Friday 22 January 2021

Tujuan Berdoa dan Mengapa Allah Tidak Makbulkan Doa Kita?

Kali ini saya ingin berkongsi tentang topik doa yang saya dengar daripada ceramah Nouman Ali Khan (NUK).


NUK menceritakan ada seorang gadis bertanya kepadanya. Gadis tersebut mempunyai hubungan yang baik dengan Allah sejak kecil dan membesar sebagai seorang yang baik agamanya. Dia sebenarnya diuji allah dari kecil seperti kehilangan bapa tapi dia tidak mengeluh dan sentiasa bergantung sepenuh harapan pada Allah. Dia banyak beribadah, berdoa dan allah selalu memakbulkan doanya. Disebabkan Allah selalu memakbulkan doanya, dia semakin menyerahkan dan berharap sepenuhnya kepada Allah.

Suatu hari bila dia mempunyai beberapa masalah yang berat, dia memutuskan untuk meningkatkan lagi amal ibadah kepada Allah dan memperbanyakkan doa lagi. Tapi dia perasan bahawa Allah tidak lagi memakbulkan doanya seperti dulu dan masalahnya tidak hilang. Dia mula tertanya-tanya adakah Allah tidak lagi sayang padanya? Adakah dia ada membuat apa-apa kesalahan?

Melalui pertanyaan gadis ini, NUK mendapat inspirasi untuk memberi khutbah berkenaan konsep doa yang sebenarnya.  Ini kerana bukan sahaja gadis itu, tapi ramai lagi orang lain yang juga pernah berada dalam situasi ini.

Kita berdoa dan berharap agar Allah makbulkan. Sebelum pergi lebih lanjut NUK menekankan bahawa sama ada doa kita dimakbulkan atau tidak, itu tiada kaitan dengan Allah sayang kita atau tidak. Dan tiada kaitan dengan dosa kita. Atau mungkin ada tapi kita tak akan tahu sebab itu rahsia allah untuk memakbulkan sesuatu doa.

NUK lalu memberikan beberapa kisah daripada nabi terdahulu. Contohnya, nabi Nuh yang berdakwah selama 950 tahun. Adakah selama 950 tahun itu beliau tidak berdoa untuk kaumnya? Untuk isteri dan anaknya sendiri? Dia berdoa untuk tempoh yang lama tapi ahli keluarganya tetap kufur. Adakah nabi Nuh memberitahu dirinya bahawa allah tidak kabulkan doanya sebab allah tidak sayang atau nabi nuh ada melakukan kesalahan? Tidak. Nabi Muhammad juga berdoa untuk bapa saudaranya Abu Talib, tapi doanya juga tidak dikabulkan. Sedangkan baginda adalah seorang yang maksum (tiada dosa).

Dalam konteks sekarang juga banyak contoh seperti ibu bapa yang mendoakan untuk anak menjadi baik, atau anak yang berdoa untuk kebaikan ibu bapa. Atau kita berdoa untuk dapat pekerjaan yang baik, diberikan kesihatan, bertemu jodoh etc. Dan allah tidak makbulkan doa tersebut.

NUK juga memberikan contoh doa daripada kisah nabi yang mana ada antara doanya dimakbulkan lambat seperti nabi Ayub. Lepas kehilangan nabi Yusuf, kita semua tahu nabi Ayub sangat sedih dan menangis sehingga buta. Sepanjang tempoh itu, adakah beliau tidak berdoa untuk kesejahteraan nabi Yusuf atau bertemu kembali anak kesayangannya itu? Doanya hanya diperkenankan berbelas tahun selepas itu apabila nabi Yusuf menjadi pembesar di Mesir dan mereka dipertemukan kembali. 

Kisah lain yang mana Allah makbulkan doa dengan cepat ialah nabi Musa dan ibunya. Ibu nabi Musa begitu berat hati menghanyutkan nabi Musa di sungai Nil. Semestinya beliau risaukan keselamatan nabi Musa semasa dihanyutkan di sungai. Adakah dia tidak berdoa untuk keselamatan nabi Musa? Semestinya dia berdoa dan tidak lama selepas pada hari yang sama, nabi Musa dipertemukan kembali dengan ibu kandungnya sebagai ibu susuan.

Nampak tak pengajaran dekat sini? Kita semua akan menghadapi kesukaran dalam hidup dan mempunyai hajat, namun tak semua itu diselesaikan atau dipenuhi hanya semata kita berdoa. Dekat sini kita perlu fahami realiti dan tujuan berdoa itu. Kita sering salah faham antara doa dan thalab. Thalab dalam Bahasa Arab ialah meminta sesuatu (to ask something). Doa ialah untuk memanggil (to call). Doa itu adalah salah satu bentuk komunikasi dengan Allah. Sambil berkomunikasi itu, kita sertakan dengan thalab (meminta sesuatu daripada Allah). Berhubung dengan Allah melalui doa itulah tujuan utama kita. Sama ada allah makbulkan doa kita atau tidak adalah perkara sampingan.

Berbalik kepada gadis tadi yang merasakan dirinya ada berbuat kesalahan lalu Allah tidak makbulkan doanya. Cuba kita tengok kisah nabi Yusuf. Apa kesalahan nabi Yusuf yang masih lagi kecil sehingga dibuang dalam telaga dan dijual sebagai hamba? Kemudian difitnah dan terpaksa meringkuk dalam penjara? Nampak macam tidak adil, betul? Tapi sebagai orang yang beriman kita tahu, pasti ada hikmah di sebalik setiap aturan Allah swt.

Cuba kita imbas balik, andai nabi Yusuf tidak dibuang dalam keluarga, beliau tidak akan dijual sebagai hamba ke Mesir. Andai tidak dijual ke Mesir, beliau tidak akan diambil sebagai anak angkat pembesar Mesir dan ketika dewasa dimasukkan ke dalam penjara akibat fitnah. Jika tidak masuk dalam penjara, beliau tidak akan bertemu dengan 2 orang pemuda yang meminta nabi yusuf mentafsirkan mimpi mereka. Jika salah seorang pemuda itu tidak memberitahu raja Mesir berkenaan nabi Yusuf, maka Raja Mesir Ketika itu tidak akan tahu maksud mimpi baginda. Disebabkan nabi Yusuf mentafsirkan mimpi baginda, berjuta rakyat mesir terselamat daripada krisis kebuluran.

Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi sesuatu kesukaran sebab Allah telah sediakan sesuatu yang lebih baik. Sesuatu yang lebih baik itu boleh jadi untuk kita atau untuk orang lain. Sesuatu yang lebih baik itu juga boleh jadi datang ketika kita masih hidup atau sudah meninggal. Kesukaran yang dihadapi nabi Yusuf bertahun lamanya menjadi rahmat kepada jutaan orang. Kesukaran yang kita hadapi sekarang boleh menjadi kemudahan untuk orang lain dan menjadi amal jariah kita di akhirat kelak.

Kisah lain yang tidak kurang hebat adalah Mariam dan nabi Isa.  Mariam ialah wanita mulia yang sangat kuat beribadah kepada Allah sejak kecil dan sentiasa terpelihara kemuliaannya. Kedudukannya sangat tinggi di sisi Allah sehinggakan makanan didatangkan kepadanya tanpa diminta. Tapi masih diuji dengan mengandungkan Isa tanpa bapa. Apakah salah Mariam sehingga diuji begitu? Apakah Allah tidak sayangkan Mariam? Tentu tidak sama sekali. Malah Mariam sering disebut sebagai Ibu Isa (Isa son of Mariam) berbanding dengan orang lain contohnya Nabi Muhammad di sebut sebagai anak Abdullah (son of Abdullah).

Kesimpulannya, apa yang NUK cuba sampaikan adalah makbulnya doa kita atau tidak tiada kaitan dengan Allah sayang kita atau tidak. Kita juga harus ingat bila kita berdoa, bukan semata mata untuk dimakbulkan doa itu. Tapi doa itu sendiri adalah ibadah dan salah satu cara kita berkomunikasi dengan Allah. We want to have a connection with Allah. That is the most important thing about doa.

Saya tutup penulisan ini dengan hadis berikut:

Daripada Abu Sa'id, nabi saw berkata,'Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah, dengan suatu doa yang bukan mengandungi dosa dan memutuskan hubungan silaturrahim, kecuali Allah akan mengabulkannya dengan 3 : disegerakan pengabulannya di dunia, disimpankan untuknya di akhirat, atau Allah akan  hindarkannya dari keburukan. Para sahabat berkata,'Sekiranya begitu, kita akan memperbanyak doa (wahai Rasulullah).'Baginda menjawab,'Allah akan mengabulkannya lebih banyak daripada apa yang kamu minta.'  

(Hadis direkodkan oleh Ahmad 3/18, Shahih  At targhib wat Tarhiib:1633)


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...