Tuesday 25 October 2022

Pengalaman Belajar Di Pondok (Bahagian 2)

Pada 13 Januari 2017, bermulalah kehidupan saya sebagai seorang pelajar. Rutin harian adalah sama setiap hari Ahad-Khamis. Kami wajib solat berjemaah di masjid setiap 5 waktu. Lepas solat subuh berjemaah, kami akan membaca Al Mathurat beramai ramai. Lepas itu bersiap untuk kelas pagi bersama guru yang kami panggil Ustaz Abah bermula jam 7.30 pagi – 9.00 pagi. 

Sepanjang 3 bulan saya di sana, apa yang kami belajar setiap pagi adalah tafsir beberapa surah Al Quran. Ustaz Abah adalah Ustaz kegemaran kami semua. Pengalaman saya sendiri belajar dalam kelas Ustaz Abah, saya kagum sebab ini pertama kali yang saya belajar dengan seorang guru yang sepanjang kelas tidak mengangkat kepala memandang kami pelajar perempuan. Tumpuannya hanya menunduk kepada kitab yang di baca. Tapi setiap lafaz yang keluar dari mulutnya sentiasa menyentuh hati kami berkenaan kisah dan pengajaran daripada Al Quran. Saya sendiri tidak terkira berapa kali tertusuk hati dan menangis setiap kali mendengar ceramah ustaz abah.

Selesai kelas abah, kami ada masa untuk rehat seketika dan bersarapan sebelum memulakan kelas yang berikutnya jam 9.30 pagi bersama Ustazah Mimi. Banyak topik yang kami belajar tapi kebanyakan bab asas ibadah seperti solat, bacaan Al Quran, puasa, haid dan sebagainya. Nampak seolah perkara asas yang kita dah belajar sejak sekolah rendah. Tapi hakikatnya semakin kita belajar, baru kita tahu sebenarnya banyak lagi yang kita tak tahu dan kena perbaiki.

Seterusnya kami balik ke bilik dan mempunyai masa yang agak panjang untuk makan tengahari dan tidur. Kemudian solat zuhur berjemaah dan akan ada pengajian kitab dalam masjid juga selepas selesai solat. Setiap hari menggunakan kitab berbeza dengan ustaz berbeza. Jam 3 lepas habis pengajian kami akan ke bilik pengajian yang sama seperti pagi tadi untuk membaca Al Quran. Dalam kelas Al Quran ini biasanya ada beberapa Ustazah yang akan datang untuk memantau bacaan kami. Dan ada juga beberapa pelajar senior yang menjadi guru al quran untuk adik adik yang baru belajar membaca Al Quran. Lepas itu kami kembali ke masjid untuk solat Asar berjemaah dan sekali lagi kami akan baca Al Mathurat selepas Asar.

Petang adalah aktiviti bebas. Makan, mandi dan berehat. Dan ke masjid lagi untuk solat Maghrib dan Isya berjemaah. Antara Maghrib dan Isyak juga akan ada kelas pengajian. Lepas Isyak sekali lagi kami ada kelas membaca Al Quran. Kelas tamat kira kira pukul 10 pm dan kami akan baca surah Al Mulk dan beberapa ayat Al Quran serta doa sebelum semua kembali ke dorm masing masing untuk tidur.

Setiap petang khamis kami ada aktiviti gotong royong membersihkan kawasan pondok. Hujung minggu seingat saya memang aktiviti bebas kecuali pagi jumaat juga ada kelas pengajian. Masa ini kami biasanya memang tak keluar kemana mana. Ada juga ibu bapa yang datang melawat.

Sekali tengok rutin harian ini mungkin ada yang fikir nampak padat atau membosankan. Tapi percayalah kalau niat anda betul masuk pondok untuk belajar, anda sama sekali tidak akan rasa bosan. Bahkan sentiasa teruja untuk belajar sesuatu yang baru.

Begitulah serba sedikit rutin harian disana yang saya boleh ingat. Saya akan sambung dalam bahagian seterusnya beberapa kisah lain. 


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...