Friday, 12 February 2021

KPI Syarikat vs KPI Allah (Ganjaran Dunia Vs Ganjaran Syurga)

Bekerja di syarikat swasta lazimnya memang akan menekankan KPI atau Key Performance Indicator untuk menilai prestasi pekerja dan seterusnya menentukan bonus atau kenaikan gaji tahun itu.

Dulu mungkin saya tak nampak atau tidak melihat dengan mata hati. Cuma sekarang saya perasan banyak benda yang berlaku di sekeliling saya cuba kaitkan dengan Allah. Contohnya KPI. Bekerja dalam syarikat yang sangat berorientasikan result, maka KPI menjadi keutamaan harian kami dalam berkerja. Untuk kenaikan gaji dan bonus. Bertungkus lumus seharian demi memastikan kami capai target.

Lalu saya fikir itu KPI dunia untuk perkerjaan yang sementara. Bersungguh sekali kami mengejarnya. Bagaimana dengan KPI untuk Allah dan akhirat? Iaitu untuk mendapat redha Allah, mati dalam husnul khatimah seterusnya masuk syurga? Sudahkan saya berusaha memenuhi KPI yang Allah tetapkan? Sudahkah saya buat apa yang Allah perintahkan dan tinggalkan perkara yang dilarang? Seperti menjaga solat, tinggalkan maksiat, buat baik pada ibu bapa dan banyak lagi KPI.

Kenaikan gaji dan dapat bonus secara zahir kelihatan betul itu daripada bos/syarikat. Tapi hakikatnya mereka cuma perantara sahaja. Sama juga kita fikir setiap ganjaran yang kita dapat adalah sebab hasil usaha kita. Sedangkan itu cuma asbab. Allah ialah maha pemberi rezeki yang sebenar. Dia boleh dan akan beri kepada siapa yang dikendaki.

Apabila seseorang pekerja itu produktif, syarikat juga akan mendapat untung. Jika pekerja itu tidak produktif, maka syarikat itu akan rugi.

Berbeza dengan allah. Kita menjadi muslim yang baik atau tidak, Allah tidak pernah rugi apa-apa. Kita yang rugi sebenarnya jika tidak menjadi Muslim yang baik.

I try my best to meet my company’s expectation but why I can’t try my best to meet my creator’s expectation?


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Going the Extra Mile - Beri Lebih Dari Apa Yang Diharapkan

Going the extra miles or to make a special effort to do or achieve something  or making more effort than expected ialah antara kualiti yang yang sering ditekankan dalam seorang pekerja yang terlibat dengan khidmat pelanggan sama ada face to face or on call.

Entah kenapa tiba-tiba suatu hari saya terfikir, I can go the extra miles for customer but how about go extra miles untuk Allah?

Untuk pelanggan yang sama level dengan saya iaitu cuma manusia biasa, saya cuba jaga kualiti dan beri lebih daripada apa yang mereka minta. Contohnya, bila ada sesuatu pending case, saya menawarkan diri untuk follow up and call back customer walaupun tidak diminta. Sedangkan mereka belum tentu menghargainya. Saya juga cuba sedaya upaya mengikut protokol yang betul untuk melayan mereka agar mereka berpuas hati dan tidak membuat sebarang complain.

Tetapi allah yang maha besar, maha pemberi yang mengatur segala urusan yang mencipta saya, tidak pula saya cuba beri servis yang terbaik. Tidak pula saya ikut segala suruhan yang diberikan. Padahal allah sendiri dah janjikan ganjaran berkali ganda andai kita buat apa yang dia suruh, apatah lagi kalau kita go the extra miles. Go extra the miles dalam konteks hubungan dengan allah ialah bukan setakat buat apa yang wajib, tapi yang sunat sekali. Contohnya kita dah solat 5 waktu, kenapa kita tak boleh menambahkan solat sunat sebagai tanda kasih sayang dan kesyukuran kita padaNya? Ataupun perbanyakkan sedekah, zikir dan menyebarkan Islam dimuka bumi ini. 

Allah sendiri cakap, ‘ Jagalah allah, nescaya Dia akan menjagamu’. Selangkah hambaku mendekat kepadaku, aku akan lebih dekat kepadanya.

Nab Muhammad saw adalah contoh teladan terbaik yang sentiasa going the extra miles. Baginda sentiasa solat taubat dan mohon ampun setiap hari sedangkan baginda adalah manusia yang maksum dan sudah dijanjikan allah syurga.  Sedangkan kita yang setiap hari berdosa tapi masih bersenang lenang.  

Kenapa kita terlalu merendahkan diri dihadapan manusia dan menagih kebaikan daripada manusia? Kenapa kita tidak boleh buat yang sama pada Allah? Kita cuba sedaya upaya menambat hati manusia tapi adakah kita sudah cuba menambat hatiNya?

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Memberi Tanpa Mengharap Balasan

Dalam pekerjaan seharian saya yang melibatkan pelanggan, saya sangat suka bila dapat ucapan terima kasih atau penghargaan daripada pelanggan. Namun ada masanya, saya rasa sudah bagi servis yang baik kepada pelanggan. Tapi mereka tidak mengucapkan terima kasih atau menghargainya. Saya rasa kecewa sebab mereka tidak menghargai kebaikan/servis yang saya rasa sudah bagi sebaik mungkin.

Lalu saya terfikir, kenapa harus kecewa? Bukan salah mereka. Tanggungjawab saya adalah untuk bagi servis yang terbaik kepada pelanggan saya dan hak mereka adalah untuk mendapat servis yang baik. Sama ada mereka membalas balik atau tidak, itu tidak wajib bagi mereka. Lalu saya sedar bahawa masalah saya adalah tidak ikhlas. Saya cuba berbuat baik kepada mereka kerana mengharapkan balasan.

Saya fikir ini juga antara penyebab utama kenapa kita tidak bahagia dengan diri. Sebab kita sering mengharapkan orang lain untuk berbuat baik kepada kita. Contoh seorang isteri menuntut hak daripada suami, seorang rakyat menuntut hak daripada pemimpin, seorang anak menuntut hak daripada ibu bapa. Tapi pernahkah kita terfikir adalah kita sendiri sudah menunaikan hak kita kepada orang lain?

Itulah realiti sekarang.

Sifat manusia, sering mengharapkan balasan daripada manusia.

Sifat manusia, sering mengungkit dan menuntut hak kita daripada orang lain. Tanpa memikirkan sudahkah kita menunaikan hak pada orang lain.

Sifat manusia, suka menerima daripada memberi. Sudah memberi, mengharapkan balasan pula.

Sifat manusia, mudah nampak ketidaksempurnaan orang lain. Tanpa memikirkan diri juga tidak sempurna.

Dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki, ada diceritakan satu kisah. Sedekah yang paling ikhlas ialah kepada binatang. Kerana mereka tidak reti untuk membalas balik dan mengucapkan terima kasih.

Buatlah baik sehabis mungkin kepada orang lain dan tunaikanlah hak orang sekeliling kita tanpa mengharapkan balasan balik. Manusia mungkin tidak reti membalas balik tapi tidak Allah. Apabila kita berbuat baik pada Allah, pasti ada balasannya. Jika bukan di dunia, di akhirat. Biarlah Allah yang membalas kebaikan kita dan menunaikan hak orang pada kita. 


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

 

Saturday, 6 February 2021

Umrah Yang Tidak Kesampaian: Belum Dijemput Atau Diri Yang Tidak Bersedia?

Kalau ikutkan perancangan, saya ingin mengerjakan umrah tahun lepas. Tapi belum ada rezeki lagi. Sama ada belum masa saya untuk dijemput oleh allah atau saya sendiri yang belum bersedia atau belum cukup berdoa serta amal solehnya.

Saya tertarik dengan suatu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Felix Siow berkenaan umrah.

Umrah itu adalah perjalanan bukan sekadar beberapa hari di Mekkah tapi sejak mula doa dipanjatkan untuk ke sana. Berapa kerap kita berdoa untuk mengerjakan umrah berbanding dengan berdoa untuk ke tempat lain seperti Jepun, Korea dan sebagainya. 

Ustaz Felix juga ketika mula-mula memeluk Islam tidak berdoa untuk ke Mekkah kerana memikirkan kehidupannya yang susah dari segi kewangan. Tapi kemudian beliau terfikir kalau tidak minta sama Allah, mahu minta dengan siapa lagi? Allah kata berdoalah kepadaku, maka akan aku kabulkan. Lalu beliau mula berdoa. Allah mempunyai banyak cara untuk kabulkan doa kita. Perbanyakkanlah amal soleh. Mungkin kita tidak mempunyai duit yang cukup untuk ke sana, tapi boleh jadi amal soleh itu menjadi asbab untuk allah membawa kita ke sana.

Dalam ceramah lain, Ustaz Felix menceritakan tentang mengambil peluang atau kesempatan (grab the chance). Ada yang tertanya-tanya mengapa dirinya belum dijemput ke Mekkah/Madinah. Persoalannya sudahkah kita merebut kesempatan kecil yang allah bagi pada kita? Contonhnya peluang solat berjemaah di masjid atau menghadiri majlis ilmu yang diadakan hampir di setiap tempat? Kalau kita sendiri tidak mengambil kesempatan untuk memenuhi peluang kecil yang allah sediakan itu, mengapa allah harus beri peluang yang lebih besar itu? So grab the chance. Solat di masjid, kelas pengajian, sedekah, tolong orang susah. Jangan sekali kali lepaskan setiap peluang kecil itu. Sehingga allah sudah percayai kita dengan peluang kecil itu, akan sampai masa allah mempercayai kita dengan peluang yang lebih besar iaitu umrah.

Saya banyak fokus pasal duit kalau berbicarakan tentang umrah. Mahu kumpul duit dulu. Satu lagi niat nak pergi dengan mahram iaitu suami (belum nampak bayang). Bila saya mendengar ceramah ini dan bermuhasabah, saya fikir ia bukan kaitan dengan duit semata-mata. Hakikatnya diri ini yang belum cukup berdoa, belum cukup amal solehnya. Lalu Allah suruh tunggu dulu sehingga benar-benar bersedia agar bila sampai di sana, saya sudah biasa berdoa dan melakukan amal soleh. Seterusnya dapat umrah atau haji mabrur. Wallahualam.

Nota: Boleh subscribe Youtube channel Ustaz Felix Siauw untuk lihat pelbagai koleksi ceramah atau lik link ini untuk melihat Catatan Haramayn beliau di sana.



Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Book Review: Zero Hutang (Bukan Mudah Tapi Tidak Mustahil)

Seusai habis belajar, saya tidak mempunyai perancangan kewangan yang khusus. Maksudnya saya tidak tahu apa yang sepatutnya saya buat dengan duit saya. Nasib saya bukan seorang yang boros atau suka membeli sesuatu yang berjenama atau membeli kereta seperti kebanyakan anak muda. Maka duit gaji saya cuma di simpan di ASB/TH.

Masuk usia 25 tahun, saya mula memikir secara serius tentang perancangan kewangan. Seperti apa yang patut saya buat untuk membiakkan duit dan menjadi kaya seperti impian kebanyakan orang lain. 

Melalui hasil pembacaan dari pelbagai sumber, saya mula mencari pelbagai platform untuk simpan/tambah duit melalui pelaburan dan perniagaan. Selain simpanan biasa ASB/TH, saya kemudiannya membuka ASBF. Saya juga membeli takaful Prudential untuk perlindungan. Dan akhir sekali saya turut membeli emas.

Saya bukanlah nak cerita pada jenis pelaburan atau perniagaan yang saya buat sebelum ini. Cuma sekadar ingin berkongsi pentingnya anak muda sekarang mempunyai perancangan akan kewangan dan hala tuju dalam kehidupan. Buku Zero Hutang karya Mohd Zulkifli Shafiee ini buku kewangan pertama yang saya beli masa umur 2015. Sebenarnya saya mula membaca blog beliau berkenaan emas dan dari situ saya tahu beliau ada menulis buku. Selepas membaca buku beliau, saya memutuskan mula melabur emas dengan beliau sebagai agent saya.

Pelbagai topik diulas dalam buku ini berdasarkan apa yang beliau belajar dan lalui sendiri. Isinya ringkas tapi mudah difahami, sangat sesuai untuk golongan muda yang baru nak berjinak dengan pengurusan kewangan. Saya ringkaskan beberapa nasihat yang saya suka baca dan praktiskan:

1.     Simpanan perlu dipaksa. Ramai orang sering beli alasan tidak boleh menyimpan sebab gaji tidak cukup. Biasanya mereka akan membelanjakan dulu duit dan baru simpan selebihnya (kalau ada). Ini cara yang salah. Kita perlu simpan dulu walau RM10 kemudian baru dibelanjakan.

2.     Dana kecemasan sekurang-kurang 3 bulan gaji. Hakikatnya ramai buat tidak endah tentang pentingnya simpanan kecemasan. Buktinya di musim covid sekarang, berapa ramai yang jatuh terduduk terus selepas hilang perkerjaan disebabkan langsung tiada simpanan.

3.     Bila dah ada dana kecemasan sekurangnya 3 bulan, baru boleh mula melabur. Seperti yang saya beritahu sebelum ini, Tuan Zulkifli adalah dealer emas dan saya mula belajar tentang emas daripada beliau (walaupun beliau tidak kenal saya). Jadi antara pelaburan yang dicadangkan oleh beliau ialah emas. Saya sendiri sebagai pembeli emas boleh lihat kenaikan harga emas. Masa saya mula membeli tahun 2015, harga emas 1 gram lebih kurang RM 150-160. Sekarang tahun 2021, harga 1 gram sekitar RM 265-275. Kenaikan 70-80%!

4.     Hidup di bawah kemampuan. Saya suka point ini. Orang kaya yang benar-benar kaya ramai yang hidup secara low profile seperti pakai kereta murah, duduk rumah flat, pakai baju murah dan sebagainya. Namun harta berjuta. Tapi golongan yang baru nak kaya atau belum pun kaya lagi itulah yang banyak hidup di luar kemampuan. Gaji bulanan ribuan ringgit tapi hutang juga sama banyak. Lagi sedih langsung tiada simpanan walaupun nampak mewah secara luaran.

5.     Selain pelaburan, carilah peluang bisnes tapi jangan mulakan bisnes dengan hutang. Buatlah bisnes apa pun yang halal, asalkan berbisnes. Mulakan saja walaupun untung kecil. Suatu hari nanti anda akan jumpa bisnes yang paling serasi dengan anda. Orang yang tidak pernah buat silap ialah orang yang tidak pernah berbuat apa-apa. Bahkan tidak berbuat apa-apa itu sendiri adalah satu kesilapan. Orang paling berjaya ialah orang paling banyak buat kesilapan, tetapi mereka belajar dari setiap kesilapan.

6.     Keseronokan bisnes bukan sekadar pada duit yang kita dapat tetapi pada manfaat yang kita berikan melalui bisnes.

7.     Bersedekah. Tidak perlu tunggu kaya untuk bersedekah. Mungkin agak sukar untuk yang tidak biasa sebab kita akan fikir duit sendiri pun tak cukup, lagi pula nak sedekah. Paksakan diri untuk bersedekah walau seringgit. Lama-lama ia akan jadi tabiat dan kita akan sedar sebenarnya dengan sedekah itu tidak pernah menjadikan kita miskin.

Ini antara beberapa ringkasan tentang buku Zero Hutang. Sebenarnya banyak lagi buku tentang kewangan di luar sana. Ramai juga public figure yang popular di FB sering berkongsikan tentang pengurusan kewangan seperti saudara Harith Faisal, Azizi Ali, Dr Azizan Usman (sekadar memberi beberapa nama). Bagi saya tidak mengapa hidup secara biasa, tapi andai mampu berusaha untuk menjadi kaya itu lagi bagus. Jika tidak kaya juga tidak mengapa asalkan tidak terperangkap dengan hutang yang memakan diri sendiri.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

 

Wednesday, 3 February 2021

Pengajian Agama di Pondok Lubuk Tapah

Lebih kurang 4 tahun yang lepas (2017), saya pernah masuk Pondok Lubuk Tapah di Pasir Mas Kelantan selama kira kira 3 bulan. Saya rasa saya patut kongsi pengalaman saya ini sebab ramai orang di luar sana yang berminat sebenarnya dengan sekolah pondok tapi tidak tahu cara untuk memohon belajar di sini. 

Atau mungkin ada yang salah faham dan beranggapan sekolah pondok cuma untuk pelajar lulusan agama, atau remaja bermasalah atau untuk orang tua menghabiskan sisa hidup. Sebenarnya sesiapa saja boleh belajar di pondok. Cuma kena cari pondok yang sesuai dengan peringkat umur dan berapa lama kita ingin belajar sebab setiap pondok di Malaysia mempunyai syarat kemasukan yang berbeza.

Saya mulakan dulu bagaimana saya boleh masuk sekolah pondok. Beberapa tahun sebelum itu lagi saya memang sentiasa fikir bahawa ilmu agama saya sedikit dan saya ingin belajar tentang agama lebih lanjut dalam masa sama saya ingin memperbaiki diri saya. Dan saya terfikir salah satu cara untuk capai tujuan tersebut ialah dengan masuk pondok. Untuk pengetahuan anda, saya bukan seorang pelajar lulusan sekolah agama. Saya melalui kehidupan biasa seperti orang lain, masuk universiti dan alhamdulillah berjaya mendapat pekerjaan yang saya kira baik.

Sekitar pertengahan 2016, saya mula merasakan perasaan tidak tenang dalam diri. Rasa serba serbi tidak kena. Walaupun saya sudah mempunyai kerjaya yang baik, dikelilingi orang yang baik, masa saya terisi dengan buat perkara yang saya suka pada masa itu iaitu mendaki gunung/bukit, melancong, terlibat dengan aktiviti sukarelawan, dan berniaga juga. Dari segi agama walaupun tidaklah alim, tapi saya solat, baca Al Quran dan berpakaian sopan serta buat beberapa perkara lain yang disuruh agama. Senang cerita hidup saya baik. Tapi jauh di sudut hati rasa kosong yang saya tak tahu bagaimana nak ceritakan pada orang lain. Dada rasa berat.

Selepas beberapa bulan dilema, saya putuskan bahawa inilah masa yang terbaik untuk saya berhenti kerja dan tinggalkan seketika dunia saya ketika itu. Maka bermulalah proses pencarian bagaimana untuk masuk pondok. Masa itu saya langsung tak ada sumber rujukan atau kenalan untuk saya tanya bagaimana cara masuk pondok. Google dan FB adalah satu satunya sumber yang saya ada, namun ia tidaklah mudah kerana kebanyakan maklumat yang disediakan sudah lama atau tidak relevan lagi. 

Saya dapati pondok di Malaysia memang banyak namun tidak semua menerima pelajar di peringkat usia saya dan ada sesetengah pondok menetapkan untuk belajar dalam tempoh masa tertentu dan pendaftaran juga ada masa tertentu. Sedangkan pada masa itu saya sudah merancang untuk belajar di pondok beberapa bulan sahaja.

Alhamdulillah setelah beberapa percubaan dan pencarian pondok yang sesuai, saya berjaya juga jumpa nombor telefon seorang ustaz atau mungkin warden dekat Pondok Lubuk Tapah. Lepas saya hubungi ustaz tersebut, beliau terus meminta saya berurusan dengan Ustazah atau Warden yang menguruskan kemasukan pelajar perempuan. Dari situ saya tahu serba sedikit iaitu kemasukan terdiri untuk semua peringkat umur dan tiada had untuk belajar berapa lama. Juga yuran pendaftaran pertama kali RM 35 (kalau tidak silap), Selepas itu kena bayar yuran penginapan setiap bulan RM 30. Makan minum dan pembelian kitab adalah tanggungan sendiri.

Dipendekkan cerita pada 11 Januari 2017, saya mula mendaftar masuk ke Pondok Lubuk Tapah. Proses pendaftaran mudah saja, saya diberi beberapa kitab untuk pengajian dan ditempatkan di asrama perempuan. Masa saya belajar di situ, saya antara pelajar yang paling tua. Kebanyakan pelajar lain adalah belasan tahun yang merupakan pelajar tetap. Atau pelajar sementara seperti lepasan SPM/STPM yang mengambil peluang untuk mendalami ilmu agama sementara menunggu kemasukan ke universiti. Pelajar lelaki dan wanita memang tidak bercampur langsung. Penginapan antara pelajar dewasa/remaja dan untuk orang tua juga diasingkan. Maka bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar ‘berusia’ bersama adik adik di Pondok Lubuk Tapah.

Saya akan ceritakan tentang kehidupan saya sebagai pelajar di pondok selama 3 bulan dalam post yang berikutnya.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.

Book Review: The Unchartered Path


Sebelum saya terjumpa buku ini, saya tidak tahu pun siapa presiden Korea sebelum ini dan juga sekarang. Sebut Korea, mesti orang ingat KPOP. Saya tak merancang pun untuk beli buku ini. Sebenarnya pada 30 November 2020 merupakan hari terakhir operasi kedai buku Popular di Avenue K (banyak kedai tutup disebabkan covid). Jadi mereka telah membuat jualan besar besaran untuk buku berbahasa Inggeris. Ada yang RM 10 untuk 5 biji dan RM 20 untuk 5 biji. Murah kan? Jadi saya tak melepaskan peluang untuk memborong buku walaupun saya kurang membaca buku bahasa Inggeris sebenarnya.

Berbalik kepada buku ini, President Lee Myung Bak sebelum menjadi president adalah bekas CEO Hyundai, antara syarikat gergasi di Korea Selatan. Beliau lahir dalam keluarga susah dan sempat merasai suasana perang saudara antara Korea Utara-Korea Selatan.

Kehidupan beliau di zaman kanak-kanak hinggan masuk ke zaman universiti sangat miskin dan susah. Saya yang membaca buku turut terasa dan terbayang bayang akan kesempitan hidup, makanan yang dicatu dan kepenatan bekerja sambil belajar sejak zaman kecil. Sehingga beliau tidak layak untuk masuk latihan tentera disebabkan keadaan fizikal dan kesihatan yang tidak memuaskan. Namun beliau tidak berputus asa untuk belajar sehingga berjaya masuk kolej, terlibat dengan aktivis sehingga masuk penjara dan kemudian diterima masuk kerja di Hyundai yang ketika itu belum lagi terkenal.

Beliau bermula dari bawah di Hyundai. Tapi disebabkan sifat yang tidak mudah putus asa, sentiasa ada idea yang bernas serta tegas berpegang pada prinsip yang benar menyebabkan beliau menjadi orang kepercayaan bos dan naik pangkat dengan cepat. Sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berundur dari Hyundai dan memasuki dunia politik.  27 tahun berkhidmat dengan Hyundai, pelbagai coretan menarik diceritakan tentang usahanya dan ideanya untuk membawa Hyundai pergi lebih jauh ke peringkat antarabangsa.

Saya suka membaca bab tentang hubungannya dengan Tun Mahathir. Mereka mengenali satu sama lain semasa Tun M masih lagi seorang timbalan dan beliau sendiri masa itu masih lagi President Hyundai. Hyundai merupakan syarikat yang terlibat dengan pembinaan jambatan Pulau Pinang. Asalnya Hyundai bukanlah syarikat pilihan untuk mengendalikan projek pembinaan Jamabatan Pulau Pinang. Tapi bila Tun M naik menjadi PM selepas kematian Tun Hussein Onn, Tun M cuba merombak balik segala projek dan organisasi politik masa itu dengan konsep politik bersih atau bebas rasuah. Lalu syarikat pilihan untuk projek jambatan Pulau Pinang sebelum ini yang terlibat dengan rasuah dibatalkan dan Hyundai menjadi pengganti.

President Lee sememangnya seorang yang sangat kuat bekerja. He cannot recall any memory that he’s not working. Beliau mengakui kesibukannya berkerja menyebabkan masanya bersama keluarga sangat kurang. Tapi itu tidak bermakna beliau mengabaikan keluarganya. Apa yang beliau lakukan ialah beliau sentiasa meminta jadual dan rutin harian anak-anak daripada isterinya. Seperti jadual kelas, perperiksaan dan dengan siapa anaknya berkawan. Jadi apabila beliau berurusan di luar negara, beliau akan sentiasa mengambil masa untuk menghubungi anaknya dan bertanyakan tentang aktivit seharian mereka. Ini menyebabkan anak-anaknya merasakan ayahnya sentiasa mengambil berat akan mereka walapun tidak berjumpa secara bersemuka.

Perjalanan beliau dalam politik juga ada turun naik. Saya tertarik dengan satu kisah dimana beliau menarik diri daripada dunia politik (belum menjadi presiden lagi) disebabkan isu tertentu. Beliau menceritakan  bahawa Tun M juga ada melalui saat seperti itu, tetapi Tun M tidak pernah berhenti belajar. Tun M akan bawa pen dan kamera, kemudian berkunjung ke luar negara sambil melawat mana-mana kilang besar untuk merakam dan mendapatkan idea untuk membangunkan negara dan masyarakat secara global. Apabila pulang dan kembali ke politik, Tun M terus mangaplikasikan apa yang dipelajarinya sebelum ini. Secara peribadi, ini salah satu sifat Tun M yang saya kagum. Sentiasa belajar dan mempunyai pandangan yang jauh sehingga boleh mengubah sebuah negara yang bernama Malaysia.

Jadi beliau memutuskan untuk pergi ke US untuk belajar sambil melawat kawasan di sana untuk mendapatkan idea. Balik sahaja ke Korea, beliau sudah mempunyai idea yang jelas untuk membangunkan Korea masa itu. Tidak lama selepas itu, beliau menjadi President Korea yang ke -17. Bandar Seoul yang ada di Korea sekarang adalah hasil idea yang beliau dapat semasa melawat bandar Boston, US.

President Lee going through such a long journey. Siapa yang pernah terfikir seorang budak yang sangat miskin dan sentiasa kelaparan berjaya keluar dari kepompong itu dengan melalui pelbagai fasa kehidupn yang mencabar. Semua itu tidak akan terhasil tanpa keazaman yang kuat dan yang penting sentiasa belajar.   

Sebut pasal belajar, saya nak tutup penulisan ini dengan memetik sedikit kata-kata Ustaz Mohd Pahrol Juoi dalam bukunya Pesan Hati Untuk Hati:

‘Dengan membaca, seseorang akan dicorakkan ke arah yang lebih baik.

When you stop learning, you stop reading.

Apabila kita berhenti belajar, kita berhenti memimpin. Setiap orang ialah pemimpin. Sekurang-kurangnya kepada diri sendiri. Jadi apabila seseorang mula membaca ia sebenarnya bukan setakat membaca, malah dia sedang memimpin. Leaders are learners! Pemimpin ialah orang yang sentiasa belajar.

 

Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Friday, 22 January 2021

Tafsir Surah Al Ikhlas: Percaya Tapi Tidak Berharap KepadaNya?

QC yang terbaru pada 16 Januari 2021, kami membincangkan tafsir surah Al-Ikhlas.

Surah ini pendek cuma 4 ayat, tapi besar maknanya. Maka tidak hairan apabila ada perumpamaan yang mengatakan apabila kita membaca Surah Al Ikhlas seolah olah kita sudah membaca 1/3 Al Quran.

Kalau tengok keseluruhan ayat, kenapa surah ini dikira berat sebab ia mengajar kita tentang tauhid iaitu menceritakan mengenai siapakah Allah swt. Tauhid adalah asas kepada Islam. Tidak hairan jika kita tengok pada zaman Nabi Muhammad saw mula berdakwah tentang Islam, 13 tahun pertama di Mekah banyak ditekankan tauhid. Selepas itu baru datang wahyu tentang ibadah, hukum hakam, sirah dan sebagainya.

Kita fokus kepada ayat nombor 2, Allah yang menjadi tumpuan makluk untuk segala hajat.

Umat islam pada zaman sekarang, dimanakah kedudukan Allah dalam diri kita? Sejauh manakah kita mendahulukan atau mengutamakan Allah dalam kehidupan kita? Jika dibandingkan zaman sahabat dulu, jauh bezanya dengan kita.

Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang sebenarnya kata percaya Allah, tapi tidak mengamalkan ajaran yang sebenar. Contoh beberapa kes dalam masyarakat:

Kes 1:

Seorang ustaz di sekolah pondok ditangkap atas tuduhan meliwat anak-anak muridnya.

Kes 2:

Seorang gadis beragama Islam membunuh diri selepas ditinggalkan kekasihnya.

Kes 3:

Perempuan Islam yang solat dan puasa tapi tidak memakai tudung

Kes 4:

Lelaki Islam yang solat tapi masih mendera isteri.

Ini beberapa kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Apa yang kita nampak di sini mereka ini Islam dan mengamalkan ajaran Islam tapi bukan semua. Maksudnya mereka mengamalkan sebahagian saja. Sedangkan Islam itu syumul. Iaitu lengkap dan merangkumi semua aspek kehidupan.

Apa puncanya yang menyebabkan Islam itu tidak diamalkan sepenuhnya. Semuanya berbalik kepada soal tauhid. Kita cuma percaya pada Allah tapi tidak menyerahkan diri sepenuhnya kepadaNya.

Tuan Khairul Hakimin Muhammad ada menceritakan, semasa dalam kelas guru story telling beliau, Robert Mckee. 

Beliau menyebut ayat ini ‘’people love God, but people don’t have hope. We see the moon, but we just see, we don’t think that moon created by god, create you, create your brain how to think, how to feel to pray, how to thank, how to accept story to share, to accept incident, to accept conflict, no we don’t have hope. We just know God is there, like the moon, far.

Kita tahu Allah ada, tapi tak berharap pun kepadanya. Apatah lagi merasa takut kepadanya. Kalau tidak masakan terdapat pelbagai masalah dan konflik yang melanda umat Islam di zaman sekarang.

Jika dibandingkan dengan zaman para nabi dan sahabat dulu, tahap keimanan kita dengan mereka jauh beza. Semua perkara dilakukan kerana Allah, mereka sentiasa bertawakkal kepada allah, hati sentiasa mengingati mati dan takutkan azab Allah. Kenapa? Ini kerana asas tauhid mereka sangat kuat.

Marilah kita kembali ke asas tauhid yang sebenar. Bukan sekadar tahu dan percaya Allah ada tapi turut menyerahkan kebergantungan sepenuhnya pada Dia.


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Tujuan Berdoa dan Mengapa Allah Tidak Makbulkan Doa Kita?

Kali ini saya ingin berkongsi tentang topik doa yang saya dengar daripada ceramah Nouman Ali Khan (NUK).


NUK menceritakan ada seorang gadis bertanya kepadanya. Gadis tersebut mempunyai hubungan yang baik dengan Allah sejak kecil dan membesar sebagai seorang yang baik agamanya. Dia sebenarnya diuji allah dari kecil seperti kehilangan bapa tapi dia tidak mengeluh dan sentiasa bergantung sepenuh harapan pada Allah. Dia banyak beribadah, berdoa dan allah selalu memakbulkan doanya. Disebabkan Allah selalu memakbulkan doanya, dia semakin menyerahkan dan berharap sepenuhnya kepada Allah.

Suatu hari bila dia mempunyai beberapa masalah yang berat, dia memutuskan untuk meningkatkan lagi amal ibadah kepada Allah dan memperbanyakkan doa lagi. Tapi dia perasan bahawa Allah tidak lagi memakbulkan doanya seperti dulu dan masalahnya tidak hilang. Dia mula tertanya-tanya adakah Allah tidak lagi sayang padanya? Adakah dia ada membuat apa-apa kesalahan?

Melalui pertanyaan gadis ini, NUK mendapat inspirasi untuk memberi khutbah berkenaan konsep doa yang sebenarnya.  Ini kerana bukan sahaja gadis itu, tapi ramai lagi orang lain yang juga pernah berada dalam situasi ini.

Kita berdoa dan berharap agar Allah makbulkan. Sebelum pergi lebih lanjut NUK menekankan bahawa sama ada doa kita dimakbulkan atau tidak, itu tiada kaitan dengan Allah sayang kita atau tidak. Dan tiada kaitan dengan dosa kita. Atau mungkin ada tapi kita tak akan tahu sebab itu rahsia allah untuk memakbulkan sesuatu doa.

NUK lalu memberikan beberapa kisah daripada nabi terdahulu. Contohnya, nabi Nuh yang berdakwah selama 950 tahun. Adakah selama 950 tahun itu beliau tidak berdoa untuk kaumnya? Untuk isteri dan anaknya sendiri? Dia berdoa untuk tempoh yang lama tapi ahli keluarganya tetap kufur. Adakah nabi Nuh memberitahu dirinya bahawa allah tidak kabulkan doanya sebab allah tidak sayang atau nabi nuh ada melakukan kesalahan? Tidak. Nabi Muhammad juga berdoa untuk bapa saudaranya Abu Talib, tapi doanya juga tidak dikabulkan. Sedangkan baginda adalah seorang yang maksum (tiada dosa).

Dalam konteks sekarang juga banyak contoh seperti ibu bapa yang mendoakan untuk anak menjadi baik, atau anak yang berdoa untuk kebaikan ibu bapa. Atau kita berdoa untuk dapat pekerjaan yang baik, diberikan kesihatan, bertemu jodoh etc. Dan allah tidak makbulkan doa tersebut.

NUK juga memberikan contoh doa daripada kisah nabi yang mana ada antara doanya dimakbulkan lambat seperti nabi Ayub. Lepas kehilangan nabi Yusuf, kita semua tahu nabi Ayub sangat sedih dan menangis sehingga buta. Sepanjang tempoh itu, adakah beliau tidak berdoa untuk kesejahteraan nabi Yusuf atau bertemu kembali anak kesayangannya itu? Doanya hanya diperkenankan berbelas tahun selepas itu apabila nabi Yusuf menjadi pembesar di Mesir dan mereka dipertemukan kembali. 

Kisah lain yang mana Allah makbulkan doa dengan cepat ialah nabi Musa dan ibunya. Ibu nabi Musa begitu berat hati menghanyutkan nabi Musa di sungai Nil. Semestinya beliau risaukan keselamatan nabi Musa semasa dihanyutkan di sungai. Adakah dia tidak berdoa untuk keselamatan nabi Musa? Semestinya dia berdoa dan tidak lama selepas pada hari yang sama, nabi Musa dipertemukan kembali dengan ibu kandungnya sebagai ibu susuan.

Nampak tak pengajaran dekat sini? Kita semua akan menghadapi kesukaran dalam hidup dan mempunyai hajat, namun tak semua itu diselesaikan atau dipenuhi hanya semata kita berdoa. Dekat sini kita perlu fahami realiti dan tujuan berdoa itu. Kita sering salah faham antara doa dan thalab. Thalab dalam Bahasa Arab ialah meminta sesuatu (to ask something). Doa ialah untuk memanggil (to call). Doa itu adalah salah satu bentuk komunikasi dengan Allah. Sambil berkomunikasi itu, kita sertakan dengan thalab (meminta sesuatu daripada Allah). Berhubung dengan Allah melalui doa itulah tujuan utama kita. Sama ada allah makbulkan doa kita atau tidak adalah perkara sampingan.

Berbalik kepada gadis tadi yang merasakan dirinya ada berbuat kesalahan lalu Allah tidak makbulkan doanya. Cuba kita tengok kisah nabi Yusuf. Apa kesalahan nabi Yusuf yang masih lagi kecil sehingga dibuang dalam telaga dan dijual sebagai hamba? Kemudian difitnah dan terpaksa meringkuk dalam penjara? Nampak macam tidak adil, betul? Tapi sebagai orang yang beriman kita tahu, pasti ada hikmah di sebalik setiap aturan Allah swt.

Cuba kita imbas balik, andai nabi Yusuf tidak dibuang dalam keluarga, beliau tidak akan dijual sebagai hamba ke Mesir. Andai tidak dijual ke Mesir, beliau tidak akan diambil sebagai anak angkat pembesar Mesir dan ketika dewasa dimasukkan ke dalam penjara akibat fitnah. Jika tidak masuk dalam penjara, beliau tidak akan bertemu dengan 2 orang pemuda yang meminta nabi yusuf mentafsirkan mimpi mereka. Jika salah seorang pemuda itu tidak memberitahu raja Mesir berkenaan nabi Yusuf, maka Raja Mesir Ketika itu tidak akan tahu maksud mimpi baginda. Disebabkan nabi Yusuf mentafsirkan mimpi baginda, berjuta rakyat mesir terselamat daripada krisis kebuluran.

Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi sesuatu kesukaran sebab Allah telah sediakan sesuatu yang lebih baik. Sesuatu yang lebih baik itu boleh jadi untuk kita atau untuk orang lain. Sesuatu yang lebih baik itu juga boleh jadi datang ketika kita masih hidup atau sudah meninggal. Kesukaran yang dihadapi nabi Yusuf bertahun lamanya menjadi rahmat kepada jutaan orang. Kesukaran yang kita hadapi sekarang boleh menjadi kemudahan untuk orang lain dan menjadi amal jariah kita di akhirat kelak.

Kisah lain yang tidak kurang hebat adalah Mariam dan nabi Isa.  Mariam ialah wanita mulia yang sangat kuat beribadah kepada Allah sejak kecil dan sentiasa terpelihara kemuliaannya. Kedudukannya sangat tinggi di sisi Allah sehinggakan makanan didatangkan kepadanya tanpa diminta. Tapi masih diuji dengan mengandungkan Isa tanpa bapa. Apakah salah Mariam sehingga diuji begitu? Apakah Allah tidak sayangkan Mariam? Tentu tidak sama sekali. Malah Mariam sering disebut sebagai Ibu Isa (Isa son of Mariam) berbanding dengan orang lain contohnya Nabi Muhammad di sebut sebagai anak Abdullah (son of Abdullah).

Kesimpulannya, apa yang NUK cuba sampaikan adalah makbulnya doa kita atau tidak tiada kaitan dengan Allah sayang kita atau tidak. Kita juga harus ingat bila kita berdoa, bukan semata mata untuk dimakbulkan doa itu. Tapi doa itu sendiri adalah ibadah dan salah satu cara kita berkomunikasi dengan Allah. We want to have a connection with Allah. That is the most important thing about doa.

Saya tutup penulisan ini dengan hadis berikut:

Daripada Abu Sa'id, nabi saw berkata,'Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah, dengan suatu doa yang bukan mengandungi dosa dan memutuskan hubungan silaturrahim, kecuali Allah akan mengabulkannya dengan 3 : disegerakan pengabulannya di dunia, disimpankan untuknya di akhirat, atau Allah akan  hindarkannya dari keburukan. Para sahabat berkata,'Sekiranya begitu, kita akan memperbanyak doa (wahai Rasulullah).'Baginda menjawab,'Allah akan mengabulkannya lebih banyak daripada apa yang kamu minta.'  

(Hadis direkodkan oleh Ahmad 3/18, Shahih  At targhib wat Tarhiib:1633)


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

Meninggalkan Perkara Yang Bukan Urusannya.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, dia berkata:

Rasulullah saw bersabda, ‘Di antara tanda kebaikan seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.’ Hadith hasan.

Saya fikir pada zaman nenek moyang kita, hadis ini mungkin nampak tak relevan. Tapi sangat tepat dengan zaman kita sekarang.

Saya tertarik dengan topik ini yang diulaskan oleh Ustaz Dr Firanda Andirja.

Di zaman teknologi sekarang, semua maklumat di hujung jari. Hampir semua orang mempunyai akaun media sosial. Ini membolehkan kita mengakses pelbagai maklumat dan info yang sebenarnya kita tak perlu tahu atau ambil tahu pun. 

Hidup kita sekarang penuh dengan informasi seperti hal politik, artis, rumah tangga dan sebagainya. Kebanyakan informasi ini tidak membangunkan peribadi dan keimanan kita. Terlalu banyak tahu hal orang juga membuatkan kita kurang bahagia sebab kita cenderung untuk membandingkan diri dan merasa diri serba kekurangan.

Berapa banyak waktu yang kita habiskan di media sosial untuk membaca informasi yang tidak bermanfaat, mengambil tahu hal peribadi orang lain dan memberikan komen yang tidak sewajarnya?  Lagi parah menyebarkan berita yang belum tentu sahih. 

Berapa banyak pula waktu yang kita habiskan untuk membaca Al Quran, mendengar pengajian agama, menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga dan sebagainya?

Sekali sekali kita kena belajar untuk matikan phone, off from social media. Dalam masa yang sama belajar membahagikan masa dan belajar menapis informasi yang kita dengar itu baik dan bermanfaat untuk hidup kita dunia akhirat. 

Saya percaya semakin kita berusaha menjauhi sesuatu keburukan, Allah akan semakin mendekatkan kita kepada kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda:

Barangsiapa meninggalkan sesuatu kerana Allah, maka Allah akan memberinya ganti yang lebih baik - HR Ahmad

Kenapa Kena Berdakwah?

Sebut pasal dakwah bagi saya ia topik yang berat. Sebab saya cuma orang biasa yang bukan ustazah atau pelajar jurusan agama. Dakwah selalu dikaitkan dengan ustaz ustazah atau orang yang alim agama atau penceramah bebas. Hakikatnya dakwah menjadi tanggungjawab semua orang yang bergelar Islam.

Sebab itu ada hadis nabi yang menyebut ‘Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat.’ Maksudnya kita tak perlu pun tunggu belajar tinggi tinggi sampai bergelar ustza ustazah, baru nak dakwah. Saya pasti ramai yang menghadapi dilema yang sama seperti saya yang merasakan kurang ilmu, dan pandai bercakap dan sebagainya. Sampai bila kita harus mengelak dan memberi alasan untuk tidak terlibat dengan dakwah? Kita seharusnya memandang dakwah dari pelbagai sudut, bukan sekadar menyampaikan hadis atau ayat Al Quran yang biasanya cuma dihafal oleh golongan agama.

Saya ingin memetik satu bab berkenaan dakwah daripada buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: Seni Berfikir Yang Hilang.


Kata Syeikh Yusuf Al Qardawi, umat Islam ialah umat dakwah. Maka semua orang harus membuat kerja dakwah walaupun dakwah itu sendiri barangkali agak eksklusif bagi sesetengah orang.

Siapakah anda?

Jika anda seorang suami, anda mempunyai tanggungjawab untuk membimbing isteri. Isteri? Anda juga mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap suami. Ibu bapa? Kalian diberi amanah untuk mendidik anak-anak. Guru? Anda bertanggungjawab mengajar anak bangsa di sekolah. Ketua jabatan atau ketua unit? Ada orang-orang bawahan yang perlu dibimbing dan ditunjukkan jalan. Letaklah di posisi mana sekalipun, kita semua mempunyai peranan untuk memdidik, mengajar, menasihat dan menegur.

Itulah dakwah!

Sekali lagi Ustaz Hasrizal menekankan umat islam ialah umat dakwah. Umat dakwah dalam erti kata kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menjadi transmitter kepada Islam supaya ia terus berkembang.

Malaikat tidak lagi turun kepada manusia.

Para anbiya, juga sudah tiada.

Nabi Muhammad Saw telah wafat lebih seribu tahun yang lalu.

Janganlah kita menjadi tempat di mana terhentinya Islam. Kita mesti menjadi tempat di mana Islam diberi nyawa yang berikutnya agar ia boleh terus berjalan.

Nabi Muhammad saw dan para sahabat sendiri berkorban masa, tenaga, peluh dan darah untuk menyebarkan Islam di seluruh dunia. Tidakkah kita mahu berusaha untuk meneruskan perjuangan baginda?


Terima kasih sudi membaca. Sekiranya anda belajar sesuatu, sila kongsikan di ruang komen. Jangan lupa follow dan share.  

 Assalamualaikum semua. I'm back. Haha. Perasan. Padahal tak ada orang baca pun blog ni.  Hampir dua tahun setelah posting yang terakhir...