Showing posts with label Motivation. Show all posts
Showing posts with label Motivation. Show all posts

Monday 22 February 2021

Kawal Kemarahan: Sifat Ahli Syurga

Sifat marah sebenarnya berkait dengan akhlak kita. Orang yang baik akhlaknya biasanya mempunyai sifat sabar. Mereka tidak mudah marah. Ada hadis mengatakan jika ingin lihat akhlak sebenar seseorang, lihatlah dirinya ketika marah. 

Allah menyukai orang yang sabar. Saya ada mendengar suatu cerita (maaf saya lupa sumber). Suatu hari Rasullullah saw berjalan dan terserempak dengan 2 orang lelaki yang sedang bergaduh. Salah seorang lelaki kelihatan marah dan meninggikan suara. Manakala seorang lelaki lagi kelihatan cuma berdiam diri dan bersabar sahaja dengan perlakuan lelaki itu. Rasullullah saw tersenyum sahaja melihat lelaki yang berdiam diri itu. Tidak lama selepas itu, lelaki yang berdiam diri itu kelihatan mula hilang sabar dan turut membalas balik kata-kata lelaki yang seorang lagi. Rasulullah saw terus berhenti senyum dan beredar dari tempat tersebut. Apabila ditanya kenapa baginda beredar, baginda menjawab ‘Semasa lelaki itu mendiamkan diri, aku melihat malaikat mendoakannya, maka aku senyum. Bila dia mula marah dan menjawab lelaki seorang itu, malaikat beredar dari situ, maka aku juga beredar’.

Ustaz Hanan Attaki ada menyebut mampu menahan marah itu sifat ahli syurga. Jangan marah, kamu dapat syurga. Besar sangat pahala bagi orang yang dapat kawal marah. Allah ingin menyelamatkan hambanya dengan melarang dia marah dan diberi syurga. Marah itu fitrah, Allah bagi sebagai ujian dalam hati manusia. Kenapa Allah bagi sifat marah? Supaya Allah boleh melihat siapa hambaNya yang sabar dan siapa yang tidak sabar. Allah tahu bahawa orang yang marah itu pasti sudah dikuasai syaitan. Kalau sudah dikuasai syaitan, syaitan pasti akan bawa dia ke neraka bukannya syurga.

Dalam ceramah lain Ustaz Ahmad Dasuki ada berceramah tentang jalan yang biasanya syaitan masuk kedalam tubuh badan. Salah satunya ialah bila kita marah. Orang yang marah ini biasanya akan kehilangan kawalan diri sebab diri sudah dikuasai oleh syaitan. Kesan tak terkawal ini hingga boleh masuk neraka. Sebab itu kita digalakkan membaca taawuz agar hati dan nafsu agar tidak dikuasai syaitan.

Dalam program Tanyalah Ustaz berkenaan topik marah, Ustaz Norhisyam Abdullah ada memberi satu analogi tentang kesan selepas kita marah. Ada seorang lelaki ini sangat mudah marah. Suatu hari ibunya memberi cadangan kepada anak lelakinya itu iaitu dalam hari yang dia rasa marah sekali, dia kena ambil sebatang paku dan pasangkan di dinding. Pada peringkat awal memang banyak paku yang diketuk ke dinding. Lama kelamaan ia semakin berkurangan sehingga ada hari yang dia langsung tidak marah. Selepas itu ibunya menyuruhnya mencabut semua paku itu dan terlihatlah kesan di dinding itu. Itulah yang berlaku apabila kita marah. Mungkin kita boleh minta maaf kepada orang lain dan dimaafkan tapi kesannya tetap ada dalam hati.

Astaghfirullahalazim.  Saya cuba bersangka baik bahawa Allah sedang menguji saya dengan kemarahan sebab Dia nak saya sabar dan nak bagi syurga kepada saya. Penting juga untuk mengawal kemarahan agar tidak merosakkan hubungan sesama manusia. 

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Friday 22 January 2021

Tujuan Berdoa dan Mengapa Allah Tidak Makbulkan Doa Kita?

Kali ini saya ingin berkongsi tentang topik doa yang saya dengar daripada ceramah Nouman Ali Khan (NUK).


NUK menceritakan ada seorang gadis bertanya kepadanya. Gadis tersebut mempunyai hubungan yang baik dengan Allah sejak kecil dan membesar sebagai seorang yang baik agamanya. Dia sebenarnya diuji allah dari kecil seperti kehilangan bapa tapi dia tidak mengeluh dan sentiasa bergantung sepenuh harapan pada Allah. Dia banyak beribadah, berdoa dan allah selalu memakbulkan doanya. Disebabkan Allah selalu memakbulkan doanya, dia semakin menyerahkan dan berharap sepenuhnya kepada Allah.

Suatu hari bila dia mempunyai beberapa masalah yang berat, dia memutuskan untuk meningkatkan lagi amal ibadah kepada Allah dan memperbanyakkan doa lagi. Tapi dia perasan bahawa Allah tidak lagi memakbulkan doanya seperti dulu dan masalahnya tidak hilang. Dia mula tertanya-tanya adakah Allah tidak lagi sayang padanya? Adakah dia ada membuat apa-apa kesalahan?

Melalui pertanyaan gadis ini, NUK mendapat inspirasi untuk memberi khutbah berkenaan konsep doa yang sebenarnya.  Ini kerana bukan sahaja gadis itu, tapi ramai lagi orang lain yang juga pernah berada dalam situasi ini.

Kita berdoa dan berharap agar Allah makbulkan. Sebelum pergi lebih lanjut NUK menekankan bahawa sama ada doa kita dimakbulkan atau tidak, itu tiada kaitan dengan Allah sayang kita atau tidak. Dan tiada kaitan dengan dosa kita. Atau mungkin ada tapi kita tak akan tahu sebab itu rahsia allah untuk memakbulkan sesuatu doa.

NUK lalu memberikan beberapa kisah daripada nabi terdahulu. Contohnya, nabi Nuh yang berdakwah selama 950 tahun. Adakah selama 950 tahun itu beliau tidak berdoa untuk kaumnya? Untuk isteri dan anaknya sendiri? Dia berdoa untuk tempoh yang lama tapi ahli keluarganya tetap kufur. Adakah nabi Nuh memberitahu dirinya bahawa allah tidak kabulkan doanya sebab allah tidak sayang atau nabi nuh ada melakukan kesalahan? Tidak. Nabi Muhammad juga berdoa untuk bapa saudaranya Abu Talib, tapi doanya juga tidak dikabulkan. Sedangkan baginda adalah seorang yang maksum (tiada dosa).

Dalam konteks sekarang juga banyak contoh seperti ibu bapa yang mendoakan untuk anak menjadi baik, atau anak yang berdoa untuk kebaikan ibu bapa. Atau kita berdoa untuk dapat pekerjaan yang baik, diberikan kesihatan, bertemu jodoh etc. Dan allah tidak makbulkan doa tersebut.

NUK juga memberikan contoh doa daripada kisah nabi yang mana ada antara doanya dimakbulkan lambat seperti nabi Ayub. Lepas kehilangan nabi Yusuf, kita semua tahu nabi Ayub sangat sedih dan menangis sehingga buta. Sepanjang tempoh itu, adakah beliau tidak berdoa untuk kesejahteraan nabi Yusuf atau bertemu kembali anak kesayangannya itu? Doanya hanya diperkenankan berbelas tahun selepas itu apabila nabi Yusuf menjadi pembesar di Mesir dan mereka dipertemukan kembali. 

Kisah lain yang mana Allah makbulkan doa dengan cepat ialah nabi Musa dan ibunya. Ibu nabi Musa begitu berat hati menghanyutkan nabi Musa di sungai Nil. Semestinya beliau risaukan keselamatan nabi Musa semasa dihanyutkan di sungai. Adakah dia tidak berdoa untuk keselamatan nabi Musa? Semestinya dia berdoa dan tidak lama selepas pada hari yang sama, nabi Musa dipertemukan kembali dengan ibu kandungnya sebagai ibu susuan.

Nampak tak pengajaran dekat sini? Kita semua akan menghadapi kesukaran dalam hidup dan mempunyai hajat, namun tak semua itu diselesaikan atau dipenuhi hanya semata kita berdoa. Dekat sini kita perlu fahami realiti dan tujuan berdoa itu. Kita sering salah faham antara doa dan thalab. Thalab dalam Bahasa Arab ialah meminta sesuatu (to ask something). Doa ialah untuk memanggil (to call). Doa itu adalah salah satu bentuk komunikasi dengan Allah. Sambil berkomunikasi itu, kita sertakan dengan thalab (meminta sesuatu daripada Allah). Berhubung dengan Allah melalui doa itulah tujuan utama kita. Sama ada allah makbulkan doa kita atau tidak adalah perkara sampingan.

Berbalik kepada gadis tadi yang merasakan dirinya ada berbuat kesalahan lalu Allah tidak makbulkan doanya. Cuba kita tengok kisah nabi Yusuf. Apa kesalahan nabi Yusuf yang masih lagi kecil sehingga dibuang dalam telaga dan dijual sebagai hamba? Kemudian difitnah dan terpaksa meringkuk dalam penjara? Nampak macam tidak adil, betul? Tapi sebagai orang yang beriman kita tahu, pasti ada hikmah di sebalik setiap aturan Allah swt.

Cuba kita imbas balik, andai nabi Yusuf tidak dibuang dalam keluarga, beliau tidak akan dijual sebagai hamba ke Mesir. Andai tidak dijual ke Mesir, beliau tidak akan diambil sebagai anak angkat pembesar Mesir dan ketika dewasa dimasukkan ke dalam penjara akibat fitnah. Jika tidak masuk dalam penjara, beliau tidak akan bertemu dengan 2 orang pemuda yang meminta nabi yusuf mentafsirkan mimpi mereka. Jika salah seorang pemuda itu tidak memberitahu raja Mesir berkenaan nabi Yusuf, maka Raja Mesir Ketika itu tidak akan tahu maksud mimpi baginda. Disebabkan nabi Yusuf mentafsirkan mimpi baginda, berjuta rakyat mesir terselamat daripada krisis kebuluran.

Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi sesuatu kesukaran sebab Allah telah sediakan sesuatu yang lebih baik. Sesuatu yang lebih baik itu boleh jadi untuk kita atau untuk orang lain. Sesuatu yang lebih baik itu juga boleh jadi datang ketika kita masih hidup atau sudah meninggal. Kesukaran yang dihadapi nabi Yusuf bertahun lamanya menjadi rahmat kepada jutaan orang. Kesukaran yang kita hadapi sekarang boleh menjadi kemudahan untuk orang lain dan menjadi amal jariah kita di akhirat kelak.

Kisah lain yang tidak kurang hebat adalah Mariam dan nabi Isa.  Mariam ialah wanita mulia yang sangat kuat beribadah kepada Allah sejak kecil dan sentiasa terpelihara kemuliaannya. Kedudukannya sangat tinggi di sisi Allah sehinggakan makanan didatangkan kepadanya tanpa diminta. Tapi masih diuji dengan mengandungkan Isa tanpa bapa. Apakah salah Mariam sehingga diuji begitu? Apakah Allah tidak sayangkan Mariam? Tentu tidak sama sekali. Malah Mariam sering disebut sebagai Ibu Isa (Isa son of Mariam) berbanding dengan orang lain contohnya Nabi Muhammad di sebut sebagai anak Abdullah (son of Abdullah).

Kesimpulannya, apa yang NUK cuba sampaikan adalah makbulnya doa kita atau tidak tiada kaitan dengan Allah sayang kita atau tidak. Kita juga harus ingat bila kita berdoa, bukan semata mata untuk dimakbulkan doa itu. Tapi doa itu sendiri adalah ibadah dan salah satu cara kita berkomunikasi dengan Allah. We want to have a connection with Allah. That is the most important thing about doa.

Saya tutup penulisan ini dengan hadis berikut:

Daripada Abu Sa'id, nabi saw berkata,'Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah, dengan suatu doa yang bukan mengandungi dosa dan memutuskan hubungan silaturrahim, kecuali Allah akan mengabulkannya dengan 3 : disegerakan pengabulannya di dunia, disimpankan untuknya di akhirat, atau Allah akan  hindarkannya dari keburukan. Para sahabat berkata,'Sekiranya begitu, kita akan memperbanyak doa (wahai Rasulullah).'Baginda menjawab,'Allah akan mengabulkannya lebih banyak daripada apa yang kamu minta.'  

(Hadis direkodkan oleh Ahmad 3/18, Shahih  At targhib wat Tarhiib:1633)


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Thursday 21 January 2021

Tanya Diri: Apa Yang Tidak Akan Berubah Dalam Masa 10 Tahun?

Salah seorang public figure kegemaran saya Aida Azlin ada berkongsi kisah yang beliau dengar daripada pengasas Amazon, Jeff Bezos. Menurut Jeff Bezos, dalam strategi sesuatu perniagaan atau kehidupan kita sendiri, kita selalu fokus akan sesuatu perkara yang sentiasa berubah pada masa akan datang. Contohnya produk dan marketing plan yang baru.

Sebenarnya ada masa kita perlu fokus kepada perkara yang tidak berubah walaupun selepas 10 tahun. Contohnya bila seseorang pelanggan membuat tempahan secara talian, mereka mengharapkan barang itu sampai dengan segera. Maksudnya baik sekarang mahupun 10 tahun akan datang kita kena pastikan pos itu sentiasa cepat.

Itu yang Aida Azlin cuba kaitkan dengan kehidupan seharian kita. Kita kena fokus pada perkara yang tidak akan berubah dan masih lagi penting walau selepas 10 tahun. Bagi AA, antara perkara itu adalah kepercayaan, prinsip hidup dan berbuat baik dengan orang lain. Beliau bagi contoh beliau sendiri suka shopping baju dan layan nexflix. Dan banyak masa dihabiskan untuk perkara itu sedangkan suatu hari nanti perkara itu mungkin berubah dan tidak relevan lagi.

Itulah yang berlaku pada kita sekarang. Banyak masa dihabiskan untuk perkara yang sentiasa berubah pada masa akan datang. Tahun lepas dan beberapa tahun mendatang, hidup kita tidak lagi sama. Kita sudah berada dalam norma baru disebabkan Covid-19. Di saat sukar ini ramai yang berharap keadaan kembali seperti sediakala secepat mungkin agar mereka boleh kembali melancong, lepak dengan kawan, pergi ke sekolah dan sebagainya. Ramai juga yang dalam kesukaran dari segi kewangan. Main focus was to have food on table. Sedarkah kita perkara ini tidak kekal dan we will never know what will happen in future. 

Cuba ambil sedikit masa dan fikirkan adakah kita sudah melaburkan masa berharga kita pada perkara penting untuk masa sekarang dan juga masa akan datang? Perkara yang mana sama ada Covid ada atau tidak, kita masih lagi kena lakukannya. Contohnya hubungan kita dengan Allah, kekal sihat, menjadi manusia yang bermanfaat, menyempurnakan ibadah seharian dan banyak lagi. 

Di sini saya sertakan link artikel penuh daripada Jeff Bezos berkenaan perkara ini.

The 1 question the entrepreneurs should focus on asking themselves: What won’t change in 10 years’ time?






Saturday 2 January 2021

Senarai Top 5 Favourite Ustaz Dari Indonesia 2020

Saya bukanlah seorang yang suka mendengar atau menonton ceramah agama sebelum ini termasuk. Namun sejak mula mendengar ceramah beberapa orang ustaz dari Indonesia, saya mula berminat dengan ceramah agama. Seperti ramai sedia maklum, Indonesia banyak melahirkan tokoh agama, ulama, ustaz dan hafiz/hafizah. Saya senaraikan beberapa ustaz yang paling banyak saya lihat dan dengar ceramahnya sepanjang tahun 2020. 

1.       Ustaz Hanan Attaki (UHA)

UHA ialah ustaz pertama dari Indonesia yang saya mula minat. Pada peringkat awal memang saya tersentuh hati sangat dengan setiap ceramah daripada UHA. UHA memang fokus kepada pemuda pemudi Indonesia. Jadi pemakaiannya, penyampaiannya dan bahasanya dekat dengan golongan muda. Topik yang dipilih juga mampu menarik golongan muda mendengar seperti isu hati dan jodoh. He knows how to connect with young people. Saya banyak belajar bab hati dan penggantungan diri kepada Allah daripada UHA. Suara beliau mengaji juga sangat sedap.


2.       Ustaz Abdul Samad (UAS)

Dalam banyak-banyak ustaz, saya rasa UAS ini paling kelakar. Ceramahnya sentiasa mencuit hati. Penyampaiannya juga seperti UHA, santai dan bersahaja tapi mudah difahami.

3.       Ustaz Felix Siauw (UFS)

UFS sebenarnya adalah seorang mualaf yang memeluk Islam ketika berusia 18 tahun. Disebabkan beliau adalah mualaf, maka banyak ceramahnya berkisarkan tentang konsep ketuhanan dan Islam itu sendiri. Mendengar ceramahnya akan menambahkan kefahaman dan membuka minda kita yang sudah Islam sejak kecil. Beliau juga sangat minat sejarah terutama berkaitan Sultan Al Fateh. Melalui ceramahnya, kita akan dapat lihat bahawa beliau mempunyai misi dan visi besar untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Beliau juga sentiasa bersemangat dan bercakap laju dalam setiap ceramahnya.


4.       Ustaz Adi Hidayat (UAH)

Pada peringkat awal saya mendengar ceramah UAH, saya juga kurang meminatinya. Sebab saya merasakan penyampaiannya terlalu teknikal dan susah untuk difahami. Setiap apa yang beliau ungkapkan dikaitkan dengan ayat Al-Quran. Tapi bila membaca komen pendengar, kebanyakan mereka selalu komen UAH adalah genius terutama dalam Al Quran. Saya mengambil masa yang agak lama untuk mula memahami ceramah yang disampaikan. Bila sudah biasa, saya faham kenapa ramai komen UAH adalah genius. Beliau menghafal Al Quran dengan sangat terperinci. Maka setiap ceramah, beliau sering menggunakan papan tulis untuk mengaitkan sesuatu dengan ayat Al-Quran. Beliau akan bagi ayat Al Quran lengkap dengan kedudukannya sekali. Itulah keistimewaan beliau.

5.       Ustaz Khalid Basalamah (KHB)

KHB juga antara ustaz kegemaran saya. Penyampaian beliau mudah difahami dan ceramah beliau merangkumi semua topik dari sirah, adab, ibadah dan pelbagai lagi.  


Kesimpulannya, setiap dari mereka mempunyai cara penyampaian masing-masing. Tiada istilah siapa yang lebih bagus. Yang baik dijadikan pengajaran. Terima kasih sebab membaca.

Edit: Salah seorang penceramah yang saya juga selalu dengar dan banyak belajar terutama bab sedekah dan sedekah subuh, Sheikh Ali Jaber telah kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 2021. Moga beliau ditempatkan bersama orang beriman dan segala ilmu yang beliau curahkan menjadi amal jariahnya. Insya Allah.

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Senarai Top 5 Favourite Public Figure 2020

Sebelum Covid-19 hanya beberapa orang saja antara public figure ini yang saya tahu. Tapi sejak Covid-19, seperti kebanyakan orang lain yang stay at home, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan media sosial seperti FB dan YouTube. Dari sini saya mula kenal mereka dan mendengar perkongsian mereka. Bagi saya apa yang kita baca, dengar dan lihat sangat mempengaruhi hidup kita. Sebab itu penting untuk kita memilih dan menapis apa yang kita baca, lihat dan dengar setiap hari.

Ramai public figure yang hebat dan sangat menginspirasikan. Saya hanya pilih beberapa orang yang saya paling suka dan dengar. Mudah-mudahan senarai yang saya kongsi ini akan bagi idea kepada orang lain yang tercari-cari sumber untuk mendapatkan ilmu atau positive vibe.

1.       Syeikh Omar Suleiman

Syeikh Omar Suleiman ini penceramah yang menetap di US. Beliau ada mengasaskan YT channel sendiri iaitu Yaqeen Institute. Pelbagai topik menarik yang diperdengarkan. Saya paling banyak dengar ceramah beliau masa bulan puasa. Bahasa Inggeris yang digunakan mudah difahami. Beliau sentiasa tersenyum bila bercakap.

2.       Aida azlin (AA)

AA juga ada YT channel sendiri. Beliau berasal dari Singapura dan sekarang menetap di Morocco bersama suami. Apa yang saya suka tentang AA adalah beliau  banyak bagi kata-kata motivasi atau nasihat melalui video pendeknya lebih kurang 5-15 minit. Ada masa beliau akan mengulas balik artikel, buku atau video yang beliau lihat mengikut pemahaman beliau dan sampaikan mesej disebaliknya. Saya tak tahu orang lain macam mana, tapi saya suka mendengar video pendek sebab senang nk hadam dan fokus.


3.       Ustazah Asma Harun (UAH)

Rasanya satu Malaysia kenal UAH. Beliau terkenal dengan pendekatan ceramahnya yang berterus terang tapi menyentuh hati. Banyak kisah kisah menarik yang beliau ceritakan termasuk pengalaman hidupnya sendiri, juga doa dan zikir yang boleh diamalkan seharian. Ceramah beliau memang sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan peringkat umur.


4.       Isa Ma

Brother Isa Ma seorang Chinese dari negara China. Beliau masih lagi belajar dalam peringkat master di HK tapi banyak terlibat dengan dakwah dan ceramah di sana. Mula-mula saya macam skeptikal bila tengok Chinese YT dari sana bercakap pasal Islam. Rasa macam pelik. Sebab tak pernah jumpa orang cina dari sana yang berdakwah di YT. Tapi lepas mendengar ceramah beliau, jujur saya jatuh cinta dengan pengetahuan dan kebijaksanaan beliau dalam mengulas sesuatu topik. Dan juga kemahiran Bahasa Inggeris dan Arabnya. Bagi saya, beliau adalah antara insan istimewa yang Allah pilih untuk menyebarkan Islam di China.

5.       Khairul Hakimin Muhammad (KHM)

KHM ini saya tak ingat macam mana saya boleh ter ‘follow’ beliau dekat FB. Beliau mempunyai beberapa portfolio. Antaranya sebagai influencer dan content creator. Saya suka dengan penulisan beliau di FB yang banyak bagi nasihat dan inspirasi. Bahkan kalau ada pengikut beliau di sini mesti perasan kebanyakan post beliau sentiasa dapat ribuan like dan share. Beliau juga antara pencetus motivasi saya untuk mula menulis.

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Private life, Secret Life dan Public Life

Couple Talk merupakan antara program kegemaran saya dalam channel Dops TV yang diasaskan oleh Misz Nina. Setiap minggu mereka akan menjemput pasangan suami isteri yang berbeza untuk membincangkan pelbagai isu menarik. Salah satu episode tersebut adalah Professor Dr Muhaya dan suami, banyak sangat input baru yang saya perolehi.


Namun ada satu perkara yang saya pertama kali mendengarnya dan saya ingin berkongsi dengan anda. Iaitu hidup kita ada 3 jenis iaitu Private life, Secret Life dan Public Life. Tidak lama selepas itu saya terbaca salah satu posting Influencer kegemaran saya di FB iaitu Tuan Khairul Hakimin Muhamad yang turut mengulas bab ini. Jadi saya akan tulis balik di sini penulisan beliau tentang bab ini.

Ada 3 tingkat belajar yang kalian boleh penuhi setiap minggu atau setiap bulan atau sepanjang tahun.

1.      Secret life

Secret life adalah hubungan kita dengan Sang pencipta iaitu Allah swt.

-          Berapa doa baru yang kita belajar tahun ini?

-          Berapa hadith baru yang kita belajar tahun ini?

-          Berapa ayat Al Quran yang kita belajar tahun ini?

-          Bagaimana nak cek solat. Adakah selama ini sudah tahu dan faham bacaan dalam solat?

 

2.      Private life

Private life ialah hubungan kita sesama manusia yang kita kenal, kita sayang dan kita prihatin seperti keluarga dan rakan-rakan.

-          Berapa banyak rakan baru dan lama yang beri kita ilmu dan idea?

-          Berapa banyak idea dan semangat kita peroleh dari berkawan?

-          Berapa banyak kasih sayang kita curah kepada keluarga?

-          Berapa banyak ilmu kekeluargaan dan kasih sayang kita beri tumpuan dan cari?

 

3.      Public Life

Public life ialah kehidupan yang kita nak orang lain lihat kita, yang kita tonjolkan di media sosial dan sebagainya.

-          Berapa banyak ilmu tentang diri kita atau dari diri kita yang kita kongsi di media sosial?

-          Hari ini apa kita belajar di media sosial?

-          Adakah hari ini kita dapat manfaat atau tidak dari media sosial?

Kesimpulannya, kita kena sentiasa perbaiki diri kita dari masa ke semasa dan biarlah kita menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain. 

Saya tutup dengan sedikit kata kata dari Imam Sufya ath-Thawri.

Improve your secret and private life, and Allah will improve your public and social life. Make matters between you and Allah, and Allah will make matters between you and people. Work for the hereafter, and allah will be enough for you in your worldly concerns. – imam Sufyan ath-Thawri

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...