Friday 15 January 2021

Backpack ke Jepun Secara Solo Dengan Bajet Murah (bahagian 1)


Passport yang digunakan buat kali terakhir ke Jepun

Memandangkan ini pengalaman melancong yang terakhir sebelum sempadan negara ditutup, saya rasa ingin berkongsi pengalaman ke Jepun secara solo pada October 2019. Apatah lagi Jepun merupakan antara negara kegemaran saya setakat ini. Entah bila sempadan negara akan dibuka balik. Andai dibuka balik, mungkin pada masa itu hanya golongan kayangan sahaja yang mampu terbang di langit. Wallahualam.

Ini bukanlah pertama kali saya melancong seorang diri. Namun ini merupakan pertama kali kunjungan ke Jepun atau lagi tepat ke wilayah Kansai di Osaka, Nara, Kyoto, Kobe dan Himeji. Memandangkan ini kunjungan pertama ke sana dan secara solo pula, banyak masa yang dihabiskan untuk membuat persiapan dari segi jadual perjalanan dan pengangkutan kereta api di sana. 

Juga senarai tempat penginapan yang murah dan strategik, tempat makan yang halal serta tempat yang boleh saya tunaikan solat sambil berjalan sepanjang hari. Saya amat berterima kasih kepada kumpulan Rakan Travel Jepun (RTJ) di FB yang banyak menjadi sumber rujukan saya. Juga beberapa senpai yang saya secara peribadi bertanyakan soalan tentang jadual perjalanan saya di sana.

Antara pengalaman yang tak boleh dilupakan adalah di sekitar tarikh saya melancong ke sana, terdapat Taufan Hagibis yang dijangka antara yang terbesar dalam sejarah Jepun dan akan terkena kawasan yang saya ziarahi. Seingat saya ramalan tentang pergerakan dan kekuatan taufan itu bermula sekitar 2 minggu sebelum tarikh penerbangan saya. Ia membuatkan saya risau dan berfikir patutkah saya membatalkan percutian kali ini. Saban hari saya mengikuti perkembangan taufan ini dengan dekat dalam RTJ. 

Saya kira saya bernasib baik sebab Taufan Hagibis yang di jangka melanda Osaka mula mengubah haluan beberapa hari sebelum saya ke sana dan menuju ke kawasan Tokyo menjadikan Tokyo antara kawasan yang terjejas teruk disebabkan Taufan Hagibis. Namun tempiasnya tetap ada yang mana penerbangan saya ditunda beberapa jam. Pertama kali saya membuat tuntutan insuran perjalanan disebabkan penangguhan penerbangan. Dapatlah merasa RM 150 hasil pampasan. Jadi jangan lupa ya beli insuran perjalanan semasa melancong.

Dalam masa sama buat pertama kalinya saya menggunakan aplikasi couchsurfing. Host pertama adalah seorang wanita bujang yang berasal dari Indonesia dan berkerja di sana. Host kedua adalah wanita tempatan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Merasa juga tinggal bersama orang tempatan. Tapi sayang sebab jadual saya yang padat sepanjang hari, jadi tak banyak yang kami borakkan.

Pandangan peribadi terhadap orang Jepun, dengan sekadar berkunjung beberapa hari sukar untuk saya nilai sama ada mereka baik atau suka membantu seperti yang diwar-warkan. Cuma saya perasan mereka jenis yang tak peduli dengan orang asing di sekeliling mereka. Sebab berdasarkan pengalaman peribadi berkunjung ke beberapa negara lain, biasanya orang asing sentiasa jadi perhatian.  Ada yang rajin menegur seperti di negara jiran Indonesia. Tapi tidak di Jepun. Saya bebas berjalan sendiri di bandar, kampung, kawasan hutan/pergunungan, taman tanpa rasa risau, pelik atau rasa diperhatikan. For me they just don’t care about you. Tapi mereka memang sangat sopan dan beretika sama ada ketika bekerja, melintas jalan, semasa dalam kereta api dan sebagainya. Mungkin ini semua adalah budaya atau nilai yang sudah diterapkan dalam diri mereka ketika masih kecil.

Tiada masalah untuk mencari makanan halal. Banyak restoren yang memang mempunyai sijil halal terutama kedai yang menyediakan menu ramen. Saya perasan ramai pekerja di restoren halal ini ialah orang Indonesia. Sama seperti di Malaysia. Makanan yang saya paling nak cuba di Jepun adalah kari Jepun. Sejak dari zaman belajar saya banyak tengok drama Jepun dan mesti akan ada babak mereka makan kari Jepun. Ia sering membuatkan saya tertanya bagaimana rasa kari tersebut. Akhirnya saya brpeluang merasainya di kedai makan Club Ruu berhampiran Kiyomizudera temple. Sumpah tak menyesal cuba, sedap sangat. 

Datang ke Jepun juga tak sah kalau tidak masuk ke convenience store mereka seperti 7 eleven, family mart, Lawson. Memang rambang mata tengok pelbagai jenis makanan dan snek. Saya cuma sempat merasa sandwich, air coklat, pudding himeji. Tak lupa juga saya membeli nasi putih yang sudah masak untuk dimakan bersama sambal ikan bilis yang saya bawa dari Malaysia.

Tempat solat juga tiada masalah. Kebanyakan stesen keretapi besar dan kompleks beli belah ada menyediakan surau. Di restoren halal juga sama. Saya sempat juga berkunjung ke Masjid tertua di Jepun iaitu Masjid Kobe dan berpeluang solat asar di sana. Tandas dekat Jepun memang tip top. Sangat bersih dan kering.

Dalam bahagian seterusnya saya akan ceritakan lebih lanjut tentang tempat menarik yang saya kunjungi di sana.

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...