Showing posts with label Book Review. Show all posts
Showing posts with label Book Review. Show all posts

Monday 22 February 2021

Book Review: Cerita Cinta Ahmad Ammar


Suatu masa dulu tahun 2014, kematiannya pemuda ini pernah membawa satu fenomena kepada rakyat Malaysia. Pemuda yang sebelum itu tidak dikenali, tiba-tiba dikenali. Segala kebaikannya di dunia diperkatakan dan menjadi bualan. Pengkebumiannya dihadiri ramai manusia yang berebut-rebut untuk mengusung jenazahnya. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan Eyyub Sultan, tempat bersemadinya Abu Ayub al Ansari bersama 60 orang sahabat Rasulullah saw, para pejuang tentera Uthmaniyah dan pembesar-pembesar.

Sebuah buku diterbitkan setelah pemuda ini menjadi fenomena pada waktu itu. Saya tidak melepaskan peluang membeli buku ini untuk mengenali susuk tubuh pemuda hebat terpilih ini.  

Membaca buku ini dari awal hingga akhir menerbitkan rasa kagum terhadap arwah Ammar dan juga kedua ibu bapa beliau yang jelas mempunyai misi visi tersendiri dalam membesarkan Ammar.

Ammar dibesarkan dalam keluarga tarbiah dan penuh perjuangan. Ayanhya sendiri Tuan Azzam merupakan perngerusi ABIM yang aktif dengan aktiviti dakwah dan kebajikan.

Apa yang saya kagum dengan ibubapa Ammar adalah mereka mempunyai perancangan sendiri untuk Ammar sejak kecil iaitu menyiapkan Ammar untuk menjadi seorang hamba Allah yang berpengetahuan dalam ilmu agama dan sejarah, seterusnya menyebarkan Islam ke negara lain. Dengan kata lain untuk mengabdikan diri ke dunia dakwah Islam. Maka tidak pelik apabila Ammar memilih menyambung pelajaran dalam bidang yang jarang sekali anak muda berminat iaitu sejarah Dawlah Uthmaniyah.

Ustaz Hasrizal Jamil juga ada mengatakan:

Menghasilkan seorang sarjana sejarawan Melayu Muslim, yang bertutur dalam bahasa Turki dan menguasai bidang kajian Dawlah Uthmaniyah, terlalu sukar untuk dipenuhi. Sepertinya melahirkan seorang saintis dan jurutera bertaraf dunia itu, lebih mudah daripada tugas fardhu kifayah yang satu ini!

Dalam satu petikan Encik Azam ada mengatakan:

`Jangan jadikan hidup kamu biasa-biasa sahaja seperti orang lain. Belajar, bekerja, berkeluarga, berharta dan akhirnya meninggal dunia. Itu biasa-biasa. Kita perlu jadi luar biasa.

Beliau juga mempunyai gagasan besar supaya menginfakkan usia muda sekurang-kurangnya setahun berkhidmat di luar negara selepas tamat pengajian di university. Mengembaralah untuk mengenal diri dan Allah swt.

Penulis mengumpulkan catatan dari keluarga dan sahabat terdekat Ammar. Terlalu banyak mutiara kata atau ibrah yang saya dapat daripada buku ini. Tapi kesemua mereka yang berkongsi cerita tentang Ammar mempunyai satu titik persamaan iaitu akhlak Ammar. Ramai pemuda sekarang mungkin pandai atau kaya tapi belum tentu berakhlak.

Mudah-mudahan akan ada ramai lagi yang mencontohi dan mengikuti perjuangan seperti Ahmad Ammar. Seperti kata beliau, 'dunia biarlah berpenat, akhirat tempat berehat’.

Di saat akhir hidupnya, Ammar berjaya mengkhatamkan Risalah An Nur karya Ustaz Bediuzzaman Said Nursi dengan cemerlang. Bab pertama dalam risalah ini ialah ikhlas. Ammar meninggal ketika dalam perjalanan untuk mengajar bab ini.

`Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling, maka itu tidak penting. Jika Dia menerima sedangkan seluruh masyarakat menolak, maka tiada kesannya.

`Setelah Dia meredhai dan menerimanya, jika Dia kehendaki dan selari dengan hikmahNya, walaupun kalian dalam keadaan tidak mnerima, Dia akan menjadikan masyarakat juga menerima dan meredhai. Kerana itu, keredhaan Allah sahaja yang perlu dijadikan sebagai tujuan utama dalam khidmat dakwah ini. 


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Wednesday 3 February 2021

Book Review: The Unchartered Path


Sebelum saya terjumpa buku ini, saya tidak tahu pun siapa presiden Korea sebelum ini dan juga sekarang. Sebut Korea, mesti orang ingat KPOP. Saya tak merancang pun untuk beli buku ini. Sebenarnya pada 30 November 2020 merupakan hari terakhir operasi kedai buku Popular di Avenue K (banyak kedai tutup disebabkan covid). Jadi mereka telah membuat jualan besar besaran untuk buku berbahasa Inggeris. Ada yang RM 10 untuk 5 biji dan RM 20 untuk 5 biji. Murah kan? Jadi saya tak melepaskan peluang untuk memborong buku walaupun saya kurang membaca buku bahasa Inggeris sebenarnya.

Berbalik kepada buku ini, President Lee Myung Bak sebelum menjadi president adalah bekas CEO Hyundai, antara syarikat gergasi di Korea Selatan. Beliau lahir dalam keluarga susah dan sempat merasai suasana perang saudara antara Korea Utara-Korea Selatan.

Kehidupan beliau di zaman kanak-kanak hinggan masuk ke zaman universiti sangat miskin dan susah. Saya yang membaca buku turut terasa dan terbayang bayang akan kesempitan hidup, makanan yang dicatu dan kepenatan bekerja sambil belajar sejak zaman kecil. Sehingga beliau tidak layak untuk masuk latihan tentera disebabkan keadaan fizikal dan kesihatan yang tidak memuaskan. Namun beliau tidak berputus asa untuk belajar sehingga berjaya masuk kolej, terlibat dengan aktivis sehingga masuk penjara dan kemudian diterima masuk kerja di Hyundai yang ketika itu belum lagi terkenal.

Beliau bermula dari bawah di Hyundai. Tapi disebabkan sifat yang tidak mudah putus asa, sentiasa ada idea yang bernas serta tegas berpegang pada prinsip yang benar menyebabkan beliau menjadi orang kepercayaan bos dan naik pangkat dengan cepat. Sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berundur dari Hyundai dan memasuki dunia politik.  27 tahun berkhidmat dengan Hyundai, pelbagai coretan menarik diceritakan tentang usahanya dan ideanya untuk membawa Hyundai pergi lebih jauh ke peringkat antarabangsa.

Saya suka membaca bab tentang hubungannya dengan Tun Mahathir. Mereka mengenali satu sama lain semasa Tun M masih lagi seorang timbalan dan beliau sendiri masa itu masih lagi President Hyundai. Hyundai merupakan syarikat yang terlibat dengan pembinaan jambatan Pulau Pinang. Asalnya Hyundai bukanlah syarikat pilihan untuk mengendalikan projek pembinaan Jamabatan Pulau Pinang. Tapi bila Tun M naik menjadi PM selepas kematian Tun Hussein Onn, Tun M cuba merombak balik segala projek dan organisasi politik masa itu dengan konsep politik bersih atau bebas rasuah. Lalu syarikat pilihan untuk projek jambatan Pulau Pinang sebelum ini yang terlibat dengan rasuah dibatalkan dan Hyundai menjadi pengganti.

President Lee sememangnya seorang yang sangat kuat bekerja. He cannot recall any memory that he’s not working. Beliau mengakui kesibukannya berkerja menyebabkan masanya bersama keluarga sangat kurang. Tapi itu tidak bermakna beliau mengabaikan keluarganya. Apa yang beliau lakukan ialah beliau sentiasa meminta jadual dan rutin harian anak-anak daripada isterinya. Seperti jadual kelas, perperiksaan dan dengan siapa anaknya berkawan. Jadi apabila beliau berurusan di luar negara, beliau akan sentiasa mengambil masa untuk menghubungi anaknya dan bertanyakan tentang aktivit seharian mereka. Ini menyebabkan anak-anaknya merasakan ayahnya sentiasa mengambil berat akan mereka walapun tidak berjumpa secara bersemuka.

Perjalanan beliau dalam politik juga ada turun naik. Saya tertarik dengan satu kisah dimana beliau menarik diri daripada dunia politik (belum menjadi presiden lagi) disebabkan isu tertentu. Beliau menceritakan  bahawa Tun M juga ada melalui saat seperti itu, tetapi Tun M tidak pernah berhenti belajar. Tun M akan bawa pen dan kamera, kemudian berkunjung ke luar negara sambil melawat mana-mana kilang besar untuk merakam dan mendapatkan idea untuk membangunkan negara dan masyarakat secara global. Apabila pulang dan kembali ke politik, Tun M terus mangaplikasikan apa yang dipelajarinya sebelum ini. Secara peribadi, ini salah satu sifat Tun M yang saya kagum. Sentiasa belajar dan mempunyai pandangan yang jauh sehingga boleh mengubah sebuah negara yang bernama Malaysia.

Jadi beliau memutuskan untuk pergi ke US untuk belajar sambil melawat kawasan di sana untuk mendapatkan idea. Balik sahaja ke Korea, beliau sudah mempunyai idea yang jelas untuk membangunkan Korea masa itu. Tidak lama selepas itu, beliau menjadi President Korea yang ke -17. Bandar Seoul yang ada di Korea sekarang adalah hasil idea yang beliau dapat semasa melawat bandar Boston, US.

President Lee going through such a long journey. Siapa yang pernah terfikir seorang budak yang sangat miskin dan sentiasa kelaparan berjaya keluar dari kepompong itu dengan melalui pelbagai fasa kehidupn yang mencabar. Semua itu tidak akan terhasil tanpa keazaman yang kuat dan yang penting sentiasa belajar.   

Sebut pasal belajar, saya nak tutup penulisan ini dengan memetik sedikit kata-kata Ustaz Mohd Pahrol Juoi dalam bukunya Pesan Hati Untuk Hati:

‘Dengan membaca, seseorang akan dicorakkan ke arah yang lebih baik.

When you stop learning, you stop reading.

Apabila kita berhenti belajar, kita berhenti memimpin. Setiap orang ialah pemimpin. Sekurang-kurangnya kepada diri sendiri. Jadi apabila seseorang mula membaca ia sebenarnya bukan setakat membaca, malah dia sedang memimpin. Leaders are learners! Pemimpin ialah orang yang sentiasa belajar.

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Saturday 16 January 2021

Book Review: Mudahnya Menjemput Rezeki

Kita sering mendengar ayat mencari rezeki, bukannya menjemput rezeki. Membaca buku ini akan membuka minda kita akan konsep rezeki dan mula melihat rezeki itu dari pelbagai sudut.

Buku ini mempunyai beberapa bab. Bab pertama menerangkan konsep rezeki dan jenis rezeki. Rezeki adalah apa-apa yang kita rasakan manfaatnya, sama ada halal atau haram, baik atau buruk. Segala sesuatu yang walaupun milik kita tapi tidak dapat kita mengambil manfaat daripadanya, itu bukanlah rezeki kita tapi rezeki orang lain.

Bab seterusnya ialah cara-cara menjemput rezeki. Walaupun konsepnya mudah saja iaitu buat apa yang Allah suruh. Sebab rezeki itu datang dari Allah, manusia cuma perantara. Cara-caranya banyak melibatkan hubungan kita dengan allah dan juga manusia seperti solat, doa, sedekah dan banyak lagi. Hakikatnya ramai antara kita yang terlepas pandang dan memandang ringan akan hal ini.

Dalam bab lain, pelbagai contoh dan kisah yang diceritakan dalam buku ini berkenaan keajaiban menjemput rezeki daripada Allah yang akan membuatkan kita rasa ajaib sangat. Andai dihayati betul betul, ia akan menguatkan keyakinan dan keimanan kita kepada Allah.

Contoh yang saya terkesan ialah ada seorang lelaki, berpangkat senior di sebuah syarikat minyak, ingin meminta cuti tanpa gaji daripada bosnya selama 3 bulan dengan tujuan menyertai tabligh. Bosnya setuju memberi cuti tapi dengan gaji! Masyaallah, itulah bukti bila kita niatkan buat sesuatu kerana Allah, rezeki datang sendiri. Tak perlu dicari. 

Allah telah memberi janji berkenaan rezeki dalam surah Ath-Thalaq 65:3

‘ Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan sesiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.’

Saya rasa buku ini patut dibaca oleh semua orang muslim. Buku ini membuatkan saya meneliti balik kehidupan saya seharian. Adakah saya sudah laksanakan perkara tersebut. Sejauh mana keyakinan saya kepada Allah yang maha memberi rezeki? Lebih mudah menjemput rezeki berbanding mencari rezeki sebenarnya.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 


Friday 15 January 2021

Book Review: Pendiam

Istilah pendiam dan saya sering dikaitkan bersama. Sering kali saya mendengarnya. Sebenarnya ini suatu isu yang sensitif bagi saya. Kenapa? Sebab orang memandang sifat pendiam sebagai suatu sifat yang negatif. 

Sejak kecil bermula dengan guru, kawan, sehingga majikan sering menegur saya seolah sifat pendiam itu suatu kesalahan. Sehinggakan zaman remaja saya membesar dengan cuba mengubah diri saya menjadi ‘normal’ seperti yang dipandang masyarakat. Saya fikir saya yang bermasalah sebab tidak banyak bercakap seperti orang lain. Saya tidak ramai kawan, sentiasa rasa tersisih disebabkan tidak ‘normal’ seperti orang lain. Menyebabkan saya membesar sebagai seorang yang kurang keyakinan diri.

Itu kisah dulu. Bila mula melangkah alam perkerjaan, saya mula mengikut rentak sendiri. Saya tahu apa yang saya nak dan saya tidak kisah lagi akan pandangan masyarakat. Cuma saya agak terkilan kerana masyarakat kita memang memandang orang yang pendiam ini pelik atau tidak normal. Bagi mereka kami sepatutnya lebih banyak bercakap dan bergaul dengan semua orang. Ini yang dipandang normal. Lalu orang pendiam atau introvert inilah yang menjadi mangsa keadaan.

Buku ini ditulis oleh seorang introvert Aqila Masri dan ahli psikologi Aiman Amri. Buku ini memberi penenerangan tentang definisi introvert/ekstrovert. Ada pelbagai pecahan di bawah sifat introvert. Juga ujian yang boleh dilakukan untuk mengenali personaliti diri iaitu Neo Five Factor Inventory (NEO FFI) dan OCEAN.

Saya galakkan introvert membaca buku ini kerana ia memberi idea akan sifat kita. Seperti yang saya sebut tadi, disebabkan stigma masyarakat, kita fikir kita tidak normal dan menjadi keliru dengan identiti, sehingga ada yang kehilangan keyakinan diri. 

Hakikatnya ia bukanlah satu kelemahan atau tidak normal tetapi salah satu cabang personaliti manusia. Setiap orang dicipta dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pertama kali saya membaca buku ini, perkara pertama terlintas di hati adalah ‘saya normal rupanya’ dan ;ada juga orang lain macam saya’. Ya, kami normal dan ada dalam kalangan masyarakat walaupun minoriti.

Jadi kita patut menyayangi dan menerima diri kita seadanya serta maksimumkan kelebihan kita. Cuma berdasarkan pengalaman peribadi sendiri, saya bersetuju ada masa kami perlu berubah mengikut keadaan. Maksudnya kita kena pandai bawa diri. Contohnya kita masih perlu bersosial dan bergaul dengan saudara, rakan sekerja/belajar atau jiran. Cuma kita ada hadnya. 

Contoh saya sendiri, saya boleh bersosial dengan orang tapi dalam kumpulan yang kecil dan yang kenal sahaja. Kalau dalam kelompok yang besar dan tidak dikenali, saya rasa tidak selesa. Sama juga dalam bidang perkerjaan. Saya ubah diri jadi professional, buat yang terbaik dalam pekerjaan. Balik rumah saya kembali menjadi diri saya yang pendiam dan banyak bersendirian.

Saya juga lebih menggalakkan ekstrovert membaca buku ini supaya dapat mengenali karakter introvert ini. Seterusnya tidak lagi memandang rendah atau negatif akan golongan seperti kami ini.


 
Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 


Book Review: It Takes A School


Membaca buku ini membuatkan saya sangat kagum dengan penulisnya, Jonathan Starr. Kerana ideanya dan kemampuannya merealisasikan idea yang bagi saya sangat hebat. Jadi saya termotivasi untuk berkongsi tentang buku ini kepada orang lain.

Buku ini berkisarkan pengalamannya dari awal hingga akhir membina sebuah sekolah di negara Somaliland, sehingga beberapa pelajar dari sekolah tersebut mampu melanjutkan pelajaran ke beberapa kolej terkemuka di US.

Mungkin ada yang pertama kali dengar Somaliland dan mesti anda fikir ia adalah negara Somalia. Sebenarnya tidak. Somaliland terletak di utara Somalia. Dari segi geografi dan peta dunia ia dianggap sebahagian dari Somalia. Namun Somaliland diterajui oleh politik yang berbeza dan rakyat mereka juga menganggap mereka sebagai negara yang bebas tapi tidak diiktiraf. Its quite complicated. Seperti negara Afrika yang lain, Somaliland juga tidak terlepas daripada isu kemiskinan, kelaparan dan kekurangan akses kepada pendidikan.


Jonathan mula mengenali Somaliland melalui pakciknya Billy (Billy ialah abang ipar kepada Alan, ayah Jonathan). Beliau sendiri merupakan pengurus kewangan di US dan mempunyai kehidupan yang boleh dikatakan senang. Mendengar cerita tentang Somaliland dan visinya berkenaan isu pendidikan daripada Billy, Jonathan memutuskan untuk meninggalkan kehidupannya di US dan  membuka sekolah di suatu tempat yang bernama Abaarso.

Buku ini agak panjang. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Jonathan dalam proses pembukaan Abaarso School. Saya kagum dengan usahanya mengeluarkan duit sendiri, membina kerangka tentang sekolah yang akan didirikan beserta silibus yang akan diajar untuk memastikan kelulusan para pelajar melayakkan mereka masuk university di luar negara. He begins from scratch. Mengumpul dana sendiri, pergi ke negara asing, membuat hubungan dengan orang tempatan, mencari tapak sekolah,  dan membinanya. Of course, it’s not one-man work. Dari awal beliau sendiri mencari dan mengumpulkan beberapa orang guru yang yang mempunyai kepakaran dalam setiap bidang seperti sains dan matematik. Beliau juga terpaksa menghadapi pergolakan politik dan masalah air di sana.

Dalam buku ini juga disebut kisah beberapa orang pelajar yang berjaya. Membaca kisah pelajar ini yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti betul-betul membuatkan saya kagum. Seperti yang kita maklum, rakyat di sana sangat miskin kurang akses kepada pendidikan. Tapi pelajar-pelajar ini mempunyai semangat dan azam yang sangat kuat untuk belajar.

Ada seorang pelajar, Mubarik namanya. Mubarik ini masih lagi hidup seperti orang nomad. Membantu keluarga mengembala dan menjaga binatang ternakan. Hidup di kawasan yang sangat terpencil sehinggakan pertama kali melihat kereta, dia tidak tahu  itu kereta.  Daripada seorang yang tak kenal kereta, dia belajar di Abaarso, dan sekarang belajar di MIT. MIT adalah kolej kejuruteraan yang terkemuka di US.

Sungguh saya kagum dengan para pelajar ini yang begitu bersungguh belajar untuk mengubah nasib hidup mereka. Juga dengan penulis yang berjaya merealisasikan ideanya. Maklumat terbaru mengenai sekolah ini yang kini dikenali sebagai Abaarso of Science and Technology boleh didapati melalui website rasmi abaarsoschool.org.  

Saya fikir andai perkara ini boleh dilakukan jauh nun di tempat terpencil di Afrika yang sentiasa bergolak dengan isu politik, air, kebuluran. Apatah lagi kalau kita di negara yang boleh dikatakan stabil dan serba cukup. Bayangkan kalau ada sekolah sama yang didirikan dan pelajarnya adalah orang asli yang pada awalnya buta huruf dan jauh daripada teknologi. Kemudian mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka sama ada dalam atau luar negara. Pasti hebat kan?

 

If such as a success can happen in an unrecognized breakaway region of Somalia, why can’t it happen everywhere?’’ – Jonathan Starr.

To be without knowledge is to be without light. – Somali proverb

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Saturday 2 January 2021

Book Review: Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman

Saya suka baca buku tapi bukanlah sampai kategori tahap ulat buku atau obses dengan seseorang penulis atau genre tertentu saja. Cuma sejak beberapa tahun lepas saya sentiasa pastikan sebulan saya ada baca sekurang kurangnya satu buah buku. Banyak faedah baca buku. Selain menambahkan pengetahuan, bagi saya membaca buku juga salah satu cara untuk melatih dan memastikan pemikiran kita sentiasa cerdas dan sel sel otak sentiasa aktif berhubung. Tidak hairanlah kalau tengok Tun Mahathir dan ramai lagi tokoh hebat yang banyak menekankan kepentingan membaca.

Saya akan gunakan blog ini untuk review balik buku-buku yang pernah saya baca.  Buku pertama yang saya ingin kongsikan adalah antara kegemaran saya dan terbaik yang pernah saya baca. Penggunaan bahasa buku ini juga senang dan ringan untuk dibaca. Maksudnya walaupun anda bukan ulat buku atau kurang gemar membaca,  insya allah anda masih boleh memahami kandungan buku ini.

Buku ini adalah Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman (karya Prof Mohd Kamil Ibrahim (MKI). Pertama kali saya baca pada tahun 2016. Sehingga kini, buku ini termasuk dalam kategori Best Seller, telah diulang cetak berpuluh kali dan terjual melebihi 100,000 naskah.

Pertama kali saya membaca tajuk buku ini, saya ingat lagi saya agak skeptikal bahawa ini mesti buku biasa seperti buku lain yang menerangkan tentang rukun dan proses haji. But this book beyond than that. Buat pertama kali buku ini membuka minda dan hati saya bahawa mengerjakan haji bukan setakat untuk melengkapkan rukun Islam ke-5. Bukan juga sekadar ibadah dan berdoa. Tapi lebih daripada itu. Bagaimana luasnya rahmah dan kasih sayang Allah. Bagaiman kita sepatutnya cuba menjadi yang terbaik disisiNya. Bagaimana kita menyerahkan diri kepada Allah swt. 

Turut diceritakan beberapa perkara yang mungkin kita ambil ringan semasa mengerjakan Haji. Dan yang penting pengajaran tentang iman dan hidup kita selepas bergelar Haji. Adakah ia akan sama atau haji itu sudah mengubah sempadan iman kita? Selepas haji kita seolah olah seperti bayi yang baru lahir, suci daripada dosa. Tapi sayang berapa ramai yang sudah pergi haji atau umrah, bila balik Malaysia kelakuan masih lagi sama seperti dulu.

Saya juga tersentap apabila membaca Prof MKI memutuskan untuk mengerjakan haji sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang Allah berikan. Bukan semata mata untuk melengkapkan rukun ke 5 atau untuk berdoa meminta bermacam macam perkara dari Allah seperti yang sering saya dengar daripada jemaah haji lain. Seringkali kita diajar sejak kecil bila pergi umrah atau haji jangan lupa untuk meminta sekian sekian. Bahkan dalam ibadah lain juga kita seringkali melakukannya kerana mengharapkan balasan dan doa dimakbulkan Allah. Jarang sekali kita buat ibadah semata mata Allah suruh dan tanda kesyukuran serta pengabdian kita sebagai hambanya.

Prof MKI juga menceritakan kehidupan peribadinya yang tidak pandai membaca Al Quran dan bagaimana beliau berubah. Hidayah itu milik Allah. Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan padanya, maka akan diberikan kepadanya kefahaman dalam urusan agama. Tiada istilah terlambat untuk belajar balik. Beliau berubah sepenuhnya selepas pulang Haji. 

Membaca buku ini jujur mebuatkan air mata saya mengalir, rasa insaf dan bertanyakan pada diri tentang kedudukan iman sendiri. Banyak sangat khilaf kita selama ini terutama bab ibadah dan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hambaNya. Sejauh manakah usaha kita untuk mencari redha dan keampunanNya. Wallahualam.

p/s: Beberapa tahun selepas pulang Haji, Prof MKI berpeluang menetap di Madinah beberapa tahun bersama keluarganya. Beliau banyak menghasilkan buku lain yang tidak kurang hebatnya. Isteri beliau juga seorang penulis Roza Roslan.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 



 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...