Saturday 16 January 2021

Backpack Ke Jepun Secara Solo Dengan Bajet Murah (bahagian 2)

Saya menaiki flight Air Asia pada jam 5.50 pm 12 October 2019. Tiket penerbangan berharga RM 692 pergi balik tanpa luggage dibeli lebih kurang 2 bulan sebelum. Penerbangan dan pelepasan immigresen di lapangan terbang antarabangsa Kansai berjalan dengan lancar. Saya tiba kira kira jam 1.30 pagi waktu tempatan. 

Untuk menjimatkan kos saya cuma lepak di lapangan terbang Kansai sementara menunggu waktu subuh dan terus memulakan perjalanan yang dirancang. Saya solat di surau yang terdapat di lapangan terbang ini. Surau ini terletak di aras 3 Terminal 1. 

Musim pada masa itu adalah permulaan musim luruh, jadi cuaca tidak terlalu sejuk atau panas. Cukup sekadar pakai jaket nipis. Dan pohon pohon pun masih lagi kehijauan dan sedikit saja yang sudah bertukar kekuningan. Belum ada rezeki untuk saya menyaksikan musim luruh yang sebenar. 

Saya cuma menggunakan Kansai Thru Pass (KTP) sepanjang saya berada disana. Saya beli di Matta Fair PWTC 3 minggu sebelum itu dekat booth HIS Travel. Saya beli 2 unit 3 day Kansai Thru Pass dengan harga RM 440 untuk kegunaan selama 6 hari. Terdapat puluhan pas yang boleh dibeli sesuai dengan perjalanan pelancong. 


Saya sangat kagum dengan pengangkutan keretapi Jepun yang mencangkau hampir ke setiap pelosok destinasi pelancongan. Saya boleh sampai ke kawasan pedalaman seperti Minoo park, Gunung Hiei dan Koyasan dengan menaiki keretapi sahaja. Setiap hari saya akan lihat jadual menggunakan Google Map. Sangat membantu perjalanan saya. Cuma kelemahannya adalah kemungkinan besar anda akan sesat apabila berada di stesen besar seperti Namba atau Osaka sebab terlalu banyak pintu masuk keluar di dalam stesen. It happens to me many times!

Hari pertama selepas subuh saya terus menaiki kereta api dari KIX ke stesen Namba. Di sini saya tinggalkan backpack di coin locker dengan harga 600 yen. Lepas itu saya terus ke Nara, tempat yang popular dengan rusa. Bagi saya tiada apa yang istimewa pun kalau setakat nak tengok dan bagi rusa makan. 

Target utama saya sebenarnya untuk naik ke Wakakusa Hill yang terletak berhampiran Nara Deer Park. Sayangnya masa saya sampai tempat itu tutup sebab masa itu kan baru lepas tempias Taufan Hagibis, jadi angin masih agak kuat dan sesekali hujan. Jadi kami tidak dibenarkan naik. Agak kecewa di situ. Saya teruskan perjalanan ke sepanjang Nara street untuk misi mencari mochi yang terkenal di sini. Saya cuba sebiji 130 yen. Memang sedap dan lembut sangat.

Rusa di Nara

Mochi yang lembut


Sempat beli persimmon di market di Nara

Selepas itu, saya kembali ke Namba stesen untuk solat Zuhur dan sambung berjalan jalan di sekitar Kuromon Ichiba Market dan Dotonbori street yang popular dengan sign Glico man. 

Saya juga sempat makan tengahari di Ramen Naritaya. Ini pertama kali saya merasai ramen Jepun. Semangkuk harga 1400 yen, lebih kurang RM 40. Nah ambik kau! Inilah antara perkara yang kita kena bersedia datang sini, pertukaran duit yang tinggi.

Ramen Naritaya

Pada waktu petang pula saya berjalan jalan sekitar Osaka Castle, saya tidak masuk ke dalam. Saya lebih suka berjalan sekitar taman di luar istana dan duduk di bangku merehatkan diri sambil menghirup udara segar. Lepas itu baru saya kembali ke Namba stesen untuk ambil backpack dan terus ke rumah host couchsurfer saya yang pertama untuk bermalam. Host saya merupakan seorang wanita bujang berasal dari Indonesia. Saya bersyukur sangat beliau sudi menerima permintaan saya untuk tinggal 2 malam di situ. Sebab bukan senang untuk cari host wanita dekat Jepun.

Pengalaman hari pertama di Jepun saya agak stress sebenarnya sebab saya tercari- cari arah keluar masuk dari stesen itu. Saya fikir stesen keretapi disana sama macam di KL. Tapi tidak. Terdapat berbelas exit dan bersambung dengan shopping mall membuatkan saya keliru mencari arah. Untuk solat juga kita perlu ke kaunter pertanyaan minta izin untuk solat. Pegawai di kaunter akan bagi kita borang untuk isi dan baru diberi kunci surau. Lepas dah solat, kena kembali ke kaunter untuk pulangkan kunci.  

Hari kedua saya bergerak ke Himeji castle yang mengambil masa hampir 2 jam dari kota Osaka. Di Himeji Castle, saya telah tempah tour guide Himeji siap siap semasa di Malaysia lagi. Percuma. Boleh tengok di laman web, kebanyakan tempat pelancongan di Jepun memang ada yang menawarkan servis khidmat pemandu pelancong secara percuma. Disebabkan saya sendirian, jadi saya fikir ada baiknya jika ada teman yang boleh bercerita dan berborak sambil saya melawat Himeji castle yang besar itu. Saya berada setengah hari di situ. Tiket masuk berharga 1040 yen termasuk ke Kokuen Garden yang terletak bersebelahan Himeji Castle. Tour guide saya banyak bercerita tentang sejarah dan seni bina istana tersebut. 

Himeji Castle dari luar

Selepas itu saya meneruskan perjalanan ke Kobe. Saya sempat singgah di Akashi Kaikyo bridge yang terletak antara Himeji dan Kobe. Ia merupakan jambatan gantung terpanjang di dunia. Di kawasan berhampiran jambatan ini juga terdapat tempat seperti taman yang kita boleh lepak. Again, I love to chill out at the park.

Akashi Kaikyo bridge

Taman berhampiran Akashi Kaikyo bridge

Semasa saya sampai di Kobe hari dah agak gelap sebenarnya, saya cuma sempat solat jamak Zuhur dan asar dan tak sempat untuk pusing sekeling Kobe. Saya perlu balik ke Osaka yang perjalanan lebih kurang sejam. Prinsip saya semasa melancong solo di luar negara ialah cuba elakkan balik lambat sebelum 8 pm. Kembali ke Osaka saya makan malam dulu di Matsuri yang terletak tak jauh dengan rumah host dan mencuba makanan popular Osaka iaitu Takoyaki. Sedap!

Masjid Kobe

Takoyaki di Matsuri restoren

Hari ketiga, saya check out dari rumah host dan bergerak menuju Kyoto yang terletak lebih kurang sejam setengah dari Osaka. Saya check in di Khaosan Kyoto Guest House. Sebab saya sampai sebelum pukul 8.00, saya tak boleh check in lagi. Tapi saya tumpang letak backpack dan guna pantry untuk sarapan pagi dengan nasi segara yang di beli di family mart sebekas 100 yen dan sambal bilis dari KL. Selepas itu saya terus ke Uji. 

Pekan Uji



Uji sebenarnya suatu kawasan yang terletak di tepi sungai. Saya banyak menghabiskan masa berjalan di sepanjang sungai dan melihat alam sekitar. Saya memang gemar akan tempat begini berbanding bandar yang sesak dengan ramai orang dan bangunan tinggi yang berdekatan serta bising. Seperti biasa di mana mana tempat pelancongan akan ada peniaga di sepanjang jalan dan saya tak cuba melepaskan peluang mencuba ais krim matcha yang berharga 350 yen. Setakat ini tak jumpa lagi la makanan yang tak sedap. Rasa dia memang sedap berbanding dengan yang kita beli di Family Mart.

Matcha Ice Cream

Selepas itu, saya ke Fushimi Inari yang popular dengan laluan oren merah yang selalu orang bergambar itu. Like people said, the place is very crowded.
Puas cari port yang tak ada orang, susah nak jumpa.

Jadi saya tak lama di sini, terus bergerak ke Arasyiama, antara tempat tercantik yang saya kunjungi  di Jepun. Saya dah rancang dari awal untuk solat di Yoshiya Restaurant. Bila sampai baru saya tahu untuk tumpang solat, kita kena beli dan makan di situ. Sebab masih kenyang dengan nasi tadi, saya cuma order ais lemon tea harga 500 yen. Sejuk sangat masa ambil wuduk sebab air itu mengalir terus dari buluh yang bersambung dengan sungai berhampiran.

Selepas itu, saya turut naik Sagano Romantic Train. Tiket harga 630 yen sehala. Tren ini mengambil masa kira-kira setengah jam melalui jalan sepanjang sungai Hozagawa.  

Tempat paling popular di sini ialah hutan buluh. Pelancong memang ramai dan sesak. For me, i dont care about taking pictures. In fact sepanjang semingu dekat sini, berapa keping saja gambar yang ada muka saya.

Gambar pinjam Google
 
Waktu itu dah petang jadi saya menghabiskan masa duduk di bangku di tepi sungai sambil merasai kesejukan petang itu. Masya Allah, I just love the scenery, the weather and the peacefulness at that time.
Lepak di tepi sungai di Arasyiama

Lepas kembali dari Arasyiama, saya solat di shopping mall Kyoto Marui di aras 5. Di Khaosan Kyoto Guest House, saya tidur di female dorm dengan harga 4000 yen untuk 2 malam. Saya sangat puas hati duduk di sini. Dorm besar, tandas bersih dan memang tidak bercampur dengan lelaki. Pantri yang besar dan selesa. Saya juga sempat laudry di sini dengan harga 300 yen cucian kering. Lokasi juga strategik dekat dengan street market dan Kamo River.

Ini adalah hari keempat dan tema hari ini ialah Kyoto On foot. Bermaksud saya tidak menggunakan apa apa pas dan pengangkutan untuk bergerak sebab KTP 3 days sebelum ini sudah tamat. Saya akan melawat tempat menarik di Kyoto dengan berjalan kaki sahaja. Lokasinya tidak jauh pun dari tempat penginapan saya. Destinasi pertama saya adalah Kiyomizudera temple. Sepanjang perjalanan saya sempat singgah di beberapa tempat seperti Yasaka shrine dan Maruyama Park.  Sebelum gerak saya sempat bersarapan dengan sambal ikan bilis yang dibawa dari Malaysia dan nasi segera yang dibeli di family mart.

Sarapan pagi

Gion di waktu pagi

Masa ini juga saya melalui kawasan Gion yang suatu masa dulu popular dengan Geisha. Pada saya masa inilah kita boleh berjalan dan merasai serta melihat sendiri jalan jalan serta bangunan lama yang masih mengekalkan tradisi Jepun itu. Kita boleh nampak wanita atau lelaki yang berpakaian kimono. Ninnenzaka dan Sannenzaka street antara jalan popular yang kaya dengan suasana yang sangat klasik. Melalui jalan jalan ini menuju ke Kiyomizudera membuatkan saya rasa seolah kembali ke zaman Jepun dahulu kala. 

Gadis berkimono

Ninenzaka street

Pemandangan dari atas Kiyomizudera Temple, masuk 400 yen.

Di sini juga terdapat restoren iaitu Curry Ruu yang dicadangkan ramai untuk merasai kari ayam Jepun. Saya masih teringat kerangupan ayam dan kesedapan kari bersama nasi putihnya yang itu.

Chicken curry 980 yen...so yummy.
rice dumpling + green tea = 600 yen

Selepas puas berjalan dalam Kiyomizudera temple, saya patah balik ke tempat penginapan dan lokasi seterusnya adalah Teramachi street dan Shinkyogoku street. Ini kawasan beli belah seolah olah seperti Petaling Street atau Jalan Tar. 


Kyoto Guest House yang saya duduk cuma di seberang jalan ini sahaja.
Nishiki market

Saya juga singgah di Nishiki market yang terletak di kawasan sama dekat shopping street tadi. Ia adalah pasar tradisional Jepun yang menjual pelbagai makanan tradisi Jepun dan barang basah.  Memang lokasi terbaik untuk merasai pelbagai jenis kulineri Jepun. Tapi disebabkan ragu ragu dengan status halal dan juga harga yang tidak berapa murah, saya cuma merasai donut tofu yang harga 300 yen untuk 10 biji. Untuk makan malam saya singgah di Ayam Ya Karasuma untuk merasai ramen Jepun juga. 

Ramen Ayam Ya 890 yen semangkuk

Waktu petang saya dihabiskan dengan lepak di tepi Kamo River. Memang ramai yang lepak dan juga berbasikal di sepanjang sungai ini. Tenang sangat suasananya. 3 hari 2 malam di Kyoto, saya benar benar jatuh cinta dengan bandar ini. Andai suatu hari nanti saya saya berpeluang ke Jepun lagi, tempat ini saya ingin datang lagi.

Tepi sungai Kamo River


Terima kasih sudi membaca. Saya akan sambung selanjutnya dalam entri berikutnya. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 




No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...