Saturday 16 January 2021

Backpack Secara Solo ke Jepun Dengan Bajet Murah (bahagian 3)

Hari terakhir saya di Kyoto, awal pagi saya sudah check out tapi saya tinggalkan dulu bag galas di hostel. Destinasi seterusnya adalah Mount Hiei yang terletak di utara Kyoto berhampiran wilayah Shiga yang mengambil perjalanan kira kira sejam. Untuk naik ke Mount Hiei, saya kena transit daripada tren biasa menaiki kereta kabel. Ini pertama kali saya naik kereta kabel di sini. KTP pass yang saya guna ini memang dah cover sekali dengan kos cable car. Jimat. 

Cable car

View dari atas Mount Hiei

Saya kagum sekali dengan sistem pengangkutan di sini termasuk kereta kabel yang di bina hingga sampai ke kawasan pergunungan. Sebenarnya dekat Jepun Ini banyak sangat temple atau shrine di setiap tempat pelancongan termasuk di atas gunung. Namun itu bukan tarikan utama, saya lebih berminat melihat alam di sekeliling. Turun dari mount Hiei, saya singgah lagi di beberapa tempat seperti Lake Biwa canal, Otsu port, Nagara Park dan Keage incline. 

Lake Biwa canal

Otsu port

Keage incline

Balik ke Kyoto, saya singgah di Kyoto Islamic Culture untuk menunaikan solat zuhur dan asar.  Petangnya saya kembali ke Osaka dan kali ini saya tumpang tidur dirumah host couchsurfer yang kedua. Host saya yang kedua sudah berkahwin dan mempunyai 2 anak yang comel. 

Seperti biasa jadual saya dimulakan dengan perjalanan di awal pagi. Bila fikir balik agak sayang sebab saya kurang masa dengan host saya untuk bersembang lebih lanjut atau melakukan aktiviti lain bersama disebabkan jadual harian saya yang padat untuk melawat tempat pelancongan di sana. Maklumlah pertama kali ke sana. 

Saya kena bergerak awal pagi sebab lokasi seterusya Gunung Koyasan terletak kira kira 2 jam setengah perjalanan dari Osaka. Ini adalah antara perjalanan kereta api yang paling jauh saya naik di Jepun dan juga yang mempunyai pemandangan paling cantik. Masya Allah, sangat cantik. Tak terasa perjalanan jauh lebih 2 jam itu. Seperti di Mount Hiei, saya juga kena transit dan naik kereta kabel untuk ke Gunung Koyasan. Subhanallah, kerap kali saya terfikir bagaiman kereta kabel mampu dibina di kawasan gunung yang tinggi dan curam ini. 



View daripada kereta api...kebanyakan laluan yang dilalui adalah kawasan kampung dan berbukit.

Untuk pengetahuan Gunung Koyasan adalah tempat utama orang Jepun melakukan upacara penyembahan dan sembahyang mereka. Di sini juga ada kawasan perkuburan besar yang berusia beratus tahun. Sepert biasa, ini bukan matlamat saya. Saya cuma ingin melihat keindahan alam dan saya sememangnya teruja semasa di sini kerana di sini sudah banyak daun yang dah bertular jadi kekuningan dan kemerahan. Dapat juga merasa berada dalam suasana musim luruh.

Kawasan perkuburan

Pokok yang baru nak bertukar warna

Koyasan sangat besar dan hampir setengah hari berjalan di sana, saya kembali ke Osaka. Kali ini saya dah target nak duduk tepi tingkap lagi dan menghayati keindahan alam sepanjang perjalanan naik tren. Tapi mungkin sebab saya keletihan kerana setiap hari berjalan dalam tempoh yang lama, saya terlelap di dalam tren. 

Sampai ke Osaka pun dah agak gelap dan kali ini saya check in di Toyo Backpackers Hotel dengan harga 1890 yen semalam. Kali ini saya tinggal di bilik single yang menggunakan tilam funami. Bilik dia style Jepun klasik. Tandas di luar. 

Makanan lain yang saya teringin nak cuba di Jepun adalah okonomiyaki. Selepas mencari saya terjumpa satu restoren halal iaitu Chibo di Dotonbori street. Kedai ini memang ada satu tingkat atas khas disediakan untuk muslim. Masa sampai saya perasan kedai dia macam agak mewah. Dan harga okonomiyaki yang saya makan ialah 2200 yen lebih kurang RM 80!. Itulah makanan yang paling mahal saya makan setakat ini. Cukuplah sekali untuk merasa. Nasib baik sedap.

Okonomiyaki

Hari ini hari ketujuh dan terakhir saya di Osaka sebelum berangkat balik KL sebelah malam nanti. Tempat terakhir dalam senarai yang saya ingin kunjungi adalah Minoo Park dan Minoo waterfall yang terletak di utara Osaka. Lepas turun di Minoo stesen, saya kena berjalan kaki dan mendaki lebih kurang 3 km sepanjang sungai dan taman Minoo. It is a light hiking. Tak sampai 40 minit saya tiba di kawasan air terjun yang menjadi tarikan utama di sini. Sangat tenang menghirup udara segar di pagi hari sambil mendengar bunyi desiran air terjun.

Minoo waterfall

Laluan trek ke Minoo waterfall

Semasa berpatah balik saya singgah membeli daun maple goreng yang boleh dijumpai di sepanjang perjalanan di Minoo park. Rangup dan manis.

Crunchy and sweet fried maple leaf

Balik ke bandar Osaka, saya mempunyai masa dalam setengah hari sebelum ke lapangan terbang. Saya tak ada program tertentu, cuma untuk menghabiskan masa saya cuma berjalan jalan sekitar bandar Osaka. Sempat singgah di Tsutenkaku tower, Abeno Haruka, Naganoshima park dan Tennoji park.

Taman bunga dalam bandar


Tennoji park, dari jauh boleh nampak Tsutenkaku Tower

Saya kurang gemar dengan bandar Osaka. Padat dengan pelancong, penuh dengan bangunan dan bising. Sama macam di KL juga. Maksud saya ia adalah bandar. Cukuplah sekadar sekali datang sini untuk mengenali tempat orang.  Apabila melancong hati dan jiwa saya kurang cenderung ke tempat sebegini. Saya mula merindui suasana klasik di Kyoto, dan pemandangan alam sekitar dan suasana luar bandar di sekitar Gunung Hiei dan Koyasan.

Sebelum balik KL saya cuma membeli biskut kapal saja sebagai buah tangan untuk diberi kepada kawan-kawan dan ahli keluarga. Itu pun saya sumbat saja dalam beg galas. Nasib muat dan tak hancur. Haha. Nama pun travel bajet, saya memang tak ambil luggage tambahan dan tidak berminat untuk shopping.

Biskut Alfort, tapi orang kita panggi biskut kapal.

Apapun, alhamdulilah percutian pertama kali ke Jepun dipermudahkan dan merupakan antara memori terindah saya. Ada rezeki saya memang ingin ke Jepun lagi tapi pada musim bunga pula untuk melihat sakura.

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Backpack Ke Jepun Secara Solo Dengan Bajet Murah (bahagian 2)

Saya menaiki flight Air Asia pada jam 5.50 pm 12 October 2019. Tiket penerbangan berharga RM 692 pergi balik tanpa luggage dibeli lebih kurang 2 bulan sebelum. Penerbangan dan pelepasan immigresen di lapangan terbang antarabangsa Kansai berjalan dengan lancar. Saya tiba kira kira jam 1.30 pagi waktu tempatan. 

Untuk menjimatkan kos saya cuma lepak di lapangan terbang Kansai sementara menunggu waktu subuh dan terus memulakan perjalanan yang dirancang. Saya solat di surau yang terdapat di lapangan terbang ini. Surau ini terletak di aras 3 Terminal 1. 

Musim pada masa itu adalah permulaan musim luruh, jadi cuaca tidak terlalu sejuk atau panas. Cukup sekadar pakai jaket nipis. Dan pohon pohon pun masih lagi kehijauan dan sedikit saja yang sudah bertukar kekuningan. Belum ada rezeki untuk saya menyaksikan musim luruh yang sebenar. 

Saya cuma menggunakan Kansai Thru Pass (KTP) sepanjang saya berada disana. Saya beli di Matta Fair PWTC 3 minggu sebelum itu dekat booth HIS Travel. Saya beli 2 unit 3 day Kansai Thru Pass dengan harga RM 440 untuk kegunaan selama 6 hari. Terdapat puluhan pas yang boleh dibeli sesuai dengan perjalanan pelancong. 


Saya sangat kagum dengan pengangkutan keretapi Jepun yang mencangkau hampir ke setiap pelosok destinasi pelancongan. Saya boleh sampai ke kawasan pedalaman seperti Minoo park, Gunung Hiei dan Koyasan dengan menaiki keretapi sahaja. Setiap hari saya akan lihat jadual menggunakan Google Map. Sangat membantu perjalanan saya. Cuma kelemahannya adalah kemungkinan besar anda akan sesat apabila berada di stesen besar seperti Namba atau Osaka sebab terlalu banyak pintu masuk keluar di dalam stesen. It happens to me many times!

Hari pertama selepas subuh saya terus menaiki kereta api dari KIX ke stesen Namba. Di sini saya tinggalkan backpack di coin locker dengan harga 600 yen. Lepas itu saya terus ke Nara, tempat yang popular dengan rusa. Bagi saya tiada apa yang istimewa pun kalau setakat nak tengok dan bagi rusa makan. 

Target utama saya sebenarnya untuk naik ke Wakakusa Hill yang terletak berhampiran Nara Deer Park. Sayangnya masa saya sampai tempat itu tutup sebab masa itu kan baru lepas tempias Taufan Hagibis, jadi angin masih agak kuat dan sesekali hujan. Jadi kami tidak dibenarkan naik. Agak kecewa di situ. Saya teruskan perjalanan ke sepanjang Nara street untuk misi mencari mochi yang terkenal di sini. Saya cuba sebiji 130 yen. Memang sedap dan lembut sangat.

Rusa di Nara

Mochi yang lembut


Sempat beli persimmon di market di Nara

Selepas itu, saya kembali ke Namba stesen untuk solat Zuhur dan sambung berjalan jalan di sekitar Kuromon Ichiba Market dan Dotonbori street yang popular dengan sign Glico man. 

Saya juga sempat makan tengahari di Ramen Naritaya. Ini pertama kali saya merasai ramen Jepun. Semangkuk harga 1400 yen, lebih kurang RM 40. Nah ambik kau! Inilah antara perkara yang kita kena bersedia datang sini, pertukaran duit yang tinggi.

Ramen Naritaya

Pada waktu petang pula saya berjalan jalan sekitar Osaka Castle, saya tidak masuk ke dalam. Saya lebih suka berjalan sekitar taman di luar istana dan duduk di bangku merehatkan diri sambil menghirup udara segar. Lepas itu baru saya kembali ke Namba stesen untuk ambil backpack dan terus ke rumah host couchsurfer saya yang pertama untuk bermalam. Host saya merupakan seorang wanita bujang berasal dari Indonesia. Saya bersyukur sangat beliau sudi menerima permintaan saya untuk tinggal 2 malam di situ. Sebab bukan senang untuk cari host wanita dekat Jepun.

Pengalaman hari pertama di Jepun saya agak stress sebenarnya sebab saya tercari- cari arah keluar masuk dari stesen itu. Saya fikir stesen keretapi disana sama macam di KL. Tapi tidak. Terdapat berbelas exit dan bersambung dengan shopping mall membuatkan saya keliru mencari arah. Untuk solat juga kita perlu ke kaunter pertanyaan minta izin untuk solat. Pegawai di kaunter akan bagi kita borang untuk isi dan baru diberi kunci surau. Lepas dah solat, kena kembali ke kaunter untuk pulangkan kunci.  

Hari kedua saya bergerak ke Himeji castle yang mengambil masa hampir 2 jam dari kota Osaka. Di Himeji Castle, saya telah tempah tour guide Himeji siap siap semasa di Malaysia lagi. Percuma. Boleh tengok di laman web, kebanyakan tempat pelancongan di Jepun memang ada yang menawarkan servis khidmat pemandu pelancong secara percuma. Disebabkan saya sendirian, jadi saya fikir ada baiknya jika ada teman yang boleh bercerita dan berborak sambil saya melawat Himeji castle yang besar itu. Saya berada setengah hari di situ. Tiket masuk berharga 1040 yen termasuk ke Kokuen Garden yang terletak bersebelahan Himeji Castle. Tour guide saya banyak bercerita tentang sejarah dan seni bina istana tersebut. 

Himeji Castle dari luar

Selepas itu saya meneruskan perjalanan ke Kobe. Saya sempat singgah di Akashi Kaikyo bridge yang terletak antara Himeji dan Kobe. Ia merupakan jambatan gantung terpanjang di dunia. Di kawasan berhampiran jambatan ini juga terdapat tempat seperti taman yang kita boleh lepak. Again, I love to chill out at the park.

Akashi Kaikyo bridge

Taman berhampiran Akashi Kaikyo bridge

Semasa saya sampai di Kobe hari dah agak gelap sebenarnya, saya cuma sempat solat jamak Zuhur dan asar dan tak sempat untuk pusing sekeling Kobe. Saya perlu balik ke Osaka yang perjalanan lebih kurang sejam. Prinsip saya semasa melancong solo di luar negara ialah cuba elakkan balik lambat sebelum 8 pm. Kembali ke Osaka saya makan malam dulu di Matsuri yang terletak tak jauh dengan rumah host dan mencuba makanan popular Osaka iaitu Takoyaki. Sedap!

Masjid Kobe

Takoyaki di Matsuri restoren

Hari ketiga, saya check out dari rumah host dan bergerak menuju Kyoto yang terletak lebih kurang sejam setengah dari Osaka. Saya check in di Khaosan Kyoto Guest House. Sebab saya sampai sebelum pukul 8.00, saya tak boleh check in lagi. Tapi saya tumpang letak backpack dan guna pantry untuk sarapan pagi dengan nasi segara yang di beli di family mart sebekas 100 yen dan sambal bilis dari KL. Selepas itu saya terus ke Uji. 

Pekan Uji



Uji sebenarnya suatu kawasan yang terletak di tepi sungai. Saya banyak menghabiskan masa berjalan di sepanjang sungai dan melihat alam sekitar. Saya memang gemar akan tempat begini berbanding bandar yang sesak dengan ramai orang dan bangunan tinggi yang berdekatan serta bising. Seperti biasa di mana mana tempat pelancongan akan ada peniaga di sepanjang jalan dan saya tak cuba melepaskan peluang mencuba ais krim matcha yang berharga 350 yen. Setakat ini tak jumpa lagi la makanan yang tak sedap. Rasa dia memang sedap berbanding dengan yang kita beli di Family Mart.

Matcha Ice Cream

Selepas itu, saya ke Fushimi Inari yang popular dengan laluan oren merah yang selalu orang bergambar itu. Like people said, the place is very crowded.
Puas cari port yang tak ada orang, susah nak jumpa.

Jadi saya tak lama di sini, terus bergerak ke Arasyiama, antara tempat tercantik yang saya kunjungi  di Jepun. Saya dah rancang dari awal untuk solat di Yoshiya Restaurant. Bila sampai baru saya tahu untuk tumpang solat, kita kena beli dan makan di situ. Sebab masih kenyang dengan nasi tadi, saya cuma order ais lemon tea harga 500 yen. Sejuk sangat masa ambil wuduk sebab air itu mengalir terus dari buluh yang bersambung dengan sungai berhampiran.

Selepas itu, saya turut naik Sagano Romantic Train. Tiket harga 630 yen sehala. Tren ini mengambil masa kira-kira setengah jam melalui jalan sepanjang sungai Hozagawa.  

Tempat paling popular di sini ialah hutan buluh. Pelancong memang ramai dan sesak. For me, i dont care about taking pictures. In fact sepanjang semingu dekat sini, berapa keping saja gambar yang ada muka saya.

Gambar pinjam Google
 
Waktu itu dah petang jadi saya menghabiskan masa duduk di bangku di tepi sungai sambil merasai kesejukan petang itu. Masya Allah, I just love the scenery, the weather and the peacefulness at that time.
Lepak di tepi sungai di Arasyiama

Lepas kembali dari Arasyiama, saya solat di shopping mall Kyoto Marui di aras 5. Di Khaosan Kyoto Guest House, saya tidur di female dorm dengan harga 4000 yen untuk 2 malam. Saya sangat puas hati duduk di sini. Dorm besar, tandas bersih dan memang tidak bercampur dengan lelaki. Pantri yang besar dan selesa. Saya juga sempat laudry di sini dengan harga 300 yen cucian kering. Lokasi juga strategik dekat dengan street market dan Kamo River.

Ini adalah hari keempat dan tema hari ini ialah Kyoto On foot. Bermaksud saya tidak menggunakan apa apa pas dan pengangkutan untuk bergerak sebab KTP 3 days sebelum ini sudah tamat. Saya akan melawat tempat menarik di Kyoto dengan berjalan kaki sahaja. Lokasinya tidak jauh pun dari tempat penginapan saya. Destinasi pertama saya adalah Kiyomizudera temple. Sepanjang perjalanan saya sempat singgah di beberapa tempat seperti Yasaka shrine dan Maruyama Park.  Sebelum gerak saya sempat bersarapan dengan sambal ikan bilis yang dibawa dari Malaysia dan nasi segera yang dibeli di family mart.

Sarapan pagi

Gion di waktu pagi

Masa ini juga saya melalui kawasan Gion yang suatu masa dulu popular dengan Geisha. Pada saya masa inilah kita boleh berjalan dan merasai serta melihat sendiri jalan jalan serta bangunan lama yang masih mengekalkan tradisi Jepun itu. Kita boleh nampak wanita atau lelaki yang berpakaian kimono. Ninnenzaka dan Sannenzaka street antara jalan popular yang kaya dengan suasana yang sangat klasik. Melalui jalan jalan ini menuju ke Kiyomizudera membuatkan saya rasa seolah kembali ke zaman Jepun dahulu kala. 

Gadis berkimono

Ninenzaka street

Pemandangan dari atas Kiyomizudera Temple, masuk 400 yen.

Di sini juga terdapat restoren iaitu Curry Ruu yang dicadangkan ramai untuk merasai kari ayam Jepun. Saya masih teringat kerangupan ayam dan kesedapan kari bersama nasi putihnya yang itu.

Chicken curry 980 yen...so yummy.
rice dumpling + green tea = 600 yen

Selepas puas berjalan dalam Kiyomizudera temple, saya patah balik ke tempat penginapan dan lokasi seterusnya adalah Teramachi street dan Shinkyogoku street. Ini kawasan beli belah seolah olah seperti Petaling Street atau Jalan Tar. 


Kyoto Guest House yang saya duduk cuma di seberang jalan ini sahaja.
Nishiki market

Saya juga singgah di Nishiki market yang terletak di kawasan sama dekat shopping street tadi. Ia adalah pasar tradisional Jepun yang menjual pelbagai makanan tradisi Jepun dan barang basah.  Memang lokasi terbaik untuk merasai pelbagai jenis kulineri Jepun. Tapi disebabkan ragu ragu dengan status halal dan juga harga yang tidak berapa murah, saya cuma merasai donut tofu yang harga 300 yen untuk 10 biji. Untuk makan malam saya singgah di Ayam Ya Karasuma untuk merasai ramen Jepun juga. 

Ramen Ayam Ya 890 yen semangkuk

Waktu petang saya dihabiskan dengan lepak di tepi Kamo River. Memang ramai yang lepak dan juga berbasikal di sepanjang sungai ini. Tenang sangat suasananya. 3 hari 2 malam di Kyoto, saya benar benar jatuh cinta dengan bandar ini. Andai suatu hari nanti saya saya berpeluang ke Jepun lagi, tempat ini saya ingin datang lagi.

Tepi sungai Kamo River


Terima kasih sudi membaca. Saya akan sambung selanjutnya dalam entri berikutnya. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 




Friday 15 January 2021

Book Review: Pendiam

Istilah pendiam dan saya sering dikaitkan bersama. Sering kali saya mendengarnya. Sebenarnya ini suatu isu yang sensitif bagi saya. Kenapa? Sebab orang memandang sifat pendiam sebagai suatu sifat yang negatif. 

Sejak kecil bermula dengan guru, kawan, sehingga majikan sering menegur saya seolah sifat pendiam itu suatu kesalahan. Sehinggakan zaman remaja saya membesar dengan cuba mengubah diri saya menjadi ‘normal’ seperti yang dipandang masyarakat. Saya fikir saya yang bermasalah sebab tidak banyak bercakap seperti orang lain. Saya tidak ramai kawan, sentiasa rasa tersisih disebabkan tidak ‘normal’ seperti orang lain. Menyebabkan saya membesar sebagai seorang yang kurang keyakinan diri.

Itu kisah dulu. Bila mula melangkah alam perkerjaan, saya mula mengikut rentak sendiri. Saya tahu apa yang saya nak dan saya tidak kisah lagi akan pandangan masyarakat. Cuma saya agak terkilan kerana masyarakat kita memang memandang orang yang pendiam ini pelik atau tidak normal. Bagi mereka kami sepatutnya lebih banyak bercakap dan bergaul dengan semua orang. Ini yang dipandang normal. Lalu orang pendiam atau introvert inilah yang menjadi mangsa keadaan.

Buku ini ditulis oleh seorang introvert Aqila Masri dan ahli psikologi Aiman Amri. Buku ini memberi penenerangan tentang definisi introvert/ekstrovert. Ada pelbagai pecahan di bawah sifat introvert. Juga ujian yang boleh dilakukan untuk mengenali personaliti diri iaitu Neo Five Factor Inventory (NEO FFI) dan OCEAN.

Saya galakkan introvert membaca buku ini kerana ia memberi idea akan sifat kita. Seperti yang saya sebut tadi, disebabkan stigma masyarakat, kita fikir kita tidak normal dan menjadi keliru dengan identiti, sehingga ada yang kehilangan keyakinan diri. 

Hakikatnya ia bukanlah satu kelemahan atau tidak normal tetapi salah satu cabang personaliti manusia. Setiap orang dicipta dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pertama kali saya membaca buku ini, perkara pertama terlintas di hati adalah ‘saya normal rupanya’ dan ;ada juga orang lain macam saya’. Ya, kami normal dan ada dalam kalangan masyarakat walaupun minoriti.

Jadi kita patut menyayangi dan menerima diri kita seadanya serta maksimumkan kelebihan kita. Cuma berdasarkan pengalaman peribadi sendiri, saya bersetuju ada masa kami perlu berubah mengikut keadaan. Maksudnya kita kena pandai bawa diri. Contohnya kita masih perlu bersosial dan bergaul dengan saudara, rakan sekerja/belajar atau jiran. Cuma kita ada hadnya. 

Contoh saya sendiri, saya boleh bersosial dengan orang tapi dalam kumpulan yang kecil dan yang kenal sahaja. Kalau dalam kelompok yang besar dan tidak dikenali, saya rasa tidak selesa. Sama juga dalam bidang perkerjaan. Saya ubah diri jadi professional, buat yang terbaik dalam pekerjaan. Balik rumah saya kembali menjadi diri saya yang pendiam dan banyak bersendirian.

Saya juga lebih menggalakkan ekstrovert membaca buku ini supaya dapat mengenali karakter introvert ini. Seterusnya tidak lagi memandang rendah atau negatif akan golongan seperti kami ini.


 
Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 


Book Review: It Takes A School


Membaca buku ini membuatkan saya sangat kagum dengan penulisnya, Jonathan Starr. Kerana ideanya dan kemampuannya merealisasikan idea yang bagi saya sangat hebat. Jadi saya termotivasi untuk berkongsi tentang buku ini kepada orang lain.

Buku ini berkisarkan pengalamannya dari awal hingga akhir membina sebuah sekolah di negara Somaliland, sehingga beberapa pelajar dari sekolah tersebut mampu melanjutkan pelajaran ke beberapa kolej terkemuka di US.

Mungkin ada yang pertama kali dengar Somaliland dan mesti anda fikir ia adalah negara Somalia. Sebenarnya tidak. Somaliland terletak di utara Somalia. Dari segi geografi dan peta dunia ia dianggap sebahagian dari Somalia. Namun Somaliland diterajui oleh politik yang berbeza dan rakyat mereka juga menganggap mereka sebagai negara yang bebas tapi tidak diiktiraf. Its quite complicated. Seperti negara Afrika yang lain, Somaliland juga tidak terlepas daripada isu kemiskinan, kelaparan dan kekurangan akses kepada pendidikan.


Jonathan mula mengenali Somaliland melalui pakciknya Billy (Billy ialah abang ipar kepada Alan, ayah Jonathan). Beliau sendiri merupakan pengurus kewangan di US dan mempunyai kehidupan yang boleh dikatakan senang. Mendengar cerita tentang Somaliland dan visinya berkenaan isu pendidikan daripada Billy, Jonathan memutuskan untuk meninggalkan kehidupannya di US dan  membuka sekolah di suatu tempat yang bernama Abaarso.

Buku ini agak panjang. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Jonathan dalam proses pembukaan Abaarso School. Saya kagum dengan usahanya mengeluarkan duit sendiri, membina kerangka tentang sekolah yang akan didirikan beserta silibus yang akan diajar untuk memastikan kelulusan para pelajar melayakkan mereka masuk university di luar negara. He begins from scratch. Mengumpul dana sendiri, pergi ke negara asing, membuat hubungan dengan orang tempatan, mencari tapak sekolah,  dan membinanya. Of course, it’s not one-man work. Dari awal beliau sendiri mencari dan mengumpulkan beberapa orang guru yang yang mempunyai kepakaran dalam setiap bidang seperti sains dan matematik. Beliau juga terpaksa menghadapi pergolakan politik dan masalah air di sana.

Dalam buku ini juga disebut kisah beberapa orang pelajar yang berjaya. Membaca kisah pelajar ini yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti betul-betul membuatkan saya kagum. Seperti yang kita maklum, rakyat di sana sangat miskin kurang akses kepada pendidikan. Tapi pelajar-pelajar ini mempunyai semangat dan azam yang sangat kuat untuk belajar.

Ada seorang pelajar, Mubarik namanya. Mubarik ini masih lagi hidup seperti orang nomad. Membantu keluarga mengembala dan menjaga binatang ternakan. Hidup di kawasan yang sangat terpencil sehinggakan pertama kali melihat kereta, dia tidak tahu  itu kereta.  Daripada seorang yang tak kenal kereta, dia belajar di Abaarso, dan sekarang belajar di MIT. MIT adalah kolej kejuruteraan yang terkemuka di US.

Sungguh saya kagum dengan para pelajar ini yang begitu bersungguh belajar untuk mengubah nasib hidup mereka. Juga dengan penulis yang berjaya merealisasikan ideanya. Maklumat terbaru mengenai sekolah ini yang kini dikenali sebagai Abaarso of Science and Technology boleh didapati melalui website rasmi abaarsoschool.org.  

Saya fikir andai perkara ini boleh dilakukan jauh nun di tempat terpencil di Afrika yang sentiasa bergolak dengan isu politik, air, kebuluran. Apatah lagi kalau kita di negara yang boleh dikatakan stabil dan serba cukup. Bayangkan kalau ada sekolah sama yang didirikan dan pelajarnya adalah orang asli yang pada awalnya buta huruf dan jauh daripada teknologi. Kemudian mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka sama ada dalam atau luar negara. Pasti hebat kan?

 

If such as a success can happen in an unrecognized breakaway region of Somalia, why can’t it happen everywhere?’’ – Jonathan Starr.

To be without knowledge is to be without light. – Somali proverb

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

Backpack ke Jepun Secara Solo Dengan Bajet Murah (bahagian 1)


Passport yang digunakan buat kali terakhir ke Jepun

Memandangkan ini pengalaman melancong yang terakhir sebelum sempadan negara ditutup, saya rasa ingin berkongsi pengalaman ke Jepun secara solo pada October 2019. Apatah lagi Jepun merupakan antara negara kegemaran saya setakat ini. Entah bila sempadan negara akan dibuka balik. Andai dibuka balik, mungkin pada masa itu hanya golongan kayangan sahaja yang mampu terbang di langit. Wallahualam.

Ini bukanlah pertama kali saya melancong seorang diri. Namun ini merupakan pertama kali kunjungan ke Jepun atau lagi tepat ke wilayah Kansai di Osaka, Nara, Kyoto, Kobe dan Himeji. Memandangkan ini kunjungan pertama ke sana dan secara solo pula, banyak masa yang dihabiskan untuk membuat persiapan dari segi jadual perjalanan dan pengangkutan kereta api di sana. 

Juga senarai tempat penginapan yang murah dan strategik, tempat makan yang halal serta tempat yang boleh saya tunaikan solat sambil berjalan sepanjang hari. Saya amat berterima kasih kepada kumpulan Rakan Travel Jepun (RTJ) di FB yang banyak menjadi sumber rujukan saya. Juga beberapa senpai yang saya secara peribadi bertanyakan soalan tentang jadual perjalanan saya di sana.

Antara pengalaman yang tak boleh dilupakan adalah di sekitar tarikh saya melancong ke sana, terdapat Taufan Hagibis yang dijangka antara yang terbesar dalam sejarah Jepun dan akan terkena kawasan yang saya ziarahi. Seingat saya ramalan tentang pergerakan dan kekuatan taufan itu bermula sekitar 2 minggu sebelum tarikh penerbangan saya. Ia membuatkan saya risau dan berfikir patutkah saya membatalkan percutian kali ini. Saban hari saya mengikuti perkembangan taufan ini dengan dekat dalam RTJ. 

Saya kira saya bernasib baik sebab Taufan Hagibis yang di jangka melanda Osaka mula mengubah haluan beberapa hari sebelum saya ke sana dan menuju ke kawasan Tokyo menjadikan Tokyo antara kawasan yang terjejas teruk disebabkan Taufan Hagibis. Namun tempiasnya tetap ada yang mana penerbangan saya ditunda beberapa jam. Pertama kali saya membuat tuntutan insuran perjalanan disebabkan penangguhan penerbangan. Dapatlah merasa RM 150 hasil pampasan. Jadi jangan lupa ya beli insuran perjalanan semasa melancong.

Dalam masa sama buat pertama kalinya saya menggunakan aplikasi couchsurfing. Host pertama adalah seorang wanita bujang yang berasal dari Indonesia dan berkerja di sana. Host kedua adalah wanita tempatan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Merasa juga tinggal bersama orang tempatan. Tapi sayang sebab jadual saya yang padat sepanjang hari, jadi tak banyak yang kami borakkan.

Pandangan peribadi terhadap orang Jepun, dengan sekadar berkunjung beberapa hari sukar untuk saya nilai sama ada mereka baik atau suka membantu seperti yang diwar-warkan. Cuma saya perasan mereka jenis yang tak peduli dengan orang asing di sekeliling mereka. Sebab berdasarkan pengalaman peribadi berkunjung ke beberapa negara lain, biasanya orang asing sentiasa jadi perhatian.  Ada yang rajin menegur seperti di negara jiran Indonesia. Tapi tidak di Jepun. Saya bebas berjalan sendiri di bandar, kampung, kawasan hutan/pergunungan, taman tanpa rasa risau, pelik atau rasa diperhatikan. For me they just don’t care about you. Tapi mereka memang sangat sopan dan beretika sama ada ketika bekerja, melintas jalan, semasa dalam kereta api dan sebagainya. Mungkin ini semua adalah budaya atau nilai yang sudah diterapkan dalam diri mereka ketika masih kecil.

Tiada masalah untuk mencari makanan halal. Banyak restoren yang memang mempunyai sijil halal terutama kedai yang menyediakan menu ramen. Saya perasan ramai pekerja di restoren halal ini ialah orang Indonesia. Sama seperti di Malaysia. Makanan yang saya paling nak cuba di Jepun adalah kari Jepun. Sejak dari zaman belajar saya banyak tengok drama Jepun dan mesti akan ada babak mereka makan kari Jepun. Ia sering membuatkan saya tertanya bagaimana rasa kari tersebut. Akhirnya saya brpeluang merasainya di kedai makan Club Ruu berhampiran Kiyomizudera temple. Sumpah tak menyesal cuba, sedap sangat. 

Datang ke Jepun juga tak sah kalau tidak masuk ke convenience store mereka seperti 7 eleven, family mart, Lawson. Memang rambang mata tengok pelbagai jenis makanan dan snek. Saya cuma sempat merasa sandwich, air coklat, pudding himeji. Tak lupa juga saya membeli nasi putih yang sudah masak untuk dimakan bersama sambal ikan bilis yang saya bawa dari Malaysia.

Tempat solat juga tiada masalah. Kebanyakan stesen keretapi besar dan kompleks beli belah ada menyediakan surau. Di restoren halal juga sama. Saya sempat juga berkunjung ke Masjid tertua di Jepun iaitu Masjid Kobe dan berpeluang solat asar di sana. Tandas dekat Jepun memang tip top. Sangat bersih dan kering.

Dalam bahagian seterusnya saya akan ceritakan lebih lanjut tentang tempat menarik yang saya kunjungi di sana.

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share. 

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...