Monday 22 February 2021

Kawal Kemarahan: Sifat Ahli Syurga

Sifat marah sebenarnya berkait dengan akhlak kita. Orang yang baik akhlaknya biasanya mempunyai sifat sabar. Mereka tidak mudah marah. Ada hadis mengatakan jika ingin lihat akhlak sebenar seseorang, lihatlah dirinya ketika marah. 

Allah menyukai orang yang sabar. Saya ada mendengar suatu cerita (maaf saya lupa sumber). Suatu hari Rasullullah saw berjalan dan terserempak dengan 2 orang lelaki yang sedang bergaduh. Salah seorang lelaki kelihatan marah dan meninggikan suara. Manakala seorang lelaki lagi kelihatan cuma berdiam diri dan bersabar sahaja dengan perlakuan lelaki itu. Rasullullah saw tersenyum sahaja melihat lelaki yang berdiam diri itu. Tidak lama selepas itu, lelaki yang berdiam diri itu kelihatan mula hilang sabar dan turut membalas balik kata-kata lelaki yang seorang lagi. Rasulullah saw terus berhenti senyum dan beredar dari tempat tersebut. Apabila ditanya kenapa baginda beredar, baginda menjawab ‘Semasa lelaki itu mendiamkan diri, aku melihat malaikat mendoakannya, maka aku senyum. Bila dia mula marah dan menjawab lelaki seorang itu, malaikat beredar dari situ, maka aku juga beredar’.

Ustaz Hanan Attaki ada menyebut mampu menahan marah itu sifat ahli syurga. Jangan marah, kamu dapat syurga. Besar sangat pahala bagi orang yang dapat kawal marah. Allah ingin menyelamatkan hambanya dengan melarang dia marah dan diberi syurga. Marah itu fitrah, Allah bagi sebagai ujian dalam hati manusia. Kenapa Allah bagi sifat marah? Supaya Allah boleh melihat siapa hambaNya yang sabar dan siapa yang tidak sabar. Allah tahu bahawa orang yang marah itu pasti sudah dikuasai syaitan. Kalau sudah dikuasai syaitan, syaitan pasti akan bawa dia ke neraka bukannya syurga.

Dalam ceramah lain Ustaz Ahmad Dasuki ada berceramah tentang jalan yang biasanya syaitan masuk kedalam tubuh badan. Salah satunya ialah bila kita marah. Orang yang marah ini biasanya akan kehilangan kawalan diri sebab diri sudah dikuasai oleh syaitan. Kesan tak terkawal ini hingga boleh masuk neraka. Sebab itu kita digalakkan membaca taawuz agar hati dan nafsu agar tidak dikuasai syaitan.

Dalam program Tanyalah Ustaz berkenaan topik marah, Ustaz Norhisyam Abdullah ada memberi satu analogi tentang kesan selepas kita marah. Ada seorang lelaki ini sangat mudah marah. Suatu hari ibunya memberi cadangan kepada anak lelakinya itu iaitu dalam hari yang dia rasa marah sekali, dia kena ambil sebatang paku dan pasangkan di dinding. Pada peringkat awal memang banyak paku yang diketuk ke dinding. Lama kelamaan ia semakin berkurangan sehingga ada hari yang dia langsung tidak marah. Selepas itu ibunya menyuruhnya mencabut semua paku itu dan terlihatlah kesan di dinding itu. Itulah yang berlaku apabila kita marah. Mungkin kita boleh minta maaf kepada orang lain dan dimaafkan tapi kesannya tetap ada dalam hati.

Astaghfirullahalazim.  Saya cuba bersangka baik bahawa Allah sedang menguji saya dengan kemarahan sebab Dia nak saya sabar dan nak bagi syurga kepada saya. Penting juga untuk mengawal kemarahan agar tidak merosakkan hubungan sesama manusia. 

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...