Friday 12 February 2021

Memberi Tanpa Mengharap Balasan

Dalam pekerjaan seharian saya yang melibatkan pelanggan, saya sangat suka bila dapat ucapan terima kasih atau penghargaan daripada pelanggan. Namun ada masanya, saya rasa sudah bagi servis yang baik kepada pelanggan. Tapi mereka tidak mengucapkan terima kasih atau menghargainya. Saya rasa kecewa sebab mereka tidak menghargai kebaikan/servis yang saya rasa sudah bagi sebaik mungkin.

Lalu saya terfikir, kenapa harus kecewa? Bukan salah mereka. Tanggungjawab saya adalah untuk bagi servis yang terbaik kepada pelanggan saya dan hak mereka adalah untuk mendapat servis yang baik. Sama ada mereka membalas balik atau tidak, itu tidak wajib bagi mereka. Lalu saya sedar bahawa masalah saya adalah tidak ikhlas. Saya cuba berbuat baik kepada mereka kerana mengharapkan balasan.

Saya fikir ini juga antara penyebab utama kenapa kita tidak bahagia dengan diri. Sebab kita sering mengharapkan orang lain untuk berbuat baik kepada kita. Contoh seorang isteri menuntut hak daripada suami, seorang rakyat menuntut hak daripada pemimpin, seorang anak menuntut hak daripada ibu bapa. Tapi pernahkah kita terfikir adalah kita sendiri sudah menunaikan hak kita kepada orang lain?

Itulah realiti sekarang.

Sifat manusia, sering mengharapkan balasan daripada manusia.

Sifat manusia, sering mengungkit dan menuntut hak kita daripada orang lain. Tanpa memikirkan sudahkah kita menunaikan hak pada orang lain.

Sifat manusia, suka menerima daripada memberi. Sudah memberi, mengharapkan balasan pula.

Sifat manusia, mudah nampak ketidaksempurnaan orang lain. Tanpa memikirkan diri juga tidak sempurna.

Dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki, ada diceritakan satu kisah. Sedekah yang paling ikhlas ialah kepada binatang. Kerana mereka tidak reti untuk membalas balik dan mengucapkan terima kasih.

Buatlah baik sehabis mungkin kepada orang lain dan tunaikanlah hak orang sekeliling kita tanpa mengharapkan balasan balik. Manusia mungkin tidak reti membalas balik tapi tidak Allah. Apabila kita berbuat baik pada Allah, pasti ada balasannya. Jika bukan di dunia, di akhirat. Biarlah Allah yang membalas kebaikan kita dan menunaikan hak orang pada kita. 


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

 

No comments:

Post a Comment

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...