Tuesday 25 October 2022

Pengalaman Belajar di Pondok (Bahagian 3)

Kali ini saya ingin cerita tentang perbelanjaan di pondok. Pertama kali daftar RM 35 dan yuran penginapan setiap bulan RM 30. Kitab beli sendiri, saya berhabis dalam Rm 150-Rm 200 untuk kitab. Bab makan pula kami memang tidak dibenarkan masak dan menyimpan alatan masak di asrama. Jadi kami beli makanan di kantin. Murah saja, untuk makan tengahari/malam contohnya ada nasi putih, sayur dan ikan/ayam cuma RM 3. Sarapan pagi seperti mihun goreng berharga RM 1.

Manakala dari segi pakaian kami untuk pergi kelas kami boleh pakai baju kurung atau jubah dan wajib bertudung labuh. Saya bernasib baik sebab mak saya memang pakai tudung labuh jadi saya cuma pinjam tudung mak saya. Juga kami wajib pakai stoking dan sarung tangan. Secara keseluruhan sepanjang 3 bulan di sana, saya habis tidak sampai RM 1000 untuk yuran, kitab, makan, pakaian dan sebagainya.

Kami tidak wajib berpurdah. Saya sendiri tidak pernah cuba memakai purdah sebab pendapat peribadi saya sendiri, bila memakai purdah bukan semata mata untuk menjaga kecantikan seseorang wanita dari pandangan ajnabi, tetapi menunjukkan tahap akhlak dan agama perempuan di berada di tahap yang tinggi berbanding wanita yang tidak berpurdah. Sebab itu saya tidak ingin memakai purdah kerana merasakan saya belum berada dalam tahap itu lagi.

Antara peraturan belajar di pondok ialah kita tidak dibenarkan pegang phone. Dalam pondok juga memang tiada TV. Bagi saya sendiri ia bukan satu cabaran besar buat saya kerana saya bukanlah kaki media sosial atau sentiasa dengan phone setiap hari. Saya tak ramai kawan, nombor dalam phone juga kebanyakan adalah nombor ahli keluarga terdekat. Jika ingin menggunakan phone, boleh minta dengan warden menggunakan telefon mereka.

Masa pertama kali masuk juga kami diwajibkan untuk duduk dalam pondok selama 40 hari, tak boleh keluar outing dan balik rumah. Kenapa 40 hari?  Antaranya untuk melatih kita supaya biasa dengan rutin harian dan membersihkan hati dengan banyak baca Al Quran, zikir dan solat. Dalam Islam sebenarnya banyak lagi perkara yang sering diamalkan dengan nombor 40. Saya sendiri lepas 40 hari baru keluar pondok dan balik rumah jumpa keluarga untuk beberapa hari sebelum kembali ke pondok meneruskan pengajian. Ada perubahan selepas 40 hari? Entahla, perubahan ini subjektif dan tidak sama bagi semua orang.

Jujur saya kata 3 bulan di pondok bukanlah suatu tempoh yang lama untuk belajar ilmu agama ini. Apa yang saya belajar seolah olah kita celupkan jari dalam laut dan setitis air yang jatuh daripada jari itulah yang saya belajar jika dibandingkan dengan seluas lautan yang dalam itu. Sebab itu kita kena ingat dan tanam dalam diri untuk sentiasa belajar. Tidak semestinya masuk pondok. Zaman sekarang semua di hujung jari. Boleh beli buku, dengar ceramah atas talian. Dan kalau covid sudah habis, jangan lepaskan peluang untuk pergi mana-mana kelas pengajian agama yang selalu dijalankan di masjid atau surau.

Kalau ditanya apa perkara paling berharga saya belajar semasa 3 bulan di pondok, ia adalah saya mengasingkan diri daripada duniawi seketika. Ingat dalam bahagian satu, saya pernah berkata bahawa pada masa itu saya rasa serba tak kena, dada rasa berat tapi hati kosong. Bila saya masuk pondok, seolah olah seluruh beban jatuh daripada bahu saya. Hati saya penuh dengan keinsafan. Masa itu saya jumpa jawapannya. Sebab sebelum itu saya terlalu terikat dengan duniawi. Banyak perkara yang saya ingin capai dan bermain dalam fikiran yang berkaitan dengan duniawi semata. Di pondok saya akhirnya sedar bahawa kehidupan saya sebelum ini terlalu berorientasikan duniawi. Di pondok saya belajar untuk menyeimbangkan hidup. Di pondok saya belajar untuk buat sesuatu demi akhirat dan mendapat redha Allah. Bukannya kita kena tinggalkan dunia, tapi jangan letak dunia dalam hati. Cukup di tangan sahaja. Insya Allah hati akan tenang.

Kesimpulannya, keputusan saya untuk berhenti kerja dan meninggalkan keseronokan duniawi saya untuk masuk pondok pada masa itu antara keputusan terbaik yang pernah saya buat dalam hidup saya. Sekarang saya sudah kembali ke kehidupan biasa saya. Iman kita sentiasa turun naik. Ini juga berlaku kepada saya. Untuk kembali ke pondok seperti dulu agak sukar, tapi banyak cara yang boleh dilakukan untuk ‘charge’ iman seperti sentiasa menyertai program keagamaan/majlis ilmu, mendengar ceramah, baca buku, dan memilih kawan yang sealiran.

Saya cuba untuk sentiasa ingat akan kata kata Ustaz Abah yang sering disebut dalam kelasnya, kita buat sesuatu hanya untuk mendapat redha Allah. Semua yang berlaku kerana Allah yang izinkan. Maka yakinlah dengan Allah. Tujuan utama kita bukan dunia tapi akhirat. Dunia cuma tempat persinggahan untuk ke akhirat yang kekal selamanya.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...