Friday 22 January 2021

4 Cara Menikmati Solat Malam

Antara azam tahun baru saya saban tahun ialah untuk istiqamah dalam mengerjakan solat malam atau qiamullail atau tahajjud di sepertiga malam yang terakhir. Banyak sangat kebaikan solat malam di sepertiga malam terakhir. Namun ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk diamalkan setiap hari. Bagi saya sesiapa yang boleh istiqamah tahajud setiap malam adalah insan yang terpilih dan sangat istimewa. Insya allah.

Kali ini saya ingin berkongsi tentang cara menikmati solat malam yang dikongsikan oleh Ustaz Oemar Mita. Saya kira topik ini sesuai untuk diri saya sendiri dalam memastikan saya istiqamah. Ada 4 cara untuk menikmati solat malam:

1.       Dipaksakan

-          Seringkali saya mendengar pesanan para ustaz bahawa ibadah ini perlu dipaksakan. Walaupun ibadah seperti solat 5 waktu itu wajib ditunaikan oleh semua orang islam yang cukup syaratnya, hakikatnya ia bukan mudah. Bahkan sebenarnya banyak lagi perkara lain yang berkaitan ibadah itu sukar sebenarnya. Tapi sebab kita tahu itu adalah tuntutan agama, maka kita harus kerjakannya. Begitu juga ibadah sunat seperti solat malam, bukan mudah untuk bangun malam meninggalkan tidur yang lena. Namun kita harus memaksakan diri kita dan melawan nafsu. Kalau tidak selamanya kita akan gagal untuk bangun malam.

2.       Dibiasakan

-          Bila sudah memaksa diri untuk bangun malam, tiba masa untuk membiasakan atau menjadikannya satu rutin harian kita. Atau dengan kata lain istiqamah dan berdisiplin dengan rutin harian yang baru ini. Pada peringkat awal mungkin kitab oleh tetapkan target untuk bangun malam seminggu sekali, selepas itu selang sehari dan seterusnya setiap hari.

3.       Menjadi keperluan

-          Apabila kita sudah biasa solat malam, lama lama perkara itu akan menjadi satu keperluan harian hidup kita. Maksudnya bila kita terlepas peluang untuk solat malam, kita rasa bersalah atau tidak kena sebab perkara itu sudah menjadi keperluan.

4.       Merasa nikmat

-          Merasai nikmat solat malam ini adalah peringkat yang tertinggi. Mengikut Ustaz Omar Mieta, perkara biasa ramai saja yang mungkin sudah solat malam berpuluh tahun tapi tidak merasai nikmat solat malam itu. Ini juga berkait dengan soal keikhlasan. Tapi Insya Allah andai kita sudah biasa solat malam dan berdoa dengan penuh keikhlasan, suatu masa kita akan rasa nikmat itu.

Bercakap pasal solat malam atau solat tahajud ini, Ustaz Adi Hidayat ada berpesan kalau boleh jangan ditinggalkan 4 doa ini di waktu mustajab tersebut iaitu:

1.       Diberi kehidupan atau kareer terbaik yang memberi kebaikan di dunia dan akhirat

2.       Dibimbing dalam kehidupan atau aktiviti seharian

3.       Diberi solusi atau jalan keluar bagi setiap masalah

4.       Dilindungi allah daripada pihak yang ingin mencelakai.

Mudah-mudahan kita semua boleh menjadi insan yang sentiasa menghidupkan malam hari dengan berduaan dengan sang pencipta. Amiin.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...