Wednesday 3 February 2021

Pengajian Agama di Pondok Lubuk Tapah

Lebih kurang 4 tahun yang lepas (2017), saya pernah masuk Pondok Lubuk Tapah di Pasir Mas Kelantan selama kira kira 3 bulan. Saya rasa saya patut kongsi pengalaman saya ini sebab ramai orang di luar sana yang berminat sebenarnya dengan sekolah pondok tapi tidak tahu cara untuk memohon belajar di sini. 

Atau mungkin ada yang salah faham dan beranggapan sekolah pondok cuma untuk pelajar lulusan agama, atau remaja bermasalah atau untuk orang tua menghabiskan sisa hidup. Sebenarnya sesiapa saja boleh belajar di pondok. Cuma kena cari pondok yang sesuai dengan peringkat umur dan berapa lama kita ingin belajar sebab setiap pondok di Malaysia mempunyai syarat kemasukan yang berbeza.

Saya mulakan dulu bagaimana saya boleh masuk sekolah pondok. Beberapa tahun sebelum itu lagi saya memang sentiasa fikir bahawa ilmu agama saya sedikit dan saya ingin belajar tentang agama lebih lanjut dalam masa sama saya ingin memperbaiki diri saya. Dan saya terfikir salah satu cara untuk capai tujuan tersebut ialah dengan masuk pondok. Untuk pengetahuan anda, saya bukan seorang pelajar lulusan sekolah agama. Saya melalui kehidupan biasa seperti orang lain, masuk universiti dan alhamdulillah berjaya mendapat pekerjaan yang saya kira baik.

Sekitar pertengahan 2016, saya mula merasakan perasaan tidak tenang dalam diri. Rasa serba serbi tidak kena. Walaupun saya sudah mempunyai kerjaya yang baik, dikelilingi orang yang baik, masa saya terisi dengan buat perkara yang saya suka pada masa itu iaitu mendaki gunung/bukit, melancong, terlibat dengan aktiviti sukarelawan, dan berniaga juga. Dari segi agama walaupun tidaklah alim, tapi saya solat, baca Al Quran dan berpakaian sopan serta buat beberapa perkara lain yang disuruh agama. Senang cerita hidup saya baik. Tapi jauh di sudut hati rasa kosong yang saya tak tahu bagaimana nak ceritakan pada orang lain. Dada rasa berat.

Selepas beberapa bulan dilema, saya putuskan bahawa inilah masa yang terbaik untuk saya berhenti kerja dan tinggalkan seketika dunia saya ketika itu. Maka bermulalah proses pencarian bagaimana untuk masuk pondok. Masa itu saya langsung tak ada sumber rujukan atau kenalan untuk saya tanya bagaimana cara masuk pondok. Google dan FB adalah satu satunya sumber yang saya ada, namun ia tidaklah mudah kerana kebanyakan maklumat yang disediakan sudah lama atau tidak relevan lagi. 

Saya dapati pondok di Malaysia memang banyak namun tidak semua menerima pelajar di peringkat usia saya dan ada sesetengah pondok menetapkan untuk belajar dalam tempoh masa tertentu dan pendaftaran juga ada masa tertentu. Sedangkan pada masa itu saya sudah merancang untuk belajar di pondok beberapa bulan sahaja.

Alhamdulillah setelah beberapa percubaan dan pencarian pondok yang sesuai, saya berjaya juga jumpa nombor telefon seorang ustaz atau mungkin warden dekat Pondok Lubuk Tapah. Lepas saya hubungi ustaz tersebut, beliau terus meminta saya berurusan dengan Ustazah atau Warden yang menguruskan kemasukan pelajar perempuan. Dari situ saya tahu serba sedikit iaitu kemasukan terdiri untuk semua peringkat umur dan tiada had untuk belajar berapa lama. Juga yuran pendaftaran pertama kali RM 35 (kalau tidak silap), Selepas itu kena bayar yuran penginapan setiap bulan RM 30. Makan minum dan pembelian kitab adalah tanggungan sendiri.

Dipendekkan cerita pada 11 Januari 2017, saya mula mendaftar masuk ke Pondok Lubuk Tapah. Proses pendaftaran mudah saja, saya diberi beberapa kitab untuk pengajian dan ditempatkan di asrama perempuan. Masa saya belajar di situ, saya antara pelajar yang paling tua. Kebanyakan pelajar lain adalah belasan tahun yang merupakan pelajar tetap. Atau pelajar sementara seperti lepasan SPM/STPM yang mengambil peluang untuk mendalami ilmu agama sementara menunggu kemasukan ke universiti. Pelajar lelaki dan wanita memang tidak bercampur langsung. Penginapan antara pelajar dewasa/remaja dan untuk orang tua juga diasingkan. Maka bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar ‘berusia’ bersama adik adik di Pondok Lubuk Tapah.

Saya akan ceritakan tentang kehidupan saya sebagai pelajar di pondok selama 3 bulan dalam post yang berikutnya.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.

2 comments:

  1. Assalamualaikum cik puan..

    Merujuk post di atas - "Saya akan ceritakan tentang kehidupan saya sebagai pelajar di pondok selama 3 bulan dalam post yang berikutnya".

    Saya mencari post yang berikutnya tapi tak jumpa. Atau saya terlepas pandang? Maaf, saya sangat ingin tahu kehidupan sebagai pelajar pondok. Saya berbesar hati sekiranya dapat baca kisah cik puan selama berada di sana. Terima kasih ya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Maaf sudah lama saya tak buka blog ni. Insya Allah nanti sy update balik.

      Delete

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...