Saturday 16 January 2021

Book Review: Mudahnya Menjemput Rezeki

Kita sering mendengar ayat mencari rezeki, bukannya menjemput rezeki. Membaca buku ini akan membuka minda kita akan konsep rezeki dan mula melihat rezeki itu dari pelbagai sudut.

Buku ini mempunyai beberapa bab. Bab pertama menerangkan konsep rezeki dan jenis rezeki. Rezeki adalah apa-apa yang kita rasakan manfaatnya, sama ada halal atau haram, baik atau buruk. Segala sesuatu yang walaupun milik kita tapi tidak dapat kita mengambil manfaat daripadanya, itu bukanlah rezeki kita tapi rezeki orang lain.

Bab seterusnya ialah cara-cara menjemput rezeki. Walaupun konsepnya mudah saja iaitu buat apa yang Allah suruh. Sebab rezeki itu datang dari Allah, manusia cuma perantara. Cara-caranya banyak melibatkan hubungan kita dengan allah dan juga manusia seperti solat, doa, sedekah dan banyak lagi. Hakikatnya ramai antara kita yang terlepas pandang dan memandang ringan akan hal ini.

Dalam bab lain, pelbagai contoh dan kisah yang diceritakan dalam buku ini berkenaan keajaiban menjemput rezeki daripada Allah yang akan membuatkan kita rasa ajaib sangat. Andai dihayati betul betul, ia akan menguatkan keyakinan dan keimanan kita kepada Allah.

Contoh yang saya terkesan ialah ada seorang lelaki, berpangkat senior di sebuah syarikat minyak, ingin meminta cuti tanpa gaji daripada bosnya selama 3 bulan dengan tujuan menyertai tabligh. Bosnya setuju memberi cuti tapi dengan gaji! Masyaallah, itulah bukti bila kita niatkan buat sesuatu kerana Allah, rezeki datang sendiri. Tak perlu dicari. 

Allah telah memberi janji berkenaan rezeki dalam surah Ath-Thalaq 65:3

‘ Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan sesiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.’

Saya rasa buku ini patut dibaca oleh semua orang muslim. Buku ini membuatkan saya meneliti balik kehidupan saya seharian. Adakah saya sudah laksanakan perkara tersebut. Sejauh mana keyakinan saya kepada Allah yang maha memberi rezeki? Lebih mudah menjemput rezeki berbanding mencari rezeki sebenarnya.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 


No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...