Sunday 3 January 2021

Tips Dan Pengalaman Derma Darah..Sakit ke Tidak?

Pertama kali saya menderma darah adalah semasa di Kolej Matrikulasi Pahang lebih kurang 10 tahun yang lepas. Seingat saya memang sejak dari sekolah dulu lagi sentiasa ingin derma darah. Tak tahu kenapa. Cuma yang pasti sejak dari pertama kali derma itu, saya sentiasa tertunggu peluang menderma darah yang seterusnya. Setakat ini alhamdulillah saya dah derma sebanyak 25 kali. Haha...saya memang obses dengan derma darah.


25x alhamdulillah

Saya tahu di luar sana ramai yang nak derma darah tapi tidak layak disebabkan darah rendah, tak cukup hemoglobin dan pelbagai sebab lagi. Ada juga yang layak tapi takut jarum atau buat tak ambil tahu. Ini hak masing-masing. 

Derma darah ini banyak manfaatnya untuk kesihatan. Tapi bagi saya ini salah satu cara saya untuk bersedekah. Mudahan darah yang didermakan dapat digunakan oleh orang yang memerlukan. 

Zaman sekarang sangat mudah, banyak program derma darah diadakan di seluruh negara terutama di kawasan tumpuan seperti pusat beli belah, universiti atau pejabat besar. Saya juga pernah sendiri ke Pusat Darah Negara di KL untuk merasai bagaiman proses derma darah di sana. Tak sangka ramai juga yang datang untuk derma darah. Tempat dia juga besar dan selesa. 

Bagi yang tak pernah derma darah, saya ingin kongsikan tentang proses menderma darah dan juga beberapa tips.

1. Mengisi borang

Mula-mula kena isi borang dulu berkenaan kesihatan anda. Untuk perempuan pastikan anda bukan tengah haid atau mengandung. Ada juga beberapa soalan sensitif seperti hubungan seksual dan penyakit berjangkit. Jawab saja dengan jujur.

2. Dah isi borang kena ke kaunter seterusnya jumpa doktor untuk diambil tekanan darah. Minimum bacaan mesti sekurangnya 100/70 mm Hg. Berat badan pastikan melebihi 45 kg. Doktor juga biasanya akan tanya tidur berapa jam (pastikan tidur lebih 5 jam). Bab ini saya pernah tipu doktor padahal tidur tak cukup (jangan tiru).

3. Lepas lulus langkah 2, pergi kaunter seterusnya untuk check hemoglobin dalam darah. Bacaan minimum untuk lelaki 13.5g/dL dan perempuan 12.5g/dL. Dekat peringkat ini saya perasan ramai yang kecundang termasuk saya sendiri. Faktor pemakanan memainkan peranan penting. Apa yang saya biasa buat beberapa hari sebelum menderma, saya akan banyakkan makan sayur daun hijau seperti bayam dan daging merah atau organ dalam seperti paru. Insya Allah lepas.

4. Dah lulus semua, tiba masa untuk derma darah. Boleh pilih nak tangan kanan atau kiri. Sebelum cucuk misi akan bagi bola untuk genggam untuk melancarkan aliran darah dan senang untuk cari urat. Walaupun saya dah derma darah lebih 20x tapi perasan berdebar setiap kali kena cucuk itu tak pernah hilang! Kalau ada orang cakap cucuk jarum ke lengan tangan tak sakit, itu tipu. Sakit taw! Tapi sekejap saja. Jangan risau okay. 

5. Biasanya untuk penuhkan beg darah itu ambil masa dalam 10-15 minit dan misi akan suruh kita rehat dalam 10-15 minit lagi. Lepas itu boleh pergi ambil makanan dan balik. Saya suka sangat masa derma darah di PDN baru baru ini, mereka siap ada tempat khusus macam cafe untuk penderma makan. 

Makanan yang disediakan PDN

Dalam masa 24 jam derma darah, elakkan guna tangan yang dicucuk tadi untuk buat kerja berat dan banyakkan rehat. Jangan rajin sangat terus nak pergi main bola ke naik gunung ke. 

Orang yang biasa derma darah tahu antara syaratnya kena tunggu sekurangnya 3 bulan untuk menderma darah yang seterusnya. Kenapa kena tunggu 3 bulan?

Ini antara info secara ringkas yang saya perolehi daripada Pusat Darah Negara:

-        Antara syarat menderma darah adalah mempunyai bilangan hemoglobin yang mencukupi. Kekurangan hemoglobin sering menjadi antara sebab utama ramai yang gagal untuk menderma darah. Saya sendiri juga pernah gagal beberapa kali untuk menderma disebabkan ini. Banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada kekurangan hemoglobin, antaranya kurang zat besi. Kurang zat besi ini boleh disebabkan oleh kurang pemakanan diet yang kaya dengan zat besi, kehilangan darah (haid atau kerap menderma). Sebab itu juga perempuan yang dalam haid tidak dibenarkan menderma darah kerana dikhuatiri akan menyebabkan kehilangan zat besi yang lebih banyak seterusnya menyebabkan anemia.

-         Selepas menderma darah, seseorang akan kehilangan zat besi dalam jumlah yang agak banyak. Walaupun sel darah merah dapat digantikan dalam masa kira kira sebulan, seseorang individu memerlukan kira kira 3 bulan untuk menambah kembali zat besi dan mengekalkan simpanan yang mencukupi. Sesiapa yang pernah derma darah mesti tahu yang setiap kali kita selesai menderma darah, pasti misi akan bagi kita bekalan tablet zat besi dan folik asid untuk membantu membina balik sel darah merah dan membekalkan zat besi untuk badan kita. Tapi untuk pengetahuan semua saya tak pernah makan tablet yang disediakan setiap kali derma darah. Minta maaf misi!

Alhamdulillah, sepanjang menderma lebih 20x saya tak pernah menghadapi sebarang masalah membuatkan saya lagi bersemangat untuk menderma darah. 

Untuk maklumat lengkap dan lebih lanjut tentang derma darah, sila layari laman web rasmi Pusat Darah Negara (PDN). 



Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...