Saturday 6 February 2021

Book Review: Zero Hutang (Bukan Mudah Tapi Tidak Mustahil)

Seusai habis belajar, saya tidak mempunyai perancangan kewangan yang khusus. Maksudnya saya tidak tahu apa yang sepatutnya saya buat dengan duit saya. Nasib saya bukan seorang yang boros atau suka membeli sesuatu yang berjenama atau membeli kereta seperti kebanyakan anak muda. Maka duit gaji saya cuma di simpan di ASB/TH.

Masuk usia 25 tahun, saya mula memikir secara serius tentang perancangan kewangan. Seperti apa yang patut saya buat untuk membiakkan duit dan menjadi kaya seperti impian kebanyakan orang lain. 

Melalui hasil pembacaan dari pelbagai sumber, saya mula mencari pelbagai platform untuk simpan/tambah duit melalui pelaburan dan perniagaan. Selain simpanan biasa ASB/TH, saya kemudiannya membuka ASBF. Saya juga membeli takaful Prudential untuk perlindungan. Dan akhir sekali saya turut membeli emas.

Saya bukanlah nak cerita pada jenis pelaburan atau perniagaan yang saya buat sebelum ini. Cuma sekadar ingin berkongsi pentingnya anak muda sekarang mempunyai perancangan akan kewangan dan hala tuju dalam kehidupan. Buku Zero Hutang karya Mohd Zulkifli Shafiee ini buku kewangan pertama yang saya beli masa umur 2015. Sebenarnya saya mula membaca blog beliau berkenaan emas dan dari situ saya tahu beliau ada menulis buku. Selepas membaca buku beliau, saya memutuskan mula melabur emas dengan beliau sebagai agent saya.

Pelbagai topik diulas dalam buku ini berdasarkan apa yang beliau belajar dan lalui sendiri. Isinya ringkas tapi mudah difahami, sangat sesuai untuk golongan muda yang baru nak berjinak dengan pengurusan kewangan. Saya ringkaskan beberapa nasihat yang saya suka baca dan praktiskan:

1.     Simpanan perlu dipaksa. Ramai orang sering beli alasan tidak boleh menyimpan sebab gaji tidak cukup. Biasanya mereka akan membelanjakan dulu duit dan baru simpan selebihnya (kalau ada). Ini cara yang salah. Kita perlu simpan dulu walau RM10 kemudian baru dibelanjakan.

2.     Dana kecemasan sekurang-kurang 3 bulan gaji. Hakikatnya ramai buat tidak endah tentang pentingnya simpanan kecemasan. Buktinya di musim covid sekarang, berapa ramai yang jatuh terduduk terus selepas hilang perkerjaan disebabkan langsung tiada simpanan.

3.     Bila dah ada dana kecemasan sekurangnya 3 bulan, baru boleh mula melabur. Seperti yang saya beritahu sebelum ini, Tuan Zulkifli adalah dealer emas dan saya mula belajar tentang emas daripada beliau (walaupun beliau tidak kenal saya). Jadi antara pelaburan yang dicadangkan oleh beliau ialah emas. Saya sendiri sebagai pembeli emas boleh lihat kenaikan harga emas. Masa saya mula membeli tahun 2015, harga emas 1 gram lebih kurang RM 150-160. Sekarang tahun 2021, harga 1 gram sekitar RM 265-275. Kenaikan 70-80%!

4.     Hidup di bawah kemampuan. Saya suka point ini. Orang kaya yang benar-benar kaya ramai yang hidup secara low profile seperti pakai kereta murah, duduk rumah flat, pakai baju murah dan sebagainya. Namun harta berjuta. Tapi golongan yang baru nak kaya atau belum pun kaya lagi itulah yang banyak hidup di luar kemampuan. Gaji bulanan ribuan ringgit tapi hutang juga sama banyak. Lagi sedih langsung tiada simpanan walaupun nampak mewah secara luaran.

5.     Selain pelaburan, carilah peluang bisnes tapi jangan mulakan bisnes dengan hutang. Buatlah bisnes apa pun yang halal, asalkan berbisnes. Mulakan saja walaupun untung kecil. Suatu hari nanti anda akan jumpa bisnes yang paling serasi dengan anda. Orang yang tidak pernah buat silap ialah orang yang tidak pernah berbuat apa-apa. Bahkan tidak berbuat apa-apa itu sendiri adalah satu kesilapan. Orang paling berjaya ialah orang paling banyak buat kesilapan, tetapi mereka belajar dari setiap kesilapan.

6.     Keseronokan bisnes bukan sekadar pada duit yang kita dapat tetapi pada manfaat yang kita berikan melalui bisnes.

7.     Bersedekah. Tidak perlu tunggu kaya untuk bersedekah. Mungkin agak sukar untuk yang tidak biasa sebab kita akan fikir duit sendiri pun tak cukup, lagi pula nak sedekah. Paksakan diri untuk bersedekah walau seringgit. Lama-lama ia akan jadi tabiat dan kita akan sedar sebenarnya dengan sedekah itu tidak pernah menjadikan kita miskin.

Ini antara beberapa ringkasan tentang buku Zero Hutang. Sebenarnya banyak lagi buku tentang kewangan di luar sana. Ramai juga public figure yang popular di FB sering berkongsikan tentang pengurusan kewangan seperti saudara Harith Faisal, Azizi Ali, Dr Azizan Usman (sekadar memberi beberapa nama). Bagi saya tidak mengapa hidup secara biasa, tapi andai mampu berusaha untuk menjadi kaya itu lagi bagus. Jika tidak kaya juga tidak mengapa asalkan tidak terperangkap dengan hutang yang memakan diri sendiri.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

 

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...