Friday 15 January 2021

Book Review: It Takes A School


Membaca buku ini membuatkan saya sangat kagum dengan penulisnya, Jonathan Starr. Kerana ideanya dan kemampuannya merealisasikan idea yang bagi saya sangat hebat. Jadi saya termotivasi untuk berkongsi tentang buku ini kepada orang lain.

Buku ini berkisarkan pengalamannya dari awal hingga akhir membina sebuah sekolah di negara Somaliland, sehingga beberapa pelajar dari sekolah tersebut mampu melanjutkan pelajaran ke beberapa kolej terkemuka di US.

Mungkin ada yang pertama kali dengar Somaliland dan mesti anda fikir ia adalah negara Somalia. Sebenarnya tidak. Somaliland terletak di utara Somalia. Dari segi geografi dan peta dunia ia dianggap sebahagian dari Somalia. Namun Somaliland diterajui oleh politik yang berbeza dan rakyat mereka juga menganggap mereka sebagai negara yang bebas tapi tidak diiktiraf. Its quite complicated. Seperti negara Afrika yang lain, Somaliland juga tidak terlepas daripada isu kemiskinan, kelaparan dan kekurangan akses kepada pendidikan.


Jonathan mula mengenali Somaliland melalui pakciknya Billy (Billy ialah abang ipar kepada Alan, ayah Jonathan). Beliau sendiri merupakan pengurus kewangan di US dan mempunyai kehidupan yang boleh dikatakan senang. Mendengar cerita tentang Somaliland dan visinya berkenaan isu pendidikan daripada Billy, Jonathan memutuskan untuk meninggalkan kehidupannya di US dan  membuka sekolah di suatu tempat yang bernama Abaarso.

Buku ini agak panjang. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Jonathan dalam proses pembukaan Abaarso School. Saya kagum dengan usahanya mengeluarkan duit sendiri, membina kerangka tentang sekolah yang akan didirikan beserta silibus yang akan diajar untuk memastikan kelulusan para pelajar melayakkan mereka masuk university di luar negara. He begins from scratch. Mengumpul dana sendiri, pergi ke negara asing, membuat hubungan dengan orang tempatan, mencari tapak sekolah,  dan membinanya. Of course, it’s not one-man work. Dari awal beliau sendiri mencari dan mengumpulkan beberapa orang guru yang yang mempunyai kepakaran dalam setiap bidang seperti sains dan matematik. Beliau juga terpaksa menghadapi pergolakan politik dan masalah air di sana.

Dalam buku ini juga disebut kisah beberapa orang pelajar yang berjaya. Membaca kisah pelajar ini yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti betul-betul membuatkan saya kagum. Seperti yang kita maklum, rakyat di sana sangat miskin kurang akses kepada pendidikan. Tapi pelajar-pelajar ini mempunyai semangat dan azam yang sangat kuat untuk belajar.

Ada seorang pelajar, Mubarik namanya. Mubarik ini masih lagi hidup seperti orang nomad. Membantu keluarga mengembala dan menjaga binatang ternakan. Hidup di kawasan yang sangat terpencil sehinggakan pertama kali melihat kereta, dia tidak tahu  itu kereta.  Daripada seorang yang tak kenal kereta, dia belajar di Abaarso, dan sekarang belajar di MIT. MIT adalah kolej kejuruteraan yang terkemuka di US.

Sungguh saya kagum dengan para pelajar ini yang begitu bersungguh belajar untuk mengubah nasib hidup mereka. Juga dengan penulis yang berjaya merealisasikan ideanya. Maklumat terbaru mengenai sekolah ini yang kini dikenali sebagai Abaarso of Science and Technology boleh didapati melalui website rasmi abaarsoschool.org.  

Saya fikir andai perkara ini boleh dilakukan jauh nun di tempat terpencil di Afrika yang sentiasa bergolak dengan isu politik, air, kebuluran. Apatah lagi kalau kita di negara yang boleh dikatakan stabil dan serba cukup. Bayangkan kalau ada sekolah sama yang didirikan dan pelajarnya adalah orang asli yang pada awalnya buta huruf dan jauh daripada teknologi. Kemudian mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka sama ada dalam atau luar negara. Pasti hebat kan?

 

If such as a success can happen in an unrecognized breakaway region of Somalia, why can’t it happen everywhere?’’ – Jonathan Starr.

To be without knowledge is to be without light. – Somali proverb

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...