelbagai platform untuk simpan/tambah duit melalui pelaburan dan perniagaan. Selain simpanan biasa ASB/TH, saya kemudiannya membuka ASBF. Saya juga membeli takaful Prudential untuk perlindungan. Dan akhir sekali saya turut membeli emas.

Saya bukanlah nak cerita pada jenis pelaburan atau perniagaan yang saya buat sebelum ini. Cuma sekadar ingin berkongsi pentingnya anak muda sekarang mempunyai perancangan akan kewangan dan hala tuju dalam kehidupan. Buku Zero Hutang karya Mohd Zulkifli Shafiee ini buku kewangan pertama yang saya beli masa umur 2015. Sebenarnya saya mula membaca blog beliau berkenaan emas dan dari situ saya tahu beliau ada menulis buku. Selepas membaca buku beliau, saya memutuskan mula melabur emas dengan beliau sebagai agent saya.

Pelbagai topik diulas dalam buku ini berdasarkan apa yang beliau belajar dan lalui sendiri. Isinya ringkas tapi mudah difahami, sangat sesuai untuk golongan muda yang baru nak berjinak dengan pengurusan kewangan. Saya ringkaskan beberapa nasihat yang saya suka baca dan praktiskan:

1.     Simpanan perlu dipaksa. Ramai orang sering beli alasan tidak boleh menyimpan sebab gaji tidak cukup. Biasanya mereka akan membelanjakan dulu duit dan baru simpan selebihnya (kalau ada). Ini cara yang salah. Kita perlu simpan dulu walau RM10 kemudian baru dibelanjakan.

2.     Dana kecemasan sekurang-kurang 3 bulan gaji. Hakikatnya ramai buat tidak endah tentang pentingnya simpanan kecemasan. Buktinya di musim covid sekarang, berapa ramai yang jatuh terduduk terus selepas hilang perkerjaan disebabkan langsung tiada simpanan.

3.     Bila dah ada dana kecemasan sekurangnya 3 bulan, baru boleh mula melabur. Seperti yang saya beritahu sebelum ini, Tuan Zulkifli adalah dealer emas dan saya mula belajar tentang emas daripada beliau (walaupun beliau tidak kenal saya). Jadi antara pelaburan yang dicadangkan oleh beliau ialah emas. Saya sendiri sebagai pembeli emas boleh lihat kenaikan harga emas. Masa saya mula membeli tahun 2015, harga emas 1 gram lebih kurang RM 150-160. Sekarang tahun 2021, harga 1 gram sekitar RM 265-275. Kenaikan 70-80%!

4.     Hidup di bawah kemampuan. Saya suka point ini. Orang kaya yang benar-benar kaya ramai yang hidup secara low profile seperti pakai kereta murah, duduk rumah flat, pakai baju murah dan sebagainya. Namun harta berjuta. Tapi golongan yang baru nak kaya atau belum pun kaya lagi itulah yang banyak hidup di luar kemampuan. Gaji bulanan ribuan ringgit tapi hutang juga sama banyak. Lagi sedih langsung tiada simpanan walaupun nampak mewah secara luaran.

5.     Selain pelaburan, carilah peluang bisnes tapi jangan mulakan bisnes dengan hutang. Buatlah bisnes apa pun yang halal, asalkan berbisnes. Mulakan saja walaupun untung kecil. Suatu hari nanti anda akan jumpa bisnes yang paling serasi dengan anda. Orang yang tidak pernah buat silap ialah orang yang tidak pernah berbuat apa-apa. Bahkan tidak berbuat apa-apa itu sendiri adalah satu kesilapan. Orang paling berjaya ialah orang paling banyak buat kesilapan, tetapi mereka belajar dari setiap kesilapan.

6.     Keseronokan bisnes bukan sekadar pada duit yang kita dapat tetapi pada manfaat yang kita berikan melalui bisnes.

7.     Bersedekah. Tidak perlu tunggu kaya untuk bersedekah. Mungkin agak sukar untuk yang tidak biasa sebab kita akan fikir duit sendiri pun tak cukup, lagi pula nak sedekah. Paksakan diri untuk bersedekah walau seringgit. Lama-lama ia akan jadi tabiat dan kita akan sedar sebenarnya dengan sedekah itu tidak pernah menjadikan kita miskin.

Ini antara beberapa ringkasan tentang buku Zero Hutang. Sebenarnya banyak lagi buku tentang kewangan di luar sana. Ramai juga public figure yang popular di FB sering berkongsikan tentang pengurusan kewangan seperti saudara Harith Faisal, Azizi Ali, Dr Azizan Usman (sekadar memberi beberapa nama). Bagi saya tidak mengapa hidup secara biasa, tapi andai mampu berusaha untuk menjadi kaya itu lagi bagus. Jika tidak kaya juga tidak mengapa asalkan tidak terperangkap dengan hutang yang memakan diri sendiri.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

 

Wednesday 3 February 2021

Pengajian Agama di Pondok Lubuk Tapah

Lebih kurang 4 tahun yang lepas (2017), saya pernah masuk Pondok Lubuk Tapah di Pasir Mas Kelantan selama kira kira 3 bulan. Saya rasa saya patut kongsi pengalaman saya ini sebab ramai orang di luar sana yang berminat sebenarnya dengan sekolah pondok tapi tidak tahu cara untuk memohon belajar di sini. 

Atau mungkin ada yang salah faham dan beranggapan sekolah pondok cuma untuk pelajar lulusan agama, atau remaja bermasalah atau untuk orang tua menghabiskan sisa hidup. Sebenarnya sesiapa saja boleh belajar di pondok. Cuma kena cari pondok yang sesuai dengan peringkat umur dan berapa lama kita ingin belajar sebab setiap pondok di Malaysia mempunyai syarat kemasukan yang berbeza.

Saya mulakan dulu bagaimana saya boleh masuk sekolah pondok. Beberapa tahun sebelum itu lagi saya memang sentiasa fikir bahawa ilmu agama saya sedikit dan saya ingin belajar tentang agama lebih lanjut dalam masa sama saya ingin memperbaiki diri saya. Dan saya terfikir salah satu cara untuk capai tujuan tersebut ialah dengan masuk pondok. Untuk pengetahuan anda, saya bukan seorang pelajar lulusan sekolah agama. Saya melalui kehidupan biasa seperti orang lain, masuk universiti dan alhamdulillah berjaya mendapat pekerjaan yang saya kira baik.

Sekitar pertengahan 2016, saya mula merasakan perasaan tidak tenang dalam diri. Rasa serba serbi tidak kena. Walaupun saya sudah mempunyai kerjaya yang baik, dikelilingi orang yang baik, masa saya terisi dengan buat perkara yang saya suka pada masa itu iaitu mendaki gunung/bukit, melancong, terlibat dengan aktiviti sukarelawan, dan berniaga juga. Dari segi agama walaupun tidaklah alim, tapi saya solat, baca Al Quran dan berpakaian sopan serta buat beberapa perkara lain yang disuruh agama. Senang cerita hidup saya baik. Tapi jauh di sudut hati rasa kosong yang saya tak tahu bagaimana nak ceritakan pada orang lain. Dada rasa berat.

Selepas beberapa bulan dilema, saya putuskan bahawa inilah masa yang terbaik untuk saya berhenti kerja dan tinggalkan seketika dunia saya ketika itu. Maka bermulalah proses pencarian bagaimana untuk masuk pondok. Masa itu saya langsung tak ada sumber rujukan atau kenalan untuk saya tanya bagaimana cara masuk pondok. Google dan FB adalah satu satunya sumber yang saya ada, namun ia tidaklah mudah kerana kebanyakan maklumat yang disediakan sudah lama atau tidak relevan lagi. 

Saya dapati pondok di Malaysia memang banyak namun tidak semua menerima pelajar di peringkat usia saya dan ada sesetengah pondok menetapkan untuk belajar dalam tempoh masa tertentu dan pendaftaran juga ada masa tertentu. Sedangkan pada masa itu saya sudah merancang untuk belajar di pondok beberapa bulan sahaja.

Alhamdulillah setelah beberapa percubaan dan pencarian pondok yang sesuai, saya berjaya juga jumpa nombor telefon seorang ustaz atau mungkin warden dekat Pondok Lubuk Tapah. Lepas saya hubungi ustaz tersebut, beliau terus meminta saya berurusan dengan Ustazah atau Warden yang menguruskan kemasukan pelajar perempuan. Dari situ saya tahu serba sedikit iaitu kemasukan terdiri untuk semua peringkat umur dan tiada had untuk belajar berapa lama. Juga yuran pendaftaran pertama kali RM 35 (kalau tidak silap), Selepas itu kena bayar yuran penginapan setiap bulan RM 30. Makan minum dan pembelian kitab adalah tanggungan sendiri.

Dipendekkan cerita pada 11 Januari 2017, saya mula mendaftar masuk ke Pondok Lubuk Tapah. Proses pendaftaran mudah saja, saya diberi beberapa kitab untuk pengajian dan ditempatkan di asrama perempuan. Masa saya belajar di situ, saya antara pelajar yang paling tua. Kebanyakan pelajar lain adalah belasan tahun yang merupakan pelajar tetap. Atau pelajar sementara seperti lepasan SPM/STPM yang mengambil peluang untuk mendalami ilmu agama sementara menunggu kemasukan ke universiti. Pelajar lelaki dan wanita memang tidak bercampur langsung. Penginapan antara pelajar dewasa/remaja dan untuk orang tua juga diasingkan. Maka bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar ‘berusia’ bersama adik adik di Pondok Lubuk Tapah.

Saya akan ceritakan tentang kehidupan saya sebagai pelajar di pondok selama 3 bulan dalam post yang berikutnya.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.

Book Review: The Unchartered Path


Sebelum saya terjumpa buku ini, saya tidak tahu pun siapa presiden Korea sebelum ini dan juga sekarang. Sebut Korea, mesti orang ingat KPOP. Saya tak merancang pun untuk beli buku ini. Sebenarnya pada 30 November 2020 merupakan hari terakhir operasi kedai buku Popular di Avenue K (banyak kedai tutup disebabkan covid). Jadi mereka telah membuat jualan besar besaran untuk buku berbahasa Inggeris. Ada yang RM 10 untuk 5 biji dan RM 20 untuk 5 biji. Murah kan? Jadi saya tak melepaskan peluang untuk memborong buku walaupun saya kurang membaca buku bahasa Inggeris sebenarnya.

Berbalik kepada buku ini, President Lee Myung Bak sebelum menjadi president adalah bekas CEO Hyundai, antara syarikat gergasi di Korea Selatan. Beliau lahir dalam keluarga susah dan sempat merasai suasana perang saudara antara Korea Utara-Korea Selatan.

Kehidupan beliau di zaman kanak-kanak hinggan masuk ke zaman universiti sangat miskin dan susah. Saya yang membaca buku turut terasa dan terbayang bayang akan kesempitan hidup, makanan yang dicatu dan kepenatan bekerja sambil belajar sejak zaman kecil. Sehingga beliau tidak layak untuk masuk latihan tentera disebabkan keadaan fizikal dan kesihatan yang tidak memuaskan. Namun beliau tidak berputus asa untuk belajar sehingga berjaya masuk kolej, terlibat dengan aktivis sehingga masuk penjara dan kemudian diterima masuk kerja di Hyundai yang ketika itu belum lagi terkenal.

Beliau bermula dari bawah di Hyundai. Tapi disebabkan sifat yang tidak mudah putus asa, sentiasa ada idea yang bernas serta tegas berpegang pada prinsip yang benar menyebabkan beliau menjadi orang kepercayaan bos dan naik pangkat dengan cepat. Sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berundur dari Hyundai dan memasuki dunia politik.  27 tahun berkhidmat dengan Hyundai, pelbagai coretan menarik diceritakan tentang usahanya dan ideanya untuk membawa Hyundai pergi lebih jauh ke peringkat antarabangsa.

Saya suka membaca bab tentang hubungannya dengan Tun Mahathir. Mereka mengenali satu sama lain semasa Tun M masih lagi seorang timbalan dan beliau sendiri masa itu masih lagi President Hyundai. Hyundai merupakan syarikat yang terlibat dengan pembinaan jambatan Pulau Pinang. Asalnya Hyundai bukanlah syarikat pilihan untuk mengendalikan projek pembinaan Jamabatan Pulau Pinang. Tapi bila Tun M naik menjadi PM selepas kematian Tun Hussein Onn, Tun M cuba merombak balik segala projek dan organisasi politik masa itu dengan konsep politik bersih atau bebas rasuah. Lalu syarikat pilihan untuk projek jambatan Pulau Pinang sebelum ini yang terlibat dengan rasuah dibatalkan dan Hyundai menjadi pengganti.

President Lee sememangnya seorang yang sangat kuat bekerja. He cannot recall any memory that he’s not working. Beliau mengakui kesibukannya berkerja menyebabkan masanya bersama keluarga sangat kurang. Tapi itu tidak bermakna beliau mengabaikan keluarganya. Apa yang beliau lakukan ialah beliau sentiasa meminta jadual dan rutin harian anak-anak daripada isterinya. Seperti jadual kelas, perperiksaan dan dengan siapa anaknya berkawan. Jadi apabila beliau berurusan di luar negara, beliau akan sentiasa mengambil masa untuk menghubungi anaknya dan bertanyakan tentang aktivit seharian mereka. Ini menyebabkan anak-anaknya merasakan ayahnya sentiasa mengambil berat akan mereka walapun tidak berjumpa secara bersemuka.

Perjalanan beliau dalam politik juga ada turun naik. Saya tertarik dengan satu kisah dimana beliau menarik diri daripada dunia politik (belum menjadi presiden lagi) disebabkan isu tertentu. Beliau menceritakan  bahawa Tun M juga ada melalui saat seperti itu, tetapi Tun M tidak pernah berhenti belajar. Tun M akan bawa pen dan kamera, kemudian berkunjung ke luar negara sambil melawat mana-mana kilang besar untuk merakam dan mendapatkan idea untuk membangunkan negara dan masyarakat secara global. Apabila pulang dan kembali ke politik, Tun M terus mangaplikasikan apa yang dipelajarinya sebelum ini. Secara peribadi, ini salah satu sifat Tun M yang saya kagum. Sentiasa belajar dan mempunyai pandangan yang jauh sehingga boleh mengubah sebuah negara yang bernama Malaysia.

Jadi beliau memutuskan untuk pergi ke US untuk belajar sambil melawat kawasan di sana untuk mendapatkan idea. Balik sahaja ke Korea, beliau sudah mempunyai idea yang jelas untuk membangunkan Korea masa itu. Tidak lama selepas itu, beliau menjadi President Korea yang ke -17. Bandar Seoul yang ada di Korea sekarang adalah hasil idea yang beliau dapat semasa melawat bandar Boston, US.

President Lee going through such a long journey. Siapa yang pernah terfikir seorang budak yang sangat miskin dan sentiasa kelaparan berjaya keluar dari kepompong itu dengan melalui pelbagai fasa kehidupn yang mencabar. Semua itu tidak akan terhasil tanpa keazaman yang kuat dan yang penting sentiasa belajar.   

Sebut pasal belajar, saya nak tutup penulisan ini dengan memetik sedikit kata-kata Ustaz Mohd Pahrol Juoi dalam bukunya Pesan Hati Untuk Hati:

‘Dengan membaca, seseorang akan dicorakkan ke arah yang lebih baik.

When you stop learning, you stop reading.

Apabila kita berhenti belajar, kita berhenti memimpin. Setiap orang ialah pemimpin. Sekurang-kurangnya kepada diri sendiri. Jadi apabila seseorang mula membaca ia sebenarnya bukan setakat membaca, malah dia sedang memimpin. Leaders are learners! Pemimpin ialah orang yang sentiasa belajar.

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...