Showing posts with label My Story. Show all posts
Showing posts with label My Story. Show all posts

Tuesday 25 October 2022

Pengalaman Belajar Di Pondok (Bahagian 2)

Pada 13 Januari 2017, bermulalah kehidupan saya sebagai seorang pelajar. Rutin harian adalah sama setiap hari Ahad-Khamis. Kami wajib solat berjemaah di masjid setiap 5 waktu. Lepas solat subuh berjemaah, kami akan membaca Al Mathurat beramai ramai. Lepas itu bersiap untuk kelas pagi bersama guru yang kami panggil Ustaz Abah bermula jam 7.30 pagi – 9.00 pagi. 

Sepanjang 3 bulan saya di sana, apa yang kami belajar setiap pagi adalah tafsir beberapa surah Al Quran. Ustaz Abah adalah Ustaz kegemaran kami semua. Pengalaman saya sendiri belajar dalam kelas Ustaz Abah, saya kagum sebab ini pertama kali yang saya belajar dengan seorang guru yang sepanjang kelas tidak mengangkat kepala memandang kami pelajar perempuan. Tumpuannya hanya menunduk kepada kitab yang di baca. Tapi setiap lafaz yang keluar dari mulutnya sentiasa menyentuh hati kami berkenaan kisah dan pengajaran daripada Al Quran. Saya sendiri tidak terkira berapa kali tertusuk hati dan menangis setiap kali mendengar ceramah ustaz abah.

Selesai kelas abah, kami ada masa untuk rehat seketika dan bersarapan sebelum memulakan kelas yang berikutnya jam 9.30 pagi bersama Ustazah Mimi. Banyak topik yang kami belajar tapi kebanyakan bab asas ibadah seperti solat, bacaan Al Quran, puasa, haid dan sebagainya. Nampak seolah perkara asas yang kita dah belajar sejak sekolah rendah. Tapi hakikatnya semakin kita belajar, baru kita tahu sebenarnya banyak lagi yang kita tak tahu dan kena perbaiki.

Seterusnya kami balik ke bilik dan mempunyai masa yang agak panjang untuk makan tengahari dan tidur. Kemudian solat zuhur berjemaah dan akan ada pengajian kitab dalam masjid juga selepas selesai solat. Setiap hari menggunakan kitab berbeza dengan ustaz berbeza. Jam 3 lepas habis pengajian kami akan ke bilik pengajian yang sama seperti pagi tadi untuk membaca Al Quran. Dalam kelas Al Quran ini biasanya ada beberapa Ustazah yang akan datang untuk memantau bacaan kami. Dan ada juga beberapa pelajar senior yang menjadi guru al quran untuk adik adik yang baru belajar membaca Al Quran. Lepas itu kami kembali ke masjid untuk solat Asar berjemaah dan sekali lagi kami akan baca Al Mathurat selepas Asar.

Petang adalah aktiviti bebas. Makan, mandi dan berehat. Dan ke masjid lagi untuk solat Maghrib dan Isya berjemaah. Antara Maghrib dan Isyak juga akan ada kelas pengajian. Lepas Isyak sekali lagi kami ada kelas membaca Al Quran. Kelas tamat kira kira pukul 10 pm dan kami akan baca surah Al Mulk dan beberapa ayat Al Quran serta doa sebelum semua kembali ke dorm masing masing untuk tidur.

Setiap petang khamis kami ada aktiviti gotong royong membersihkan kawasan pondok. Hujung minggu seingat saya memang aktiviti bebas kecuali pagi jumaat juga ada kelas pengajian. Masa ini kami biasanya memang tak keluar kemana mana. Ada juga ibu bapa yang datang melawat.

Sekali tengok rutin harian ini mungkin ada yang fikir nampak padat atau membosankan. Tapi percayalah kalau niat anda betul masuk pondok untuk belajar, anda sama sekali tidak akan rasa bosan. Bahkan sentiasa teruja untuk belajar sesuatu yang baru.

Begitulah serba sedikit rutin harian disana yang saya boleh ingat. Saya akan sambung dalam bahagian seterusnya beberapa kisah lain. 


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.

Pengalaman Belajar di Pondok (Bahagian 3)

Kali ini saya ingin cerita tentang perbelanjaan di pondok. Pertama kali daftar RM 35 dan yuran penginapan setiap bulan RM 30. Kitab beli sendiri, saya berhabis dalam Rm 150-Rm 200 untuk kitab. Bab makan pula kami memang tidak dibenarkan masak dan menyimpan alatan masak di asrama. Jadi kami beli makanan di kantin. Murah saja, untuk makan tengahari/malam contohnya ada nasi putih, sayur dan ikan/ayam cuma RM 3. Sarapan pagi seperti mihun goreng berharga RM 1.

Manakala dari segi pakaian kami untuk pergi kelas kami boleh pakai baju kurung atau jubah dan wajib bertudung labuh. Saya bernasib baik sebab mak saya memang pakai tudung labuh jadi saya cuma pinjam tudung mak saya. Juga kami wajib pakai stoking dan sarung tangan. Secara keseluruhan sepanjang 3 bulan di sana, saya habis tidak sampai RM 1000 untuk yuran, kitab, makan, pakaian dan sebagainya.

Kami tidak wajib berpurdah. Saya sendiri tidak pernah cuba memakai purdah sebab pendapat peribadi saya sendiri, bila memakai purdah bukan semata mata untuk menjaga kecantikan seseorang wanita dari pandangan ajnabi, tetapi menunjukkan tahap akhlak dan agama perempuan di berada di tahap yang tinggi berbanding wanita yang tidak berpurdah. Sebab itu saya tidak ingin memakai purdah kerana merasakan saya belum berada dalam tahap itu lagi.

Antara peraturan belajar di pondok ialah kita tidak dibenarkan pegang phone. Dalam pondok juga memang tiada TV. Bagi saya sendiri ia bukan satu cabaran besar buat saya kerana saya bukanlah kaki media sosial atau sentiasa dengan phone setiap hari. Saya tak ramai kawan, nombor dalam phone juga kebanyakan adalah nombor ahli keluarga terdekat. Jika ingin menggunakan phone, boleh minta dengan warden menggunakan telefon mereka.

Masa pertama kali masuk juga kami diwajibkan untuk duduk dalam pondok selama 40 hari, tak boleh keluar outing dan balik rumah. Kenapa 40 hari?  Antaranya untuk melatih kita supaya biasa dengan rutin harian dan membersihkan hati dengan banyak baca Al Quran, zikir dan solat. Dalam Islam sebenarnya banyak lagi perkara yang sering diamalkan dengan nombor 40. Saya sendiri lepas 40 hari baru keluar pondok dan balik rumah jumpa keluarga untuk beberapa hari sebelum kembali ke pondok meneruskan pengajian. Ada perubahan selepas 40 hari? Entahla, perubahan ini subjektif dan tidak sama bagi semua orang.

Jujur saya kata 3 bulan di pondok bukanlah suatu tempoh yang lama untuk belajar ilmu agama ini. Apa yang saya belajar seolah olah kita celupkan jari dalam laut dan setitis air yang jatuh daripada jari itulah yang saya belajar jika dibandingkan dengan seluas lautan yang dalam itu. Sebab itu kita kena ingat dan tanam dalam diri untuk sentiasa belajar. Tidak semestinya masuk pondok. Zaman sekarang semua di hujung jari. Boleh beli buku, dengar ceramah atas talian. Dan kalau covid sudah habis, jangan lepaskan peluang untuk pergi mana-mana kelas pengajian agama yang selalu dijalankan di masjid atau surau.

Kalau ditanya apa perkara paling berharga saya belajar semasa 3 bulan di pondok, ia adalah saya mengasingkan diri daripada duniawi seketika. Ingat dalam bahagian satu, saya pernah berkata bahawa pada masa itu saya rasa serba tak kena, dada rasa berat tapi hati kosong. Bila saya masuk pondok, seolah olah seluruh beban jatuh daripada bahu saya. Hati saya penuh dengan keinsafan. Masa itu saya jumpa jawapannya. Sebab sebelum itu saya terlalu terikat dengan duniawi. Banyak perkara yang saya ingin capai dan bermain dalam fikiran yang berkaitan dengan duniawi semata. Di pondok saya akhirnya sedar bahawa kehidupan saya sebelum ini terlalu berorientasikan duniawi. Di pondok saya belajar untuk menyeimbangkan hidup. Di pondok saya belajar untuk buat sesuatu demi akhirat dan mendapat redha Allah. Bukannya kita kena tinggalkan dunia, tapi jangan letak dunia dalam hati. Cukup di tangan sahaja. Insya Allah hati akan tenang.

Kesimpulannya, keputusan saya untuk berhenti kerja dan meninggalkan keseronokan duniawi saya untuk masuk pondok pada masa itu antara keputusan terbaik yang pernah saya buat dalam hidup saya. Sekarang saya sudah kembali ke kehidupan biasa saya. Iman kita sentiasa turun naik. Ini juga berlaku kepada saya. Untuk kembali ke pondok seperti dulu agak sukar, tapi banyak cara yang boleh dilakukan untuk ‘charge’ iman seperti sentiasa menyertai program keagamaan/majlis ilmu, mendengar ceramah, baca buku, dan memilih kawan yang sealiran.

Saya cuba untuk sentiasa ingat akan kata kata Ustaz Abah yang sering disebut dalam kelasnya, kita buat sesuatu hanya untuk mendapat redha Allah. Semua yang berlaku kerana Allah yang izinkan. Maka yakinlah dengan Allah. Tujuan utama kita bukan dunia tapi akhirat. Dunia cuma tempat persinggahan untuk ke akhirat yang kekal selamanya.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.

Friday 12 February 2021

KPI Syarikat vs KPI Allah (Ganjaran Dunia Vs Ganjaran Syurga)

Bekerja di syarikat swasta lazimnya memang akan menekankan KPI atau Key Performance Indicator untuk menilai prestasi pekerja dan seterusnya menentukan bonus atau kenaikan gaji tahun itu.

Dulu mungkin saya tak nampak atau tidak melihat dengan mata hati. Cuma sekarang saya perasan banyak benda yang berlaku di sekeliling saya cuba kaitkan dengan Allah. Contohnya KPI. Bekerja dalam syarikat yang sangat berorientasikan result, maka KPI menjadi keutamaan harian kami dalam berkerja. Untuk kenaikan gaji dan bonus. Bertungkus lumus seharian demi memastikan kami capai target.

Lalu saya fikir itu KPI dunia untuk perkerjaan yang sementara. Bersungguh sekali kami mengejarnya. Bagaimana dengan KPI untuk Allah dan akhirat? Iaitu untuk mendapat redha Allah, mati dalam husnul khatimah seterusnya masuk syurga? Sudahkan saya berusaha memenuhi KPI yang Allah tetapkan? Sudahkah saya buat apa yang Allah perintahkan dan tinggalkan perkara yang dilarang? Seperti menjaga solat, tinggalkan maksiat, buat baik pada ibu bapa dan banyak lagi KPI.

Kenaikan gaji dan dapat bonus secara zahir kelihatan betul itu daripada bos/syarikat. Tapi hakikatnya mereka cuma perantara sahaja. Sama juga kita fikir setiap ganjaran yang kita dapat adalah sebab hasil usaha kita. Sedangkan itu cuma asbab. Allah ialah maha pemberi rezeki yang sebenar. Dia boleh dan akan beri kepada siapa yang dikendaki.

Apabila seseorang pekerja itu produktif, syarikat juga akan mendapat untung. Jika pekerja itu tidak produktif, maka syarikat itu akan rugi.

Berbeza dengan allah. Kita menjadi muslim yang baik atau tidak, Allah tidak pernah rugi apa-apa. Kita yang rugi sebenarnya jika tidak menjadi Muslim yang baik.

I try my best to meet my company’s expectation but why I can’t try my best to meet my creator’s expectation?


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Going the Extra Mile - Beri Lebih Dari Apa Yang Diharapkan

Going the extra miles or to make a special effort to do or achieve something  or making more effort than expected ialah antara kualiti yang yang sering ditekankan dalam seorang pekerja yang terlibat dengan khidmat pelanggan sama ada face to face or on call.

Entah kenapa tiba-tiba suatu hari saya terfikir, I can go the extra miles for customer but how about go extra miles untuk Allah?

Untuk pelanggan yang sama level dengan saya iaitu cuma manusia biasa, saya cuba jaga kualiti dan beri lebih daripada apa yang mereka minta. Contohnya, bila ada sesuatu pending case, saya menawarkan diri untuk follow up and call back customer walaupun tidak diminta. Sedangkan mereka belum tentu menghargainya. Saya juga cuba sedaya upaya mengikut protokol yang betul untuk melayan mereka agar mereka berpuas hati dan tidak membuat sebarang complain.

Tetapi allah yang maha besar, maha pemberi yang mengatur segala urusan yang mencipta saya, tidak pula saya cuba beri servis yang terbaik. Tidak pula saya ikut segala suruhan yang diberikan. Padahal allah sendiri dah janjikan ganjaran berkali ganda andai kita buat apa yang dia suruh, apatah lagi kalau kita go the extra miles. Go extra the miles dalam konteks hubungan dengan allah ialah bukan setakat buat apa yang wajib, tapi yang sunat sekali. Contohnya kita dah solat 5 waktu, kenapa kita tak boleh menambahkan solat sunat sebagai tanda kasih sayang dan kesyukuran kita padaNya? Ataupun perbanyakkan sedekah, zikir dan menyebarkan Islam dimuka bumi ini. 

Allah sendiri cakap, ‘ Jagalah allah, nescaya Dia akan menjagamu’. Selangkah hambaku mendekat kepadaku, aku akan lebih dekat kepadanya.

Nab Muhammad saw adalah contoh teladan terbaik yang sentiasa going the extra miles. Baginda sentiasa solat taubat dan mohon ampun setiap hari sedangkan baginda adalah manusia yang maksum dan sudah dijanjikan allah syurga.  Sedangkan kita yang setiap hari berdosa tapi masih bersenang lenang.  

Kenapa kita terlalu merendahkan diri dihadapan manusia dan menagih kebaikan daripada manusia? Kenapa kita tidak boleh buat yang sama pada Allah? Kita cuba sedaya upaya menambat hati manusia tapi adakah kita sudah cuba menambat hatiNya?

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Memberi Tanpa Mengharap Balasan

Dalam pekerjaan seharian saya yang melibatkan pelanggan, saya sangat suka bila dapat ucapan terima kasih atau penghargaan daripada pelanggan. Namun ada masanya, saya rasa sudah bagi servis yang baik kepada pelanggan. Tapi mereka tidak mengucapkan terima kasih atau menghargainya. Saya rasa kecewa sebab mereka tidak menghargai kebaikan/servis yang saya rasa sudah bagi sebaik mungkin.

Lalu saya terfikir, kenapa harus kecewa? Bukan salah mereka. Tanggungjawab saya adalah untuk bagi servis yang terbaik kepada pelanggan saya dan hak mereka adalah untuk mendapat servis yang baik. Sama ada mereka membalas balik atau tidak, itu tidak wajib bagi mereka. Lalu saya sedar bahawa masalah saya adalah tidak ikhlas. Saya cuba berbuat baik kepada mereka kerana mengharapkan balasan.

Saya fikir ini juga antara penyebab utama kenapa kita tidak bahagia dengan diri. Sebab kita sering mengharapkan orang lain untuk berbuat baik kepada kita. Contoh seorang isteri menuntut hak daripada suami, seorang rakyat menuntut hak daripada pemimpin, seorang anak menuntut hak daripada ibu bapa. Tapi pernahkah kita terfikir adalah kita sendiri sudah menunaikan hak kita kepada orang lain?

Itulah realiti sekarang.

Sifat manusia, sering mengharapkan balasan daripada manusia.

Sifat manusia, sering mengungkit dan menuntut hak kita daripada orang lain. Tanpa memikirkan sudahkah kita menunaikan hak pada orang lain.

Sifat manusia, suka menerima daripada memberi. Sudah memberi, mengharapkan balasan pula.

Sifat manusia, mudah nampak ketidaksempurnaan orang lain. Tanpa memikirkan diri juga tidak sempurna.

Dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki, ada diceritakan satu kisah. Sedekah yang paling ikhlas ialah kepada binatang. Kerana mereka tidak reti untuk membalas balik dan mengucapkan terima kasih.

Buatlah baik sehabis mungkin kepada orang lain dan tunaikanlah hak orang sekeliling kita tanpa mengharapkan balasan balik. Manusia mungkin tidak reti membalas balik tapi tidak Allah. Apabila kita berbuat baik pada Allah, pasti ada balasannya. Jika bukan di dunia, di akhirat. Biarlah Allah yang membalas kebaikan kita dan menunaikan hak orang pada kita. 


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

 

Wednesday 3 February 2021

Pengajian Agama di Pondok Lubuk Tapah

Lebih kurang 4 tahun yang lepas (2017), saya pernah masuk Pondok Lubuk Tapah di Pasir Mas Kelantan selama kira kira 3 bulan. Saya rasa saya patut kongsi pengalaman saya ini sebab ramai orang di luar sana yang berminat sebenarnya dengan sekolah pondok tapi tidak tahu cara untuk memohon belajar di sini. 

Atau mungkin ada yang salah faham dan beranggapan sekolah pondok cuma untuk pelajar lulusan agama, atau remaja bermasalah atau untuk orang tua menghabiskan sisa hidup. Sebenarnya sesiapa saja boleh belajar di pondok. Cuma kena cari pondok yang sesuai dengan peringkat umur dan berapa lama kita ingin belajar sebab setiap pondok di Malaysia mempunyai syarat kemasukan yang berbeza.

Saya mulakan dulu bagaimana saya boleh masuk sekolah pondok. Beberapa tahun sebelum itu lagi saya memang sentiasa fikir bahawa ilmu agama saya sedikit dan saya ingin belajar tentang agama lebih lanjut dalam masa sama saya ingin memperbaiki diri saya. Dan saya terfikir salah satu cara untuk capai tujuan tersebut ialah dengan masuk pondok. Untuk pengetahuan anda, saya bukan seorang pelajar lulusan sekolah agama. Saya melalui kehidupan biasa seperti orang lain, masuk universiti dan alhamdulillah berjaya mendapat pekerjaan yang saya kira baik.

Sekitar pertengahan 2016, saya mula merasakan perasaan tidak tenang dalam diri. Rasa serba serbi tidak kena. Walaupun saya sudah mempunyai kerjaya yang baik, dikelilingi orang yang baik, masa saya terisi dengan buat perkara yang saya suka pada masa itu iaitu mendaki gunung/bukit, melancong, terlibat dengan aktiviti sukarelawan, dan berniaga juga. Dari segi agama walaupun tidaklah alim, tapi saya solat, baca Al Quran dan berpakaian sopan serta buat beberapa perkara lain yang disuruh agama. Senang cerita hidup saya baik. Tapi jauh di sudut hati rasa kosong yang saya tak tahu bagaimana nak ceritakan pada orang lain. Dada rasa berat.

Selepas beberapa bulan dilema, saya putuskan bahawa inilah masa yang terbaik untuk saya berhenti kerja dan tinggalkan seketika dunia saya ketika itu. Maka bermulalah proses pencarian bagaimana untuk masuk pondok. Masa itu saya langsung tak ada sumber rujukan atau kenalan untuk saya tanya bagaimana cara masuk pondok. Google dan FB adalah satu satunya sumber yang saya ada, namun ia tidaklah mudah kerana kebanyakan maklumat yang disediakan sudah lama atau tidak relevan lagi. 

Saya dapati pondok di Malaysia memang banyak namun tidak semua menerima pelajar di peringkat usia saya dan ada sesetengah pondok menetapkan untuk belajar dalam tempoh masa tertentu dan pendaftaran juga ada masa tertentu. Sedangkan pada masa itu saya sudah merancang untuk belajar di pondok beberapa bulan sahaja.

Alhamdulillah setelah beberapa percubaan dan pencarian pondok yang sesuai, saya berjaya juga jumpa nombor telefon seorang ustaz atau mungkin warden dekat Pondok Lubuk Tapah. Lepas saya hubungi ustaz tersebut, beliau terus meminta saya berurusan dengan Ustazah atau Warden yang menguruskan kemasukan pelajar perempuan. Dari situ saya tahu serba sedikit iaitu kemasukan terdiri untuk semua peringkat umur dan tiada had untuk belajar berapa lama. Juga yuran pendaftaran pertama kali RM 35 (kalau tidak silap), Selepas itu kena bayar yuran penginapan setiap bulan RM 30. Makan minum dan pembelian kitab adalah tanggungan sendiri.

Dipendekkan cerita pada 11 Januari 2017, saya mula mendaftar masuk ke Pondok Lubuk Tapah. Proses pendaftaran mudah saja, saya diberi beberapa kitab untuk pengajian dan ditempatkan di asrama perempuan. Masa saya belajar di situ, saya antara pelajar yang paling tua. Kebanyakan pelajar lain adalah belasan tahun yang merupakan pelajar tetap. Atau pelajar sementara seperti lepasan SPM/STPM yang mengambil peluang untuk mendalami ilmu agama sementara menunggu kemasukan ke universiti. Pelajar lelaki dan wanita memang tidak bercampur langsung. Penginapan antara pelajar dewasa/remaja dan untuk orang tua juga diasingkan. Maka bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar ‘berusia’ bersama adik adik di Pondok Lubuk Tapah.

Saya akan ceritakan tentang kehidupan saya sebagai pelajar di pondok selama 3 bulan dalam post yang berikutnya.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.

Sunday 3 January 2021

Tips Dan Pengalaman Derma Darah..Sakit ke Tidak?

Pertama kali saya menderma darah adalah semasa di Kolej Matrikulasi Pahang lebih kurang 10 tahun yang lepas. Seingat saya memang sejak dari sekolah dulu lagi sentiasa ingin derma darah. Tak tahu kenapa. Cuma yang pasti sejak dari pertama kali derma itu, saya sentiasa tertunggu peluang menderma darah yang seterusnya. Setakat ini alhamdulillah saya dah derma sebanyak 25 kali. Haha...saya memang obses dengan derma darah.


25x alhamdulillah

Saya tahu di luar sana ramai yang nak derma darah tapi tidak layak disebabkan darah rendah, tak cukup hemoglobin dan pelbagai sebab lagi. Ada juga yang layak tapi takut jarum atau buat tak ambil tahu. Ini hak masing-masing. 

Derma darah ini banyak manfaatnya untuk kesihatan. Tapi bagi saya ini salah satu cara saya untuk bersedekah. Mudahan darah yang didermakan dapat digunakan oleh orang yang memerlukan. 

Zaman sekarang sangat mudah, banyak program derma darah diadakan di seluruh negara terutama di kawasan tumpuan seperti pusat beli belah, universiti atau pejabat besar. Saya juga pernah sendiri ke Pusat Darah Negara di KL untuk merasai bagaiman proses derma darah di sana. Tak sangka ramai juga yang datang untuk derma darah. Tempat dia juga besar dan selesa. 

Bagi yang tak pernah derma darah, saya ingin kongsikan tentang proses menderma darah dan juga beberapa tips.

1. Mengisi borang

Mula-mula kena isi borang dulu berkenaan kesihatan anda. Untuk perempuan pastikan anda bukan tengah haid atau mengandung. Ada juga beberapa soalan sensitif seperti hubungan seksual dan penyakit berjangkit. Jawab saja dengan jujur.

2. Dah isi borang kena ke kaunter seterusnya jumpa doktor untuk diambil tekanan darah. Minimum bacaan mesti sekurangnya 100/70 mm Hg. Berat badan pastikan melebihi 45 kg. Doktor juga biasanya akan tanya tidur berapa jam (pastikan tidur lebih 5 jam). Bab ini saya pernah tipu doktor padahal tidur tak cukup (jangan tiru).

3. Lepas lulus langkah 2, pergi kaunter seterusnya untuk check hemoglobin dalam darah. Bacaan minimum untuk lelaki 13.5g/dL dan perempuan 12.5g/dL. Dekat peringkat ini saya perasan ramai yang kecundang termasuk saya sendiri. Faktor pemakanan memainkan peranan penting. Apa yang saya biasa buat beberapa hari sebelum menderma, saya akan banyakkan makan sayur daun hijau seperti bayam dan daging merah atau organ dalam seperti paru. Insya Allah lepas.

4. Dah lulus semua, tiba masa untuk derma darah. Boleh pilih nak tangan kanan atau kiri. Sebelum cucuk misi akan bagi bola untuk genggam untuk melancarkan aliran darah dan senang untuk cari urat. Walaupun saya dah derma darah lebih 20x tapi perasan berdebar setiap kali kena cucuk itu tak pernah hilang! Kalau ada orang cakap cucuk jarum ke lengan tangan tak sakit, itu tipu. Sakit taw! Tapi sekejap saja. Jangan risau okay. 

5. Biasanya untuk penuhkan beg darah itu ambil masa dalam 10-15 minit dan misi akan suruh kita rehat dalam 10-15 minit lagi. Lepas itu boleh pergi ambil makanan dan balik. Saya suka sangat masa derma darah di PDN baru baru ini, mereka siap ada tempat khusus macam cafe untuk penderma makan. 

Makanan yang disediakan PDN

Dalam masa 24 jam derma darah, elakkan guna tangan yang dicucuk tadi untuk buat kerja berat dan banyakkan rehat. Jangan rajin sangat terus nak pergi main bola ke naik gunung ke. 

Orang yang biasa derma darah tahu antara syaratnya kena tunggu sekurangnya 3 bulan untuk menderma darah yang seterusnya. Kenapa kena tunggu 3 bulan?

Ini antara info secara ringkas yang saya perolehi daripada Pusat Darah Negara:

-        Antara syarat menderma darah adalah mempunyai bilangan hemoglobin yang mencukupi. Kekurangan hemoglobin sering menjadi antara sebab utama ramai yang gagal untuk menderma darah. Saya sendiri juga pernah gagal beberapa kali untuk menderma disebabkan ini. Banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada kekurangan hemoglobin, antaranya kurang zat besi. Kurang zat besi ini boleh disebabkan oleh kurang pemakanan diet yang kaya dengan zat besi, kehilangan darah (haid atau kerap menderma). Sebab itu juga perempuan yang dalam haid tidak dibenarkan menderma darah kerana dikhuatiri akan menyebabkan kehilangan zat besi yang lebih banyak seterusnya menyebabkan anemia.

-         Selepas menderma darah, seseorang akan kehilangan zat besi dalam jumlah yang agak banyak. Walaupun sel darah merah dapat digantikan dalam masa kira kira sebulan, seseorang individu memerlukan kira kira 3 bulan untuk menambah kembali zat besi dan mengekalkan simpanan yang mencukupi. Sesiapa yang pernah derma darah mesti tahu yang setiap kali kita selesai menderma darah, pasti misi akan bagi kita bekalan tablet zat besi dan folik asid untuk membantu membina balik sel darah merah dan membekalkan zat besi untuk badan kita. Tapi untuk pengetahuan semua saya tak pernah makan tablet yang disediakan setiap kali derma darah. Minta maaf misi!

Alhamdulillah, sepanjang menderma lebih 20x saya tak pernah menghadapi sebarang masalah membuatkan saya lagi bersemangat untuk menderma darah. 

Untuk maklumat lengkap dan lebih lanjut tentang derma darah, sila layari laman web rasmi Pusat Darah Negara (PDN). 



Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Saturday 2 January 2021

Hikmah Di Sebalik Covid-19?


Sudah lebih setahun sejak pertama kali Covid-19 dikesan. Suka atau tidak semua orang mula belajar untuk hidup dalam norma baru. Ramai orang terkesan termasuk saya sendiri. Alhamdulillah dari segi kerjaya saya masih bekerja seperti biasa dan gaji juga berjalan seprti biasa. Cuma apabila PKP mula dilaksanakan di Malaysia pada 18 Mac 2020, sedikit sebanyak ianya menggangu emosi.

Pada peringkat awal pelaksanaan PKP, perasaan saya bercampur baur. Apa yang akan berlaku selepas ini? Adakah dunia akan kiamat? Rasa seperti tiada masa depan kerana ini adalah pertama kali saya dan juga kebanyakan orang lain berada dalam situasi seperti ini. Apatah lagi dengan kelajuan penyebaran pelbagai maklumat di media sosial. Menjadikan kita sentiasa hanyut dan terpengaruh dengan berita yang dipaparkan yang entah betul entah tidak.

Ada 2 perkara yang saya belajar pada peringkat awal PKP. Pertama kita cuma merancang tapi Tuhan yang berkuasa atas segala sesuatu. Sebelum PKP saya pasti semua orang sudah ada perancangan masing masing untuk jangka masa beberapa bulan atau tahun mendatang akan perkara yang kita ingin buat atau capai. Contoh yang paling mudah adalah melancong. Ramai yang sudah membeli tiket dan membuat perancangan perjalanan. Tapi apakan daya bukan setakat tidak boleh merentasi sempadan antaranbangsa, pergerakan dalam negara juga terbatas. Pada masa itu saya sedar yang maha suci allah, kita cuma merancang tapi Dia yang menentukan segalanya.

Perkara kedua adalah menghargai kebebasan. Sebelum ini saya bebas ke mana mana tempat yang saya ingin pergi. Contoh ke pusat membeli belah, pergi kerja dan balik kerja, melancong, balik kampung, beriadah dan banyak lagi yang pada saya itu adalah perkara rutin. Jarang sekali diungkapkan rasa syukur kerana boleh melakukan hal tersebut. Tapi sejak kena berkurung dalam rumah, saya sedar betapa mahalnya sebuah kebebasan yang saya jarang sekali hargai sebelum ini.

Saya sedar kita sebenarnya adalah sangat lemah dan tak punya apa apa. Semua yang kita ada sekarang ini hanyalah pinjaman dari Allah swt. Dia yang memiliki segala sesuatu. Bila difikir balik rasa terduduk dan malu sekali dengan allah yang banyak sangat bagi nikmat sebelum ini. But we always take it for granted. Sekarang apa yang penting adalah sentiasa bersikap syukur atas segala nikmat yang allah bagi, sentiasa percaya dan tawakkal padaNya. Insya Allah Dia lebih mengetahui di sebalik musibah Covid-19 yang melanda kita semua.


   

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa tekan button share. 

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...