Friday 15 January 2021

Book Review: Pendiam

Istilah pendiam dan saya sering dikaitkan bersama. Sering kali saya mendengarnya. Sebenarnya ini suatu isu yang sensitif bagi saya. Kenapa? Sebab orang memandang sifat pendiam sebagai suatu sifat yang negatif. 

Sejak kecil bermula dengan guru, kawan, sehingga majikan sering menegur saya seolah sifat pendiam itu suatu kesalahan. Sehinggakan zaman remaja saya membesar dengan cuba mengubah diri saya menjadi ‘normal’ seperti yang dipandang masyarakat. Saya fikir saya yang bermasalah sebab tidak banyak bercakap seperti orang lain. Saya tidak ramai kawan, sentiasa rasa tersisih disebabkan tidak ‘normal’ seperti orang lain. Menyebabkan saya membesar sebagai seorang yang kurang keyakinan diri.

Itu kisah dulu. Bila mula melangkah alam perkerjaan, saya mula mengikut rentak sendiri. Saya tahu apa yang saya nak dan saya tidak kisah lagi akan pandangan masyarakat. Cuma saya agak terkilan kerana masyarakat kita memang memandang orang yang pendiam ini pelik atau tidak normal. Bagi mereka kami sepatutnya lebih banyak bercakap dan bergaul dengan semua orang. Ini yang dipandang normal. Lalu orang pendiam atau introvert inilah yang menjadi mangsa keadaan.

Buku ini ditulis oleh seorang introvert Aqila Masri dan ahli psikologi Aiman Amri. Buku ini memberi penenerangan tentang definisi introvert/ekstrovert. Ada pelbagai pecahan di bawah sifat introvert. Juga ujian yang boleh dilakukan untuk mengenali personaliti diri iaitu Neo Five Factor Inventory (NEO FFI) dan OCEAN.

Saya galakkan introvert membaca buku ini kerana ia memberi idea akan sifat kita. Seperti yang saya sebut tadi, disebabkan stigma masyarakat, kita fikir kita tidak normal dan menjadi keliru dengan identiti, sehingga ada yang kehilangan keyakinan diri. 

Hakikatnya ia bukanlah satu kelemahan atau tidak normal tetapi salah satu cabang personaliti manusia. Setiap orang dicipta dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pertama kali saya membaca buku ini, perkara pertama terlintas di hati adalah ‘saya normal rupanya’ dan ;ada juga orang lain macam saya’. Ya, kami normal dan ada dalam kalangan masyarakat walaupun minoriti.

Jadi kita patut menyayangi dan menerima diri kita seadanya serta maksimumkan kelebihan kita. Cuma berdasarkan pengalaman peribadi sendiri, saya bersetuju ada masa kami perlu berubah mengikut keadaan. Maksudnya kita kena pandai bawa diri. Contohnya kita masih perlu bersosial dan bergaul dengan saudara, rakan sekerja/belajar atau jiran. Cuma kita ada hadnya. 

Contoh saya sendiri, saya boleh bersosial dengan orang tapi dalam kumpulan yang kecil dan yang kenal sahaja. Kalau dalam kelompok yang besar dan tidak dikenali, saya rasa tidak selesa. Sama juga dalam bidang perkerjaan. Saya ubah diri jadi professional, buat yang terbaik dalam pekerjaan. Balik rumah saya kembali menjadi diri saya yang pendiam dan banyak bersendirian.

Saya juga lebih menggalakkan ekstrovert membaca buku ini supaya dapat mengenali karakter introvert ini. Seterusnya tidak lagi memandang rendah atau negatif akan golongan seperti kami ini.


 
Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 


No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...