Friday 15 January 2021

Book Review: Pendiam

Istilah pendiam dan saya sering dikaitkan bersama. Sering kali saya mendengarnya. Sebenarnya ini suatu isu yang sensitif bagi saya. Kenapa? Sebab orang memandang sifat pendiam sebagai suatu sifat yang negatif. 

Sejak kecil bermula dengan guru, kawan, sehingga majikan sering menegur saya seolah sifat pendiam itu suatu kesalahan. Sehinggakan zaman remaja saya membesar dengan cuba mengubah diri saya menjadi ‘normal’ seperti yang dipandang masyarakat. Saya fikir saya yang bermasalah sebab tidak banyak bercakap seperti orang lain. Saya tidak ramai kawan, sentiasa rasa tersisih disebabkan tidak ‘normal’ seperti orang lain. Menyebabkan saya membesar sebagai seorang yang kurang keyakinan diri.

Itu kisah dulu. Bila mula melangkah alam perkerjaan, saya mula mengikut rentak sendiri. Saya tahu apa yang saya nak dan saya tidak kisah lagi akan pandangan masyarakat. Cuma saya agak terkilan kerana masyarakat kita memang memandang orang yang pendiam ini pelik atau tidak normal. Bagi mereka kami sepatutnya lebih banyak bercakap dan bergaul dengan semua orang. Ini yang dipandang normal. Lalu orang pendiam atau introvert inilah yang menjadi mangsa keadaan.

Buku ini ditulis oleh seorang introvert Aqila Masri dan ahli psikologi Aiman Amri. Buku ini memberi penenerangan tentang definisi introvert/ekstrovert. Ada pelbagai pecahan di bawah sifat introvert. Juga ujian yang boleh dilakukan untuk mengenali personaliti diri iaitu Neo Five Factor Inventory (NEO FFI) dan OCEAN.

Saya galakkan introvert membaca buku ini kerana ia memberi idea akan sifat kita. Seperti yang saya sebut tadi, disebabkan stigma masyarakat, kita fikir kita tidak normal dan menjadi keliru dengan identiti, sehingga ada yang kehilangan keyakinan diri. 

Hakikatnya ia bukanlah satu kelemahan atau tidak normal tetapi salah satu cabang personaliti manusia. Setiap orang dicipta dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pertama kali saya membaca buku ini, perkara pertama terlintas di hati adalah ‘saya normal rupanya’ dan ;ada juga orang lain macam saya’. Ya, kami normal dan ada dalam kalangan masyarakat walaupun minoriti.

Jadi kita patut menyayangi dan menerima diri kita seadanya serta maksimumkan kelebihan kita. Cuma berdasarkan pengalaman peribadi sendiri, saya bersetuju ada masa kami perlu berubah mengikut keadaan. Maksudnya kita kena pandai bawa diri. Contohnya kita masih perlu bersosial dan bergaul dengan saudara, rakan sekerja/belajar atau jiran. Cuma kita ada hadnya. 

Contoh saya sendiri, saya boleh bersosial dengan orang tapi dalam kumpulan yang kecil dan yang kenal sahaja. Kalau dalam kelompok yang besar dan tidak dikenali, saya rasa tidak selesa. Sama juga dalam bidang perkerjaan. Saya ubah diri jadi professional, buat yang terbaik dalam pekerjaan. Balik rumah saya kembali menjadi diri saya yang pendiam dan banyak bersendirian.

Saya juga lebih menggalakkan ekstrovert membaca buku ini supaya dapat mengenali karakter introvert ini. Seterusnya tidak lagi memandang rendah atau negatif akan golongan seperti kami ini.


 
Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 


Book Review: It Takes A School


Membaca buku ini membuatkan saya sangat kagum dengan penulisnya, Jonathan Starr. Kerana ideanya dan kemampuannya merealisasikan idea yang bagi saya sangat hebat. Jadi saya termotivasi untuk berkongsi tentang buku ini kepada orang lain.

Buku ini berkisarkan pengalamannya dari awal hingga akhir membina sebuah sekolah di negara Somaliland, sehingga beberapa pelajar dari sekolah tersebut mampu melanjutkan pelajaran ke beberapa kolej terkemuka di US.

Mungkin ada yang pertama kali dengar Somaliland dan mesti anda fikir ia adalah negara Somalia. Sebenarnya tidak. Somaliland terletak di utara Somalia. Dari segi geografi dan peta dunia ia dianggap sebahagian dari Somalia. Namun Somaliland diterajui oleh politik yang berbeza dan rakyat mereka juga menganggap mereka sebagai negara yang bebas tapi tidak diiktiraf. Its quite complicated. Seperti negara Afrika yang lain, Somaliland juga tidak terlepas daripada isu kemiskinan, kelaparan dan kekurangan akses kepada pendidikan.


Jonathan mula mengenali Somaliland melalui pakciknya Billy (Billy ialah abang ipar kepada Alan, ayah Jonathan). Beliau sendiri merupakan pengurus kewangan di US dan mempunyai kehidupan yang boleh dikatakan senang. Mendengar cerita tentang Somaliland dan visinya berkenaan isu pendidikan daripada Billy, Jonathan memutuskan untuk meninggalkan kehidupannya di US dan  membuka sekolah di suatu tempat yang bernama Abaarso.

Buku ini agak panjang. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Jonathan dalam proses pembukaan Abaarso School. Saya kagum dengan usahanya mengeluarkan duit sendiri, membina kerangka tentang sekolah yang akan didirikan beserta silibus yang akan diajar untuk memastikan kelulusan para pelajar melayakkan mereka masuk university di luar negara. He begins from scratch. Mengumpul dana sendiri, pergi ke negara asing, membuat hubungan dengan orang tempatan, mencari tapak sekolah,  dan membinanya. Of course, it’s not one-man work. Dari awal beliau sendiri mencari dan mengumpulkan beberapa orang guru yang yang mempunyai kepakaran dalam setiap bidang seperti sains dan matematik. Beliau juga terpaksa menghadapi pergolakan politik dan masalah air di sana.

Dalam buku ini juga disebut kisah beberapa orang pelajar yang berjaya. Membaca kisah pelajar ini yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti betul-betul membuatkan saya kagum. Seperti yang kita maklum, rakyat di sana sangat miskin kurang akses kepada pendidikan. Tapi pelajar-pelajar ini mempunyai semangat dan azam yang sangat kuat untuk belajar.

Ada seorang pelajar, Mubarik namanya. Mubarik ini masih lagi hidup seperti orang nomad. Membantu keluarga mengembala dan menjaga binatang ternakan. Hidup di kawasan yang sangat terpencil sehinggakan pertama kali melihat kereta, dia tidak tahu  itu kereta.  Daripada seorang yang tak kenal kereta, dia belajar di Abaarso, dan sekarang belajar di MIT. MIT adalah kolej kejuruteraan yang terkemuka di US.

Sungguh saya kagum dengan para pelajar ini yang begitu bersungguh belajar untuk mengubah nasib hidup mereka. Juga dengan penulis yang berjaya merealisasikan ideanya. Maklumat terbaru mengenai sekolah ini yang kini dikenali sebagai Abaarso of Science and Technology boleh didapati melalui website rasmi abaarsoschool.org.  

Saya fikir andai perkara ini boleh dilakukan jauh nun di tempat terpencil di Afrika yang sentiasa bergolak dengan isu politik, air, kebuluran. Apatah lagi kalau kita di negara yang boleh dikatakan stabil dan serba cukup. Bayangkan kalau ada sekolah sama yang didirikan dan pelajarnya adalah orang asli yang pada awalnya buta huruf dan jauh daripada teknologi. Kemudian mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka sama ada dalam atau luar negara. Pasti hebat kan?

 

If such as a success can happen in an unrecognized breakaway region of Somalia, why can’t it happen everywhere?’’ – Jonathan Starr.

To be without knowledge is to be without light. – Somali proverb

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Backpack ke Jepun Secara Solo Dengan Bajet Murah (bahagian 1)


Passport yang digunakan buat kali terakhir ke Jepun

Memandangkan ini pengalaman melancong yang terakhir sebelum sempadan negara ditutup, saya rasa ingin berkongsi pengalaman ke Jepun secara solo pada October 2019. Apatah lagi Jepun merupakan antara negara kegemaran saya setakat ini. Entah bila sempadan negara akan dibuka balik. Andai dibuka balik, mungkin pada masa itu hanya golongan kayangan sahaja yang mampu terbang di langit. Wallahualam.

Ini bukanlah pertama kali saya melancong seorang diri. Namun ini merupakan pertama kali kunjungan ke Jepun atau lagi tepat ke wilayah Kansai di Osaka, Nara, Kyoto, Kobe dan Himeji. Memandangkan ini kunjungan pertama ke sana dan secara solo pula, banyak masa yang dihabiskan untuk membuat persiapan dari segi jadual perjalanan dan pengangkutan kereta api di sana. 

Juga senarai tempat penginapan yang murah dan strategik, tempat makan yang halal serta tempat yang boleh saya tunaikan solat sambil berjalan sepanjang hari. Saya amat berterima kasih kepada kumpulan Rakan Travel Jepun (RTJ) di FB yang banyak menjadi sumber rujukan saya. Juga beberapa senpai yang saya secara peribadi bertanyakan soalan tentang jadual perjalanan saya di sana.

Antara pengalaman yang tak boleh dilupakan adalah di sekitar tarikh saya melancong ke sana, terdapat Taufan Hagibis yang dijangka antara yang terbesar dalam sejarah Jepun dan akan terkena kawasan yang saya ziarahi. Seingat saya ramalan tentang pergerakan dan kekuatan taufan itu bermula sekitar 2 minggu sebelum tarikh penerbangan saya. Ia membuatkan saya risau dan berfikir patutkah saya membatalkan percutian kali ini. Saban hari saya mengikuti perkembangan taufan ini dengan dekat dalam RTJ. 

Saya kira saya bernasib baik sebab Taufan Hagibis yang di jangka melanda Osaka mula mengubah haluan beberapa hari sebelum saya ke sana dan menuju ke kawasan Tokyo menjadikan Tokyo antara kawasan yang terjejas teruk disebabkan Taufan Hagibis. Namun tempiasnya tetap ada yang mana penerbangan saya ditunda beberapa jam. Pertama kali saya membuat tuntutan insuran perjalanan disebabkan penangguhan penerbangan. Dapatlah merasa RM 150 hasil pampasan. Jadi jangan lupa ya beli insuran perjalanan semasa melancong.

Dalam masa sama buat pertama kalinya saya menggunakan aplikasi couchsurfing. Host pertama adalah seorang wanita bujang yang berasal dari Indonesia dan berkerja di sana. Host kedua adalah wanita tempatan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Merasa juga tinggal bersama orang tempatan. Tapi sayang sebab jadual saya yang padat sepanjang hari, jadi tak banyak yang kami borakkan.

Pandangan peribadi terhadap orang Jepun, dengan sekadar berkunjung beberapa hari sukar untuk saya nilai sama ada mereka baik atau suka membantu seperti yang diwar-warkan. Cuma saya perasan mereka jenis yang tak peduli dengan orang asing di sekeliling mereka. Sebab berdasarkan pengalaman peribadi berkunjung ke beberapa negara lain, biasanya orang asing sentiasa jadi perhatian.  Ada yang rajin menegur seperti di negara jiran Indonesia. Tapi tidak di Jepun. Saya bebas berjalan sendiri di bandar, kampung, kawasan hutan/pergunungan, taman tanpa rasa risau, pelik atau rasa diperhatikan. For me they just don’t care about you. Tapi mereka memang sangat sopan dan beretika sama ada ketika bekerja, melintas jalan, semasa dalam kereta api dan sebagainya. Mungkin ini semua adalah budaya atau nilai yang sudah diterapkan dalam diri mereka ketika masih kecil.

Tiada masalah untuk mencari makanan halal. Banyak restoren yang memang mempunyai sijil halal terutama kedai yang menyediakan menu ramen. Saya perasan ramai pekerja di restoren halal ini ialah orang Indonesia. Sama seperti di Malaysia. Makanan yang saya paling nak cuba di Jepun adalah kari Jepun. Sejak dari zaman belajar saya banyak tengok drama Jepun dan mesti akan ada babak mereka makan kari Jepun. Ia sering membuatkan saya tertanya bagaimana rasa kari tersebut. Akhirnya saya brpeluang merasainya di kedai makan Club Ruu berhampiran Kiyomizudera temple. Sumpah tak menyesal cuba, sedap sangat. 

Datang ke Jepun juga tak sah kalau tidak masuk ke convenience store mereka seperti 7 eleven, family mart, Lawson. Memang rambang mata tengok pelbagai jenis makanan dan snek. Saya cuma sempat merasa sandwich, air coklat, pudding himeji. Tak lupa juga saya membeli nasi putih yang sudah masak untuk dimakan bersama sambal ikan bilis yang saya bawa dari Malaysia.

Tempat solat juga tiada masalah. Kebanyakan stesen keretapi besar dan kompleks beli belah ada menyediakan surau. Di restoren halal juga sama. Saya sempat juga berkunjung ke Masjid tertua di Jepun iaitu Masjid Kobe dan berpeluang solat asar di sana. Tandas dekat Jepun memang tip top. Sangat bersih dan kering.

Dalam bahagian seterusnya saya akan ceritakan lebih lanjut tentang tempat menarik yang saya kunjungi di sana.

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Surah An-Nas Dan Al-Falaq: Sejauh Mana Kebergantungan Kita Pada Allah?

Dalam perjumpaan QC yang lepas, kami mentafsir surah An-Nas dan Al-Falaq. Surah ini selalu sangat dibaca dalam solat dan kehidupan harian seperti sebelum tidur atau selepas solat. Itulah yang diajarkan sejak kecil. Baca 3 Qul untuk tujuan perlindungan. Walaupun hakikatnya diri tidak memahami kenapa kena baca surah tersebut. Kenapa bukan surah lain?.  


Melalui QC baru-baru ini, sedikit sebanyak saya mula mengerti kenapa.

Kedua surah dimulakan dengan Aku berlindung daripada Tuhan. Tuhan sekalian manusia yang mencipta kita, yang berhak di sembah. Definisi Rabb ini kalau dihuraikan memang panjang dan teknikal. Saya tak nak tulis lebih lanjut sebab kurang mahir bab ini. Cuma dalam bahasa mudah yang saya faham, dengan membaca kedua surah ini, kita memohon perlindungan daripada Allah. Daripada apa?

Surah An-Nas kita meminta perlindungan daripada syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan dan menyuruh kita berbuat jahat. Surah Al Falaq pula kita meminta perlindungan daripada manusia seperti orang jahat, ahli sihir dan waktu malam. Waktu malam sering dikaitkan dengan kejahatan kerana pada waktu itu biasa seperti yang kita sering dengar atau lihat sering berlaku kejahatan. Contoh, rompak, rogol dan sebagainya. Cuma disebabkan masyarakat kita yang kian rosak saban hari, banyak kejahatan juga berlaku di siang hari pada zaman sekarang. Waktu malam juga biasanya perbuatan sihir dilakukan oleh orang-orang yang dengki.

Kalau kita fahami betul betul surah ini, kita meminta perlindungan daripada Pencipta kita. Terhadap makhluk (syaitan, penjahat, ahli sihir) yang Pencipta kita cipta. Maksudnya pencipta kita (tuhan) itu jauh lebih berkuasa daripada apa yang dicipta itu.

Makhluk ciptaan allah ini juga lemah seperti diri kita sendiri. Andai mereka mampu memudaratkan kita, itu semua terjadi dengan izin Allah. Bukan sebab mereka berkuasa. Bahkan mereka juga takut pada Allah. Sebab itu kita perlu ada keyakinan yang kuat untuk percaya Allah dan meminta perlindungan hanya daripada Allah. Insya allah, kita akan dilindungi daripada segala kejahatan.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Untuk Apa Manusia Dicipta?

Kali ini saya ingin berkongsi ilmu yang saya perolehi daripada salah satu perjumpaan QC baru baru ini. Kami membincangkn topik untuk apa kita diciptakan. Secara ringkas ada dua sebab utama.

Yang pertama, rujuk surah Ad Zhariyat surah 51 ayat 56:

‘Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku’.

Maksudnya kita diciptakan untuk beribadah. Ramai yang beranggapan kalau beribadah mesti akan fikir pasal solat, puasa, baca Al Quran dan sebagainya. Sedangkan pengertian ibadah itu luas. Pekerjaan seharian yang kita lakukan seperti bekerja, beriadah atau makan dan minum juga boleh dikira beribadah.

Disini saya ingin merujuk kepada buku tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam buku Pesan hati untuk Hati yang menghuraikan solat ibadah dengan terperinci.

Mengikut Ustaz, kita wajib beribadah 24 jam sehari. Ini ialah tugas sepenuh masa yang mesti dilaksanakan sepanjang hayat. Beribadah itu pula boleh dibahagikan kepada 3 bahagian.

1.       Ibaadah Asas (fardhu ain)

Ibadah asas ini termasuk rukun islam dan rukun iman. Solat dan puasa antara ibadah yang kita sedia maklum. Ibadah ini banyak melibatkan hubungan dengan Allah (hablumminallah)

2.       Ibadah sunat

Antaranya zikir, baca Al Quran dan banyak lagi. 2 fungsi utama ibadah sunat ialah untuk menampung sebarang kekurangan dalam ibadah asas dan mendapatkan kasih sayang Allah.

3.       Ibadah umum

Ia adalah seluruh tindakan dan aktiviti selain daripada ibadah asas dan sunat. Seperti pekerjaan, peranan sebagai ibu bapa dan anak, hiburan, riadah dan sebagainya. Ibadah ini melibatkan manusia (hablumminannas). Ianya melibatkan 60-85% masa, tenaga dan sumber hidup kita. Persoalannya sekarang bagaimana harus kita pastikan sebahagian besar masa, tenaga dan sumber kita dalam ibadah umum ini dikira ibadah yang sebenarnya? Ada syarat-syarat yang kita kena penuhi untuk pastikan kegiatan atau aktiviti tersebut adalah ibadah.

Disini ustaz membahagikan syarat tersebut kepada 3 bahagian:

1.       Sebelum

  •         Niat melakukan yang baik
  •           Pastikan aktiviti yang dilakukan itu sah di sisi syariat

2.       Semasa

  •           Pelaksanaannya betul
  •           Dilakukan secara itqan (optimum) atau sehabis baik
  •           Tidak meninggalkan ibadah yang asas

3.       Selepas

  •           Natijah yang baik

Ini adalah ringkasan yang saya boleh buat berdasarkan buku tersebut. Jadi untuk memastikan yang hidup kita tidak sia sia, marilah kita berusaha untuk menjadikan ibadah umum itu ibadah yang betul betul dipandang dan mendapat pahala dari Allah swt.

Berbalik kepada sebab kedua kita diciptakan adalah dengan merujuk Surah Al Baqarah surah kedua ayat 30:

‘Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, ‘ Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’. Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata),: Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?’. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang tidak kamu mengetahuinya.’

Khalifah dari segi Bahasa adalah berasal dari kata khalafa yang bermaksud pengganti atau wakil. Menurut Tuan Guru Abdul Hadi Awang, negara Islam adalah berdiri kerana hendak mencapai tujuan manusia sebagai khalifah, selain matlamat ibadah. Dua fungsi utama manusia sebagai khalifah ialah untuk menjaga agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama.

1.       Menjaga agama. Iaitu dengan menegakkan Islam dan segala isi hukumnya ke atas manusia dan menyampaikan dakwah Islam kepada manusia. Sebagai khalifah, orang beriman mesti membuktikan kebaikan Islam dan menunjukkan kesesatan cara hidup yang lain. Khalifah mempunyai dua mekanisme dalam menegakkan agama iaitu melalui jihad dan dakwah.

2.       Melaksanakan perintah perintah agama dalam semua urusan dunia, yakni mentadbir dunia dengan menggunakan agama. Ia adalah meliputi tanggungjawab untuk menegakkan keadilan dalam kalangan manusia, membentuk pandangan yang mulia dan kebebasan pendapat yang bermaruah, menghormati taraf kemanusiaan, serta menegakkan keamanan dan kestabilan. Dalam mencapai kestabilan ini, negara Islam berkewajipan untuk menjaga kemaslahatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Adakah tanggungjawab khalifah ini tercapai matlamatnya?

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Sunday 3 January 2021

Tips Dan Pengalaman Derma Darah..Sakit ke Tidak?

Pertama kali saya menderma darah adalah semasa di Kolej Matrikulasi Pahang lebih kurang 10 tahun yang lepas. Seingat saya memang sejak dari sekolah dulu lagi sentiasa ingin derma darah. Tak tahu kenapa. Cuma yang pasti sejak dari pertama kali derma itu, saya sentiasa tertunggu peluang menderma darah yang seterusnya. Setakat ini alhamdulillah saya dah derma sebanyak 25 kali. Haha...saya memang obses dengan derma darah.


25x alhamdulillah

Saya tahu di luar sana ramai yang nak derma darah tapi tidak layak disebabkan darah rendah, tak cukup hemoglobin dan pelbagai sebab lagi. Ada juga yang layak tapi takut jarum atau buat tak ambil tahu. Ini hak masing-masing. 

Derma darah ini banyak manfaatnya untuk kesihatan. Tapi bagi saya ini salah satu cara saya untuk bersedekah. Mudahan darah yang didermakan dapat digunakan oleh orang yang memerlukan. 

Zaman sekarang sangat mudah, banyak program derma darah diadakan di seluruh negara terutama di kawasan tumpuan seperti pusat beli belah, universiti atau pejabat besar. Saya juga pernah sendiri ke Pusat Darah Negara di KL untuk merasai bagaiman proses derma darah di sana. Tak sangka ramai juga yang datang untuk derma darah. Tempat dia juga besar dan selesa. 

Bagi yang tak pernah derma darah, saya ingin kongsikan tentang proses menderma darah dan juga beberapa tips.

1. Mengisi borang

Mula-mula kena isi borang dulu berkenaan kesihatan anda. Untuk perempuan pastikan anda bukan tengah haid atau mengandung. Ada juga beberapa soalan sensitif seperti hubungan seksual dan penyakit berjangkit. Jawab saja dengan jujur.

2. Dah isi borang kena ke kaunter seterusnya jumpa doktor untuk diambil tekanan darah. Minimum bacaan mesti sekurangnya 100/70 mm Hg. Berat badan pastikan melebihi 45 kg. Doktor juga biasanya akan tanya tidur berapa jam (pastikan tidur lebih 5 jam). Bab ini saya pernah tipu doktor padahal tidur tak cukup (jangan tiru).

3. Lepas lulus langkah 2, pergi kaunter seterusnya untuk check hemoglobin dalam darah. Bacaan minimum untuk lelaki 13.5g/dL dan perempuan 12.5g/dL. Dekat peringkat ini saya perasan ramai yang kecundang termasuk saya sendiri. Faktor pemakanan memainkan peranan penting. Apa yang saya biasa buat beberapa hari sebelum menderma, saya akan banyakkan makan sayur daun hijau seperti bayam dan daging merah atau organ dalam seperti paru. Insya Allah lepas.

4. Dah lulus semua, tiba masa untuk derma darah. Boleh pilih nak tangan kanan atau kiri. Sebelum cucuk misi akan bagi bola untuk genggam untuk melancarkan aliran darah dan senang untuk cari urat. Walaupun saya dah derma darah lebih 20x tapi perasan berdebar setiap kali kena cucuk itu tak pernah hilang! Kalau ada orang cakap cucuk jarum ke lengan tangan tak sakit, itu tipu. Sakit taw! Tapi sekejap saja. Jangan risau okay. 

5. Biasanya untuk penuhkan beg darah itu ambil masa dalam 10-15 minit dan misi akan suruh kita rehat dalam 10-15 minit lagi. Lepas itu boleh pergi ambil makanan dan balik. Saya suka sangat masa derma darah di PDN baru baru ini, mereka siap ada tempat khusus macam cafe untuk penderma makan. 

Makanan yang disediakan PDN

Dalam masa 24 jam derma darah, elakkan guna tangan yang dicucuk tadi untuk buat kerja berat dan banyakkan rehat. Jangan rajin sangat terus nak pergi main bola ke naik gunung ke. 

Orang yang biasa derma darah tahu antara syaratnya kena tunggu sekurangnya 3 bulan untuk menderma darah yang seterusnya. Kenapa kena tunggu 3 bulan?

Ini antara info secara ringkas yang saya perolehi daripada Pusat Darah Negara:

-        Antara syarat menderma darah adalah mempunyai bilangan hemoglobin yang mencukupi. Kekurangan hemoglobin sering menjadi antara sebab utama ramai yang gagal untuk menderma darah. Saya sendiri juga pernah gagal beberapa kali untuk menderma disebabkan ini. Banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada kekurangan hemoglobin, antaranya kurang zat besi. Kurang zat besi ini boleh disebabkan oleh kurang pemakanan diet yang kaya dengan zat besi, kehilangan darah (haid atau kerap menderma). Sebab itu juga perempuan yang dalam haid tidak dibenarkan menderma darah kerana dikhuatiri akan menyebabkan kehilangan zat besi yang lebih banyak seterusnya menyebabkan anemia.

-         Selepas menderma darah, seseorang akan kehilangan zat besi dalam jumlah yang agak banyak. Walaupun sel darah merah dapat digantikan dalam masa kira kira sebulan, seseorang individu memerlukan kira kira 3 bulan untuk menambah kembali zat besi dan mengekalkan simpanan yang mencukupi. Sesiapa yang pernah derma darah mesti tahu yang setiap kali kita selesai menderma darah, pasti misi akan bagi kita bekalan tablet zat besi dan folik asid untuk membantu membina balik sel darah merah dan membekalkan zat besi untuk badan kita. Tapi untuk pengetahuan semua saya tak pernah makan tablet yang disediakan setiap kali derma darah. Minta maaf misi!

Alhamdulillah, sepanjang menderma lebih 20x saya tak pernah menghadapi sebarang masalah membuatkan saya lagi bersemangat untuk menderma darah. 

Untuk maklumat lengkap dan lebih lanjut tentang derma darah, sila layari laman web rasmi Pusat Darah Negara (PDN). 



Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Usrah: Quranic Circle

Ini adalah nama untuk satu kumpulan kecil yang saya sertai baru baru ini yang mana tujuan dia adalah untuk membincangkan tentang pelbagai topik keagamaan terutama kandungan al Quran. Saya terjumpa kumpulan ini secara tidak sengaja dalam FB. Saya suka membaca posting daripada seorang Muslimah bernama Nabilah Hassan (boleh rujuk FB). Beliau banyak berkongsi ilmu tentang islam, dakwah, buku agama dan sebagainya. Dalam salah satu posting beliau ada berkongsi tentang QC ini yang terbuka untuk sesiapa saja.

Kebetulan saya memang sedang mencari satu kumpulan seperti ini dengan tujuan untuk menambahkan kefahaman ilmu agama. Tanpa buang masa saya terus sertai dan diminta untuk masuk dalam QC di KL memandangkan mereka akan membahagikan QC mengikut kawasan tertentu.

Dalam setiap QC akan diketuai oleh seorang kakak atau ketua yang akan mengetuai perbincangan kami. Memandangkan sekarang musim covid 19, maka perjumpaan mingguan diadakan secara zoom. Setakat ini saya dah sertai meeting secara zoom beberapa kali. Dan kami membincangkan setiap topik yang berbeza. Insyaallah saya akan cuba berkongsi tentang apa yang kami belajar dan bincangkan.

Mudah mudahan bermanfaat untuk semua. Sesiapa yang berminat untuk sertai QC boleh hubungi saudari Nabilah Hassan di FB beliau.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 


Volunteer: Memasak Bersama Dapur Jalanan Kuala Lumpur

Organisasi Dapur Jalanan KL ini berpusat di Bangsar. Setiap hari ahad para sukarelawan akan menyediakan makanan untuk diedarkan kepada gelandangan di Jalan Panggung KL. 

Setakat ini alhamdulillah saya sudah beberapa kali menyumbangkan tenaga dan masa. Mudah saja kerjanya. Dalam pukul 11 kami akan mula menyediakan makanan seperti kupas bawang dan potong sayur dan selepas itu chef akan mula memasak.  Sekitar jam 2-3 petang kami akan mula bungkus makanan tersebut dan pukul 5 bergerak ke Jalan Panggung untuk mengedarkan makanan.

Bahan-bahan masakan

Mee Kari

Antara menu yang di masak setiap minggu adalah spageti, mee hailam, mee kungfu dan banyak lagi. Saya cuma terlibat dengan bahagian memasak sahaja. Ada sekali saya turun padang juga untuk melihat proses pengagihan makanan di Jalan Panggung. Gelandangan ini terdiri daripada semua kaum dan peringkat umur, termasuk ada yang datang dengan anak kecil sekali. Dalam hati memang rasa sedih tengok mereka yang tak ada rumah sendiri dan mengharapkan bantuan seperti makanan dari NGO.

Para volunteer yang terlibat selepas selesai pembahagian makanan

Berkenaan isu gelandangan, saya tidak tahu secara jelas atau terperinci. Yang pasti setiap mereka pasti mempunyai kisah sendiri. Siapalah kita untuk menilai. Dan saya sedar kelemahan saya iaitu saya tidak mahir untuk menyantuni golongan seperti ini. Saya pernah terbaca luahan seorang sukarelawan yang juga pengasas kepada satu badan kebajikan yang mana beliau selesa turun padang sendiri disebabkan pernah membawa beberapa sukarelawan yang tidak berapa mahir atau tidak pandai menyantuni golongan yang dibantu.

Pandangan peribadi saya sendiri, saya memang bersetuju dengan luahan beliau. Betul kita perlu membantu orang lain, dan ramai ingin menjadi sukarelawan. Tapi bukan semua orang berbakat atau memiliki kemahiran untuk terlibat dengan bidang sukarelawan ini. Menyedari hakikat ini saya sedar saya bukan seorang yang pandai bersosial, maka saya cuba membantu dengan terlibat dengan aktiviti yang saya tidak perlu jumpa orang. Contohnya apa yang saya buat sekarang iaitu membantu menyediakan makanan.

Ramai tokoh yang aktif dengan aktiviti sukarelawan atau kemasyarakatan di luar sana yang kita boleh belajar. Saya amat mengagumi Ustaz Ebit Liew yang sangat aktif membantu orang lain. Beliau adalah contoh terbaik yang kita boleh belajar cara menyantuni orang lain dengan betul. Tidak pernah sesekali beliau menilai golongan yang susah. Beliau tidak sesekali personal kenapa orang itu susah, kenapa orang itu tidak dibantu keluarga, kenapa orang itu malas dan sebagainya. Apa yang beliau buat adalah cuba sedaya upaya untuk memberi bantuan sahaja.

Kesimpulannya, kita cubalah membantu orang lain mengikut kemampuan masing- masing tanpa apa-apa prasangka.

Sesiapa yang berminat dengan program seperti ini, boleh hubungi Dapur Jalanan KL melalui FB mereka.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Berbasikal di Bandar Kuala Lumpur

Saya suka berbasikal tapi bukan lah sampai tahap menjadikannya rutin tetap sehingga menghabiskan ribuan ringgit untuk beli basikal dan sebagainya. Saya pernah beberapa kali ke Taman Botani di Putrajaya untuk berbasikal dan terbaru di Tasik Titiwangsa yang menyediakan perkhidmatan sewa basikal. Sejak Covid 19 melanda, setahu saya kebanyakan taman di sekitar KL, Selangor dan Putrajaya sudah menghentikan operasi sewa basikal mereka ataupun taman tersebut juga tidak dibuka. 

Kebetulan saya terjumpa satu posting di FB tentang pakej melancong atau berjalan sekitar KL dengan berbasikal. Di bawah agensi Tanjak Adventure & Tour. 

Sedikit pengenalan tentang Tanjak Travel and Tour, agensi mereka baru sahaja ditubuhkan selepas PKP ditamatkan oleh seorang pencinta basikal Encik Rosden. Agensi itu diusahakan bersama ahli keluarga beliau yang mempunyai minat yang sama. Beliau mempunyai pengalaman yang cukup banyak dalam berbasikal sama ada di dalam dan luar negara. Konsep yang diketengahkan mereka adalah sport tourism atau pelancongan sukan. Menarik kan konsep mereka. 

Pakej dan promosi pada masa itu

Kebetulan semasa saya menyertai trip berbasikal itu, mereka sedang mengadakan pakej pengenalan dengan harga RM 40 sahaja untuk penginapan di dorm, sarapan pagi, sewa berbasikal dan juga tour guide sepanjang tempoh perjalanan itu. Sangat murah dan berbaloi! 

Jalan Ampang Guest House

Saya check in di guest house Jalan Ampang kira kira jam 5 petang. Kawasan penginapan sangat besar dan mempunyai ruang makan dan tempat bermain indoor game. Bilik dorm juga besar dan selesa. Sesuai sangat untuk tetamu yang datang secara konvoi atau dalam kumpulan besar untuk menginap. 

Female dorm


Selepas selesai urusan check in, saya dan beberapa peserta lain diberi penerangan serta cara menggunakan basikal dan undang undang berbasikal di jalan raya. Baru tahu rupanya nak berbasikal ini pun ada tekniknya. Dan berbasikal juga ada bahasa isyarat tertentu yang digunakan.

Koleksi basikal yang disediakan

Keesokan harinya, aktiviti kami dimulakan dengan sarapan pagi dan sedikit warm up dengan berbasikal di dalam kawasan Guest House. Kira kira jam 8.30 pagi kami yang sejumlah lebih kurang 20 orang termasuk krew atau dipanggil marshal bergerak ke jalan raya dalam satu barisan.

Antara laluan dan tempat persinggahan kami adalah Malaysian Tourism Centre (MaTiC), KlCC, Dataran Merdeka, Masjid Jamek, Jalan Alor, Jalan Panggung di kawasan Pasar Seni dan terakhir pintasan Saloma. Perjalanan mengambil masa kira kira 4 jam dengan jarak 11 km. Sebenarnya jarak berbasikal tidak lah jauh, cuma banyak berhenti untuk mengambil gambar. Biasalah, peserta ramai perempuan. 

Pintasan Saloma

Bangunan Sultan Abdul Samad

KLCC

Keseluruhan saya puas hati sangat dengan pakej berbasikal ini apatah lagi ini pengalaman pertama berbasikal di bandar. Berbasikal juga sudah menjadi satu trend dalam kalangan rakyat Malaysia sekarang ini. Cuma Malaysia belum sampai tahap negara maju yang mesra basikal. Para penunggang basikal dan kereta kena banyak bertoleransi satu sama lain tanpa mengabaikan hak masing-masing sebagai pengguna jalan raya. 

Saya memang recommend trip seperti ini kerana setahu saya ini pertama kali ada agensi pelancongan di Malaysia yang mempromosikan konsep sport tourism mengunakan basikal di Malaysia. Sekarang ini pun mereka memang giat dalam meneroka kawasan baru untuk dijadikan pakej melawat dengan berbasikal seperti Putrajaya, Hulu Langat, Taman Melawati dan banyak lagi tempat lain. Saya harap mereka terus berjaya dalam mempromosikan pakej pelancongan dengan berbasikal. Boleh rujuk FB Tanjak Tour and Adventure untuk tahu lebih lanjut tentang pakej yang ditawarkan.

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Saturday 2 January 2021

Backpack ke Cameron Highland secara solo (part 2)

Seperti yang dijanjikan sebelum ini, dalam entri kali ini saya akan ceritakan pengalaman tinggal di Kampung Taman Sedia, CH. Kampung ini terletak di Tanah Rata dan terdapat pelbagai jenis penginapan dan tempat makan yang menjadi tarikan utama pengunjung ke sini.

Secara tak sengaja saya terjumpa FB The Backyard Glamping. Ia baru sangat didirikan di dalam Kampung Taman Sedia. Saya tak nak melepaskan peluang untuk merasai glamping walaupun datang seorang.


Naik tangga ke lokasi glamping

Kawasannya tidak besar sangat sebab ia didirikan di belakang kawasan rumah orang persendirian. Kena naik bukit sikit untuk sampai ke sini. Terdapat 2 khemah besar untuk keluarga 4-5 orang. Dan 1 khemah kecil untuk 2 orang. Saya tempah yang kecil dengan harga Rm 80 semalam. Glamping ini lengkap dengan tandas di luar, bilik pantri untuk buat air atau masak.


Suasana dalam khemah waktu malam

Rasa tenang sekali berada di kawasan rumah ini. Penuh dengan tanaman seperti buahan dan bungaan serta ada kolam ikan. Sayang sekali masa saya pergi memang musim hujan, jadi waktu malam cuma duduk dalam khemah. Tak ada pengalaman BBQ atau stargazing.

Halaman rumah yang penuh dengan bungaan.

Mulberry
Jambu strawberry

Markisa

Salah satu misi  saya datang menginap di sini adalah sebab nak merasai pelbagai makanan yang terdapat di Kampung Taman Sedia. Taman Sedia memang menjadi tumpuan ramai untuk datang makan. Ini antara tempat makan yang saya kunjungi.

Waffle special Aidil Badri

Mi kari YZ Strawberry Farm & Cafe
Ais krim strawberry

Pizza Tiny Boutique Cafe
Pisang kaki Cameron highland


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 




Backpack ke Cameron Highland secara solo (part 1)

Sementara boleh merentas negeri, saya juga tidak ingin melepaskan peluang untuk bercuti. Rasanya lokasi pelancongan dalam negara yang banyak kali saya pergi adalah Cameron Highland. Baik dengan keluarga atau kawan atau untuk tujuan mendaki gunung semata mata. Saya sukakan kehijauan dan suasana yang sejuk, jadi CH adalah pilihan yang tepat. Apatah lagi disana terdapat pelbagai pilihan makanan yang menarik dan sedap.

Jadi pada 1-3 October 2020, saya telah ke CH sendiri secara solo. Saya naik bas sahaja di TBS jam 8.30 pagi dengan harga RM 35 sehala. Tiket bas saya beli di talian sahaja seminggu sebelum. Boleh rujuk jadual bas di easybus.com. 

Perjalanan mengambil masa kira kira 4.5 jam. Tiba di stesen bas Tanah Rata, mulanya ingat nak naik bas tempatan ke Brinchang untuk check in di Kea Garden yang saya sudah tempah melalui booking.com. Tapi sebab lama menunggu saya putuskan untuk naik teksi sahaja dengan tambang RM20.

Di Kea Garden ini mempunyai 2 jenis penginapan, iaitu guest house dan mini chalet. Saya memilih untuk duduk di mini chalet yang berkonsepkan ala reban ayam dengan harga RM 40 semalam. Sesuai untuk saya seorang. Keseluruhan kawasan Kea Garden ini memang cantik. Betul betul di sebelah Kea Farm dan beberapa tempat makan lain. Untuk mini chalet yang saya duduk ini, ada disediakan tandas dan surau di luar. 

Kea Garden

Secara keseluruhan saya berpuas hati. Cuma saya tidak akan duduk lagi di bilik seperti ini. Sebab ia agak sempit dan merimaskan saya. Masa di laman web booking ada diberi penerangan bahawa penginapan itu ada mountain view and surrounded by lush green greenery scene. But you better don’t expect much. Boleh dikatakan hampir semua bukit di kawasan CH di sudah kena tarah. Jadi sudah tidak kelihatan lagi rupa semula jadi bukit atau gunung yang tersergam indah itu.

Bilik saya

Hari pertama saya cuma banyak berjalan sekeliling kawasan terutama di Kea Farm. Kebetulan petang hujan lebat, jadi saya banyak duduk dalam chalet. Semestinya saya tidak melepaskan peluang untuk makan ubi madu goreng dan jagung rebus. Saya juga sempat membeli scones yang memang popular di CH. Kali ini saya cuba rasa scones jenama Ayah Man. Dekat sini juga ada tarikan terbaru yang dibuka iaitu Kea Sheep farm. Tapi saya memilih untuk tidak pergi sebab bila tengok dari jauh biri biri itu bukan comel dan bersih sangat pun. Haha. Lagi satu sebab ramai orang. I try to keep myself away from others as much as I can.

Scones Ayah Man

Hari kedua pagi pagi lagi saya sudah check out dan pergi ke Kampung Taman Sedia. Juga dengan menaiki teksi. Setakat ini Taman Sedia merupakan tempat kegemaran saya di CH. Jadi saya memutuskan untuk menginap di Taman Sedia pada hari kedua. Dan buat pertama kali saya merasai pengalaman glamping. Saya akan ceritakan lebih lanjut tentang glamping dan Taman Sedia dalam entry lain. 

Pemandangan Kampung Taman Sedia dari atas bukit lokasi glamping

Alang alang datang CH, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mendaki gunung di sini. Saya suka naik gunung di CH sebab tidak panas dan boleh tengok mossy forest. Saya bernasib baik sebab sebelum ke sini saya cuba mencari geng atau partner untuk mendaki sekali, dan ada seorang kakak yang sudi sertai saya mendaki sekali. Jadi kami berdua telah menempah guide CH (boleh rujuk FB ORL Ventures-Priceless Experience Adventure) untuk mendaki Gunung Jasar dan Perdah. 

Me, Kak Syuk and our guide Uteh

Seawal 7.00 pagi hari ketiga saya dah check out dari The Backyard Glamping dan dijemput kak Syuk menuju ke Tanah Rata di mana kami akan mulakan pendakian kami. Kebetulan guide kami turut membawa sekumpulan pendaki yang lain, jadi kami digabungkan sekali. Saya tak ada masalah untuk turut serta dengan orang lain. The more the merrier!!

Keseluruhan pendakian mengambil masa lebih kurang 4 jam. Lepas turun gunung saya cuma tumpang mandi di tandas awam sebab saya dah check out dari glamping pagi tadi. Seterusnya balik ke KL dengan bas jam 2.00 petang dan tiba di KL kira-kira jam 6 petang. 

Keseluruhan saya memang berpuas hati dengan trip kali ini walaupun seorang. Dapatlah lepaskan hajat hati makan makanan istimewa yang cuma ada di CH, merasai suasana sejuk dan berkabus sambil mendaki gunung di CH sebelum kembali ke city life in KL.

Saya kongsikan juga secara ringkas kos sepanjang 3 hari 2 malam di sana. 

  • Bas pergi balik KL-CH: RM 70
  • Penginapan RM 120
  • Teksi: RM 40
  • Guide Hiking: RM 150/2 pax = RM 75
  • Makanan: RM 150
  • Jumlah: RM 455

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...